Jumat, 22 Maret 2013

Pelakon Sanjay Dutt Dihukum Penjara Lima Tahun

Gambar Sanjay Dutt diiringi oleh anggota polis semasa hadir perbicaraan di Mahkamah.




NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bintang Bollywood, Sanjay Dutt.

Dutt didapati bersalah kerana menyimpan sejumlah senjata api milik kumpulan penjenayah yang terbabit dalam siri serangan bom terburuk di India pada tahun 1993.

Sebelum ini, aktor yang pernah membintangi filem Khalnayak itu pernah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan.

"Dia akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan enam bulan lagi. Kami akan menunggu salinan penghakiman mahkamah dan kemudian memutuskan tindakan yang selanjutnya," kata peguam Dutt, Satish Maneshinde.

Pada tahun 2007, Dutt dibebaskan daripada terlibat dalam satu siri serangan bom itu.

Bagaimanapun, dia didapati bersalah kerana memiliki sepucuk raifal AK-56 dan pistol.



Sanjay Dutt mulanya dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan memiliki sepucuk raifal automatik dan pistol yang diberikan kepadanya oleh sekumpulan lelaki yang kemudiannya didapati bersalah kerana terbabit dalam beberapa siri serangan bom di Mumbai.

Pelakon itu bertegas menyatakan dia tidak tahu menahu mengenai rancangan pengeboman itu dan meminta senjata itu untuk melindungi keluarga selepas menerima ancaman ketika rusuhan kaum di Mumbai. Ibu Dutt beragama Islam sementara bapanya, Hindu.

Dia menjalani hukuman penjara 18 bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada 2007 sementara menanti keputusan rayuan. Ini bermakna dia masih mempunyai baki tiga setengah tahun untuk menjalani hukuman itu.

Aktor yang berusia 53 tahun itu kini menjalani pengambaran filem terbaharunya, Policegiri.

Dutt yang merupakan anak pasangan legenda Bollywood, Sunil dan Nargis Dutt berkahwin dengan kekasih lamanya, Manyata pada Februari 2008.

Dia dikurniakan anak kembar dan seorang anak perempuan, Trishala daripada perkahwinan pertamanya.

Pelakon itu tidak berada di mahkamah ketika keputusan tersebut diumumkan.

Adik Dutt, Priya yang merupakan seorang ahli parlimen kecewa dengan keputusan itu.

Priya enggan bercakap dengan pemberita selepas dia keluar dari mahkamah. - Agensi

Tidak ada komentar:

Posting Komentar