Minggu, 17 Februari 2013

Yana akui rapat dengan adik Farid Kamil - Gosip Artis Terkini


Norliana Samsudin atau Yana semakin menyerlah di persada filem tempatan. Bermula sebagai pengarah yang turut sama membintangi filem Selamat Pagi Cinta (2008), hari ini nama Yana meniti di bibir penggemar filem dan drama.

Enam tahun terlibat dalam seni, Yana telah berlakon 15 buah filem, empat drama bersiri dan tiga buah telefilem. Terkini, filem lakonannya Wawa Semput dan drama Surat Dari Langit sedang ditayangkan.

Ternyata ketika menginjak usia 29 tahun, Yana laris dan sebaris dengan pelakon popular malah namanya semakin mekar sejak memenangi kategori Heroin Terhebat pada Anugerah Blockbuster tahun lalu.

Dalam tempoh dua minggu selepas menggondol anugerah tersebut, dia menerima 30,000 like di laman sosial facebook.

Namun dalam keghairahan meniti kejayaan, nama Yana juga tidak terlepas daripada cerita cinta. Bercinta dan putus cinta dengan pelakon dan pengarah, Piere Andre, Yana juga pernah dikaitkan dengan Shaheizy Sam. Biasalah artis kita.

Terbaru, Yana dikatakan bercinta dengan adik pelakon Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari yang juga seorang pelakon.

Dengarnya mereka berdua benar-benar serius dalam hubungan ini dan mahu mengikat percintaan itu dengan perkahwinan. Betulkah atau sebagai pelaris sahaja?

Betulkah Yana nak kahwin?

“Saya rasa nak tergelak, tak tahu dari mana datangnya gosip itu. Selepas ini tidak tahu dengan siapa pula akan dikaitkan sebagai kekasih saya.

“Sehingga kini, saya masih belum punya sesiapa. Saya masih solo. Dengan jadual penggambaran yang sangat padat saya rasa ketika ini memang saya tidak sempat untuk untuk merasakan ‘cinta’.

“Saya akui saya rapat dengan Fadzi seperti kawan-kawan lelaki saya yang lain. Cuma dia sahaja yang masih berada dalam industri seni ini.

“Kawan-kawan lelaki yang rapat dengan saya sebelum ini dah lari ke bidang lain, mereka semua kerja dalam bidang lain. Mungkin sebab itulah saya rapat dengan dia," jelas Yana yang menganggap cerita tentang dirinya dan Fadzil tidak masuk akal.

Jelasnya, bukan sahaja dia tiada masa untuk bercinta malah waktu terluang untuknya bersama keluarga juga agak kurang kebelakangan ini. Maknanya tawaran terlalu banyak walaupun kita mempunyai banyak pelakon.

“Masa untuk diri sendiri pun saya tak cukup, macam mana pula saya nak bercinta. Bayangkan nak jenguk keluarga pun susah.

“Jadi ada peluang misalnya cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini saya guna sebaik-baiknya untuk menjenguk orang tua saya di kampung. Kalau tidak memang saya tidak terdaya untuk jumpa keluarga," ujarnya.

Malah kata Yana, lantaran kesibukan kerjaya dalam seni menyebabkan dia terpaksa memikirkan semula soal cinta dan perkahwinan yang pernah disasarkannya menjelang usia 30 tahun.

“Kalau sebelum ini saya sasarkan untuk menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun namun jika dilihat dengan kesibukan kerja kebelakangan ini, saya rasa saya perlu tangguhkan dulu perancangan itu," katanya sambil ketawa.

Tidak tamak

Bergelar Heroin Terhebat, Yana mengakui perlu setanding dengan apa yang diperoleh dan diharapkan oleh peminatnya.

Tidak boleh berasa terlalu selesa dengan kedudukan tersebut Yana menegaskan, perlu meningkatkan usaha agar tidak menghampakan harapan mereka yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.

“Tanpa sokongan dan harapan peminat saya tidak akan merasa berada di kedudukan sekarang. Jasa mereka cukup besar kepada saya dan saya tidak tahu bagaimana untuk membalasnya," katanya.

Ditanya adakah dia tidak risau penonton filem dan drama tempatan akan jemu melihat dia terlalu kerap seolah-olah tidak ada pelakon lain, Yana yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya berlakon dalam pelbagai watak dan bukan hanya menjurus pada satu watak sahaja. Saya rasa isu jemu tidak akan timbul tambahan ramai penonton memberi komen yang baik terhadap lakonan saya selama ini," katanya.
yana samsudin
Yana Samsudin
Malah graduan ijazah sarjana muda dalam bidang perfileman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini memberitahu, dia kini lebih senang memberi tumpuan dalam bidang lakonan daripada pengarah.

Yana juga menolak dakwaan bahawa dia merajuk untuk kembali ke kerusi pengarahan apabila filem sulungnya, Selamat Pagi Cinta kurang mendapat sambutan.

“Saya bukan takut untuk mengarahkan filem lagi namun kekangan masa serta jadual penggambaran yang amat padat ketika ini membantutkan saya untuk terus mengarahkan filem.

“Lagipun jika dibandingkan ketika ini, bidang lakonan lebih memberi saya rezeki. Biarlah saya fokus dalam bidang lakonan buat masa ini.

“Sejak tiga tahun bertungkus lumus dalam di depan tabir bukan tidak terdetik di hati saya untuk kembali mengarah.

“Sekiranya ada rezeki mungkin tahun ini saya akan mengarahkan filem kedua saya. Tawaran mengarah memang ada, tambah pula saya adalah salah seorang pengarah yang disenaraikan dalam skim pengarah muda bersama Farid Kamil.

“Tetapi saya mahu selesaikan satu persatu dahulu. Ketika ini saya mahu fokus pada kerjaya lakonan terlebih dahulu," kata anak jati Johor ini.

Tidak mahu menyanyi lagi

Sebelum ini Yana juga telah menghasilkan album solo berjudul Yana Ceria pada tahun 2004 namun jualan album tersebut juga tidak seperti yang diinginkan.

Ketika ini, Yana pernah menyanyi lagu duetnya bersama Shahizey Sam berjudul Begini Caranya yang juga merupakan lagu tema filem Aku Ada Kau Ada, lakonan mereka berdua.

“Saya tak sangka lagu tersebut meletup. Sekarang ini pun lagu Begini Caranya berada dalam kedudukan yang cukup selesa dalam carta lagu di radio.

“Memang saya akui ada permintaan supaya saya teruskan bidang nyanyian. Namun bagi saya semua itu biarlah masa yang menentukan, lagipun buat masa ini saya belum sedia," ujarnya.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar