Ampang: “Saya sedia memaafkannya namun dalam masa sama berharap dia bertaubat atas kesalahannya,” kata pelakon baru, Carmen Chew Richy, 22, yang memaafkan pengarah drama, Rashid Ahmad, 38 atau Rashid San berhubung insiden dikirim mesej berbaur seks, minggu lalu.
Carmen berkata demikian selepas menerima permohonan maaf terbuka daripada Rashid di pejabat Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), di sini, kelmarin, berhubung konflik antara kedua-dua mereka.
Menerusi Harian Metro 9 Mac lalu, Carmen mendakwa pengarah itu bertindak di luar batasan sejurus mengirimkan mesej seks kepadanya Januari lalu selain turut dipukul, ditampar dan tidak dibayar gaji.
Rashid bagaimanapun tampil menafikan dakwaan melainkan mengakui mengirimkan mesej berbaur seks bertujuan menyedarkan Carmen disebabkan pelakon itu tidak membayar sewa rumah di Setapak menyebabkan pemilik rumah mencarinya.
Selain itu, punca Rashid berbuat demikian kerana Carmen enggan menjalani penggambaran sebuah video muzik biarpun sudah menerima bayaran RM1,500 dan sebuah telefon bimbit.
Carmen Chew Richy
Menurut laporan akhbar Harian Metro lagi, pelakon baru, Carmen Chew Richy mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pengarah berusia 38 tahun.
Carmen, 22 mendedahkan nasib yang menimpanya itu kerana dia sudah tidak tahan dengan pengarah yang sudahpun berkahwin itu telah lebih 50 kali mengajaknya melakukan hubungan seks.
“Kerana menolaknya, saya bukan saja dipukul dan ditampar malah diugut disebarkan fitnah kononnya menjalin hubungan dengan ramai artis lain,” kata pelakon baru itu.
Pelakon Cina yang baru setahun berjinak di dalam dunia lakonan, berkata, dia mengenali pengarah itu pada April tahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan.
Carmen juga merupakan pelakon utama drama Kampung Simpang Burung.
“Pada awal perkenalan, lelaki itu menunjukkan sikap baik sebelum menawarkan beberapa lakonan. Sehinggalah pada Jun, saya dilantik sebagai pembantu peribadi kepada produksi miliknya,” katanya.
Kata Carmen, selepas hubungan mereka bertambah erat terutama hal kerja, pengarah itu beranggapan dia teman wanitanya dan melakukan gangguan seksual apabila meraba anggota badannya.
“Kerana menolaknya, saya ditampar dan dipukul Julai tahun lalu. Saya berbuat demikian kerana saya tahu dia sudah beristeri,” katanya.
Carmen beberapa kali menyatakan hasrat berhenti kerja namun dihalang lelaki itu sejurus diminta melakonkan sebuah video korporat dan dibayar RM1,000.
“Saya sedih menjadi mangsa keadaan. Bukan saja diajak lakukan seks, diraba dan dipukul, malah sepanjang setahun bekerja, saya dibayar hanya RM2,000,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar