Remy Ishak Dan Tiz Zaqyah
Siapa tidak kenal dengan pengarah hebat, Kabir Bhatia yang mula menjadi sebutan setelah drama bersiri arahannya ‘Nur Kasih’ yang ditayangkan pada 2011 berjaya mencuit hati penontonnya.
Nyata keupayaannya dalam menghasilkan drama tersebut dapat memberi impak yang mendalam dan tidak hairanlah drama ini dinobatkan antara drama yang memiliki jumlah penonton yang tertinggi pada tahun itu.
Karyanya tidak terhenti di situ apabila kini dia tampil mempertaruhkan drama terbaru sentuhannya berjudul ‘Cinta Jangan Pergi’ yang pastinya bakal menjadi fenomena baru kepada peminat drama tempatan.
Masih memilih gandingan pelakon utama yang sama dalam Nur Kasih iaitu Remy Ishak (Khalil) dan Tiz Zaqyah (Lea Soraya), drama bersiri 26 episod ini turut dijayakan oleh beberapa pelakon hebat yang lain seperti Nadiya Nisa, Josiah Hogan, Bil Azali, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Eleza Shada dan Kartina Ayoob.
Cinta Jangan Pergi yang bakal bersiaran mulai 6 April ini di saluran TV9 mengisahkan perjanjian manis sepasang kekasih, Lea dan Khalil sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir bakal mengubah segalanya.
Berkesempatan menghadiri majlis Pratonton Drama ‘Cinta Jangan Pergi’ di e@Curve Rabu lalu, Zaas tidak melepaskan peluang untuk menemu bual pelakon utamanya, Remy dan Tiz.
Tidak kekok bersama Tiz
Menyentuh mengenai gandingan bersama bekas kekasihnya, Remy memberitahu dia tidak memiliki masalah dan kekok malah seronok berlakon bersama. “Drama ini adalah cerita yang sangat menarik dengan kisah-kisah cinta yang manis. Jadi saya tidak mahu ketinggalan dan membuang masa melayani perasaan.
“Lebih baik saya menikmati dan fokus terhadap lakonan saya. Gandingan saya dan Tiz dalam drama ini adalah atas dasar profesional kami sebagai pelakon. Lagi pun kami memang tidak ada masalah dan masih berkawan,” jelasnya.
Elak dibayangi Nur Kasih
Memegang watak utama sebagai Khalil, Remy akui lakonannya kali ini sedikit sebanyak memberi cabaran hebat buatnya dirinya. Remy berkata, dia tidak mahu watak Khalil yang dibawanya menerusi Cinta Jangan Pergi di bayangi karakter Adam dalam Nur Kasih.
“Saya pasti penonton akan memberi perhatian terhadap perkara ini tambahan pula saya turut digandingkan dengan Tiz Zaqyah sama seperti Nur Kasih. Oleh itu, sebagai pelakon saya harus lakukan sesuatu yang berbeza supaya mereka tidak jemu dengan lakonan kali ini.
“Saya akui inilah cabaran besar buat diri saya dalam menjayakan watak ini selain terpaksa bertahan dengan cuaca yang sejuk ketika menjalani penggambaran di Eropah,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak mudah untuk membawakan tanggungjawab itu, namun dia akui gembira kerana diberi kepercayaan untuk menjayakan drama ini.
“Secara keseluruhannya, saya memang sukakan watak dan jalan cerita yang ditampilkan dalam drama ini. Bila pertama kali ditawarkan watak Khalil, saya tidak sabar untuk menjayakannya,” katanya.
Maya kekasih baru?
Mengulas lanjut mengenai gambar percutiannya bersama aktres jelita, Maya Karin yang dimuat turun ke Instagramnya, baru-baru ini, Remy akui hubungan mereka hanya sebagai teman rapat.
“Memang saya ada bercuti di Sabah bersama Maya. Percutian ini sebenarnya adalah atas jemputan pihak Yayasan Sabah. Kami berada di sama selama empat hari di mana dua hari kami berada di Imbak Cayon dan dua hari lagi di Gunung Kuli bersama kenalan Maya dan turut diiringi sekumpulan pengkaji ekologi.
“Seronok sepanjang berada di sana sebab kami juga didedahkan dengan pengetahuan mengenai alam semula jadi,” katanya.
Tambah Remy lagi, memiliki minat yang sama terhadap aktiviti lasak adalah antara faktor mereka berdua menjadi rapat dan dia juga tidak menolak sekiranya dia memiliki jodoh bersama wanita itu.
“Sejak itu kami mula rapat dan selalu berhubung. Sekarang ini apa yang boleh saya katakan, kami hanya berkawan rapat, tapi pada masa akan datang saya tidak tahu. Semuanya di tangan Tuhan, kalau ada jodoh saya tidak tolak,” katanya.
Bukan mudah bersama Remy
Berkongsi pengalaman, pelakon Tiz Zaqyah, 25 akui ia bukanlah mudah buat dirinya untuk bergandingan dengan bekas kekasihnya memandangkan mereka baru sahaja berpisah sewaktu menjalani penggambaran drama ini.
“Saya memang tidak nafikan berlakon bersamanya selepas kami berpisah sedikit sebanyak beri cabaran buat saya. Tapi atas dasar kerja kami perlu lebih profesional untuk memastikan drama ini dihasilkan dengan baik.
“Sepanjang menjalani penggambaran bersamanya, memang kami tidak ada masalah dan semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.
Menurut Tiz, selain daripada itu, cabaran cuaca yang sangat sejuk turut memberi kesukaran buatnya menjalani penggambaran.
“Saya terpaksa menahan sejuk memandangkan baju yang perlu saya pakai ketika itu agak nipis. Tapi mahu tidak mahu saya perlu lakukannya juga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tiz juga sibuk menjalani penggambaran ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’, drama yang diadaptasi daripada sebuah novel gandingannya bersama Izzue Islam untuk slot Zehra, TV3 dan pada masa yang sama, Tiz juga akan muncul dalam siri ‘Oh My English’ sebagai Cikgu Ayu.
Sudah temui pengganti
Seperti yang diketahui umum, selepas hubungannya bersama Remy terputus, Tiz kini dilihat sudah pun memiliki pengganti setelah beberapa keping gambar mereka mula dimuat naik di laman sosial Intagram miliknya.
Tidak menafikan perkara itu, Tiz mengaku jejaka bernama Daniel Haziq yang dimaksudkan itu adalah teman lelaki terbarunya.
“Saya memang sudah ada teman lelaki seperti yang peminat boleh lihat dalam Instagram saya. Dia bukanlah kekasih lama saya seperti yang dikatakan khabar angin yang tersebar tapi dia adalah teman sekolah sejak tingkatan dua lagi,” katanya.
Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai jejaka tersebut, Tiz berkata sikap sopan-santun dan sabar yang dimiliki oleh Daniel Haziq telah membuka hatinya untuk menerima pemuda itu.
“Dia seorang yang lemah-lembut, sabar dan tak suka marah-marah dan tahan dengan perangai saya. Itu yang membuat saya selesa dengannya. Bagi saya dalam sesebuah hubungan kematangan dan saling memahami adalah antara faktor yang penting,” kata Tiz.
Serik bercinta dengan artis?
Menyentuh mengenai perancangan dalam perhubungannya kini, Tiz memberitahu buat masa terdekat ini dia lebih selesa untuk memberi fokus terhadap kerjayanya terlebih dahulu.
“Saya masih muda, sekarang ini kalau boleh saya mahu fokus dan mengumpul duit terlebih dahulu sebelum memikirkan soal ini. Bertanya sama ada dirinya serik untuk menjalinkan hubungan cinta bersama rakan artis yang lain, Tiz akui perasaan dan keadaan bercinta sesama rakan artis dan orang biasa adalah sangat berbeza.
Bagaimanapun Tiz tidak menolak jika ketentuan telah menetapkan dirinya bakal bertemu jodoh dengan golongan artis.
“Memang beza kalau bercinta dengan orang biasa dan artis. Bila bercinta dengan orang biasa tidak ramai yang bagi perhatian terhadap hubungan kami,” katanya.
OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM
FOTO: AZMI ARYANTO
Tidak ada komentar:
Posting Komentar