Malah, sesebuah hubungan yang mengambil masa yang panjang juga tidak menjanjikan kebahagiaan di kemudian hari.
Melalui beberapa peringkat hubungan dalam masa kurang setahun, pelawak terkenal, Harith Iskander, mengakui, kehidupannya bersama isteri, Dr Jezamine Lim Iskander, merupakan momen paling indah.
Ditambah pula dengan kehadiran si kecil, Zander Xayne Iskander, 10 bulan, kehidupan mereka diserikan dengan gelak ketawa.
"Kami melalui proses kehidupan yang sangat bahagia. Di awal perkahwinan, saya memang mahukan anak cepat-cepat.
"Setahun berkahwin, isteri disahkan hamil dan saya teruja menanti kehadiran Zander.
"Kehadirannya membawa kehidupan baru buat saya dan isteri. Banyak perkara baru yang kami belajar setelah bergelar ibu bapa," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 13 Jun 2010.
Urus anak bersama
Walaupun sentiasa sibuk dengan tugas dan kerjayanya, Harith tidak sesekali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Malah, Harith tidak betah melihat isterinya menguruskan Zander seorang diri. Baginya, tugas menguruskan anak terletak pada kedua-duanya.
"Kami lebih selesa jaga anak bersama. Dari situlah kami belajar untuk memahami sikap dan potensi anak.
"Pun begitu, kami masih lagi dalam proses try and error. Kami cuba untuk memberikan yang terbaik untuk Zander.
"Kami juga turut membawa Zander menyertai kelas setiap minggu di Gymboree Play & Music. Di situ, dia akan belajar bergaul dan bermain dengan kanak-kanak lain. Lagipun, Zander juga adalah duta Gymboree," katanya yang bakal muncul dalam program Lawak Ke Der 2.
Selain Harith, Lawak Ke Der 2, turut menampilkan pelawak terkenal termasuk, Jozan, Boboi dan Nabil.
Harith penyayang !
Melihat pada riak wajah Harith, mungkin ramai berpendapat, dia memiliki sikap yang garang. Namun, sebenarnya tidak! perkara ini diakui oleh isterinya yang juga model sambilan, Jezamine.
Kata Jezamine, keprihatinan Harith berjaya menambat hatinya sejak pertama kali bertemu.
"Dia (Harith) sangat penyayang malah sifat itu nyata terserlah ketika saya mengandung dan mengalami kesakitan di trimester pertama.
"Dia sangat risaukan saya. Bila Zander dilahirkan, sifat itu menggambarkan dia seorang bapa dan suami yang penyayang.
"Saya bersalin secara pembedahan dan tidak boleh bergerak terlalu banyak. Jadi, dialah yang banyak menjaga Zander," katanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memandangkan Zander bakal menjangkau umur setahun, baik Harith mahupun Jezamine, mereka tidak menolak sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat ini.
"Kalau ada rezeki, kami mahu tambah seorang lagi cahaya mata," katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar