Selasa, 05 Maret 2013

Penyanyi Nouri Ditahan Polis Kerana Disyaki Membunuh Suami



Nouri pernah merangkul anugerah Artis Baru Wanita Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1999.
 

AMPANG: “Saya rindukan anak-anak.” Itulah kata-kata terakhir Mohd Khairul Azmi Jaafar, 39, kepada rakan baiknya sebelum dia ditemui mati disyaki selepas bergelut dengan isterinya yang juga seorang penyanyi popular lewat 1990-an di sebuah kondominium di Ampang Utama, di sini, kelmarin.

Hasil bedah siasat, mangsa mati akibat serangan jantung berikutan pergelutan dan kekasaran.

Mangsa sebelum itu mengajak rakan berkenaan ke rumah penyanyi terbabit untuk berjumpa anak perempuan mereka berusia setahun.

Difahamkan, sebaik tiba di rumah itu jam 5 petang, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan isterinya sebelum dia pengsan dalam sebuah bilik dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat dan disahkan mati.

Seorang suspek iaitu penyanyi tahun 1990-an Nouri Ramli telah ditahan polis berhubung kematian suaminya yang dipercayai mati selepas bergelut dalam kejadian di kondominium Ampang Utama, dekat sini pada Selasa.



KONDOMINIUM tempat mangsa ditemui pengsan dalam sebuah bilik dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat dan disahkan mati.
 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang mengesahkan perkara itu berkata, Nouri bersama dua anak saudaranya telah ditahan pada pagi Rabu dan di reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan.

"Kami menahan wanita itu di rumahnya pagi tadi (Rabu) dan tidak dapat dipastikan berapa lama dia akan di reman.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Akhbar pada Rabu melaporkan seorang penyanyi wanita telah memukul suaminya sehingga mati kerana tidak mahu suaminya itu bertemu dengan anak perempuan mereka yang berusia setahun.

Gambar kenangan Nouri bersama suaminya, Khairul Azmi Jaafar


Mangsa, Khairul Azmi Jaafar, 39, mati dipercayai selepas dibelasah dalam keadaan kaki dan tangan terikat.

Kejadian ini dipercayai terjadi sekitar pukul 5 petang Selasa apabila berlaku pertengkaran melibatkan mangsa dan isterinya berhubung perebutan anak.

Dalam kejadian, Nouri, 39, dipercayai sengaja mengikat tangan dan kaki suaminya dengan bantuan dua anak saudaranya sebelum mangsa pengsan dalam sebuah bilik dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kerana pergelutan dan kekasaran.

Penyanyi wanita itu juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dengan mangsa sejak setahun lalu dan mereka juga dalam proses perceraian.

Nouri pernah popular dengan lagu Hadirmu Yang Terakhir dan turut memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar