MALAYSIA kini merupakan antara negara rantau Asia Tenggara yang menjadi pilihan banyak artis terkenal dunia untuk melebarkan pengaruh dan populariti mereka. Kesungguhan yang ditunjukkan pihak penganjur dapat memastikan artis-artis antarabangsa ini mendapat kelengkapan konsert bertaraf dunia, meskipun kebanyakkan daripadanya berbentuk konsert jelajah mempromosikan album-album baru semata-mata.
Menyoroti nama-nama besar yang sudah berkunjung ke negara ini sepanjang tahun, tidak dapat kita tolak sedikit sebanyak terdetik rasa bangga. Ini kerana kelihatannya, Malaysia diiktiraf selaku destinasi tetap kunjungan artis terkenal dunia.
Pada 2012, antara nama-nama besar yang sudahpun mengunjungi peminat di negara ini adalah selebriti sensasi dunia Jennifer Lopez (Jlo), Elthon John, kumpulan Maroon 5, Jason Mraz dan ramai lagi.
Tidak cukup dengan itu, himpunan konsert penyanyi dari Korea juga nampaknya berjaya meneruskan demam irama itu di kalangan peminat. Namakan siapa, Bing Bang, Wondergirls dan T-Ara? Mereka antara penyanyi K-pop yang berjaya membuat persembahan berskala besar di negara ini.
Bagaimanapun persoalannya, jika negara kita terus dikerumuni artis luar negara, apa pula nasib yang bakal dilalui penyanyi di negara kita sendiri?
Kebanjiran konsert artis luar di negara ini nampaknya meninggalkan kesan yang mencabar artis kita. Hanya dua nama besar sahaja yang berani mengadakan konsert secara solo di negara ini iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Yuna ditaja.
Hanya mereka artis wanita yang berjaya menganjurkan konsert secara solo pada tahun ini. Manakala konsert besar seperti 4 Lagenda misalnya, mempertaruhkan Shiela Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan juga Zainal Abidin dalam satu pentas untuk mengumpul peminat rang ramai. Malangnya, konsert yang sepatutnya menjelajah ke beberapa buah negeri ini akhirnya terpaksa membatalkan konsert mereka di Kuching, Sarawak kerana tiada sambutan.
Sememangnya, keterbukaan menerima pemuzik dari luar memberi peluang industri kita belajar daripada mereka yang lebih profesional.
Ia juga boleh menjadi kuasa besar untuk menarik kehadiran pelancong dalam negara.
Tidak dinafikan kehadiran mereka mampu menggamit ribuan peminat Malaysia dan juga negara jiran sekitar untuk menyaksikan persembahan. Malah ada juga yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan tempat duduk yang lebih baik untuk menyaksikan artis luar ini beraksi.
Senario ini seharusnya dilihat normal di dalam mana-mana industri hiburan.
Bagaimanapun ada sesuatu yang harus kita berikan perhatian apabila timbul perasaan takut di kalangan artis kita sendiri untuk mengadakan konsert atau persembahan berbayar.
Perasaan takut ini tidak seharusnya dilihat sebagai sikap paranoid tidak menentu. Ini kerana ada benarnya kesan kebanjiran konsert artis luar ini seperti menidakkan hak artis kita sendiri.
Malah pihak penaja juga sebenarnya lebih berminat untuk menaja artis-artis luar dari artis kita sendiri, kerana percaya keuntungan lebih berpihak kepada konsert artis antarabangsa.
Cuba mencari punca sebenar permasalahan ini, kita sebenarnya tidak perasan (atau sengaja tidak ambil tahu?) cara industri ini sendiri melayan penyanyi kita tanpa meletakkan nilai eksklusif seseorang artis itu di tahap yang sepatutnya.
Apakah artis kita hanya layak mengadakan konsert terbuka secara percuma?
Memang pada suatu sudut ia mendekatkan peminat dengan penyanyi tersebut namun apa yang kita tidak tahu adalah bila perkara ini mewujudkan definasi terbaru di kalangan peminat sendiri.
Tidak dinafikan sebenarnya kini ada di antara peminat kita beranggapan adalah sesuatu yang tidak berbaloi untuk menyaksikan persembahan artis tempatan kerana kemudahan untuk menyaksikan persembahan percuma itu terlalu banyak. Tanya mereka, untuk apa membayar kalau boleh dapat dengan percuma?
Sikap penaja yang terlalu 'berkira' dengan artis tempatan akhirnya menimbulkan tanggapan yang artis kita boleh ditonton dalam acara berbentuk percuma semata-mata. Mereka tidak akan sama sekali membayar.
Beri kepercayaan - Siti Nurhaliza
Berkongsi pendapat mengenai hal ini adalah penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Siti merayu agar penyanyi di negara ini turut diberikan kepercayaan untuk mempamerkan kebolehan.
Apa yang diperlukan adalah kepercayaan penaja kepada golongan artis itu sendiri. Realitinya kita tahu tidak semua mampu mengadakan konsert secara solo. Namun apa yang boleh kita lakukan adalah untuk kenali potensi setiap artis itu dahulu. Saya percaya ada di antara artis kita juga mampu menarik golongan peminat mereka dan tidak menjadikan penaja kerugian. Cuma, tidak banyak peluang diberikan, " katanya.
Melihat perkara ini dengan lebih mendalam, penyanyi Tahajjud Cinta ini percaya perkara ini memerlukan campur tangan pihak berwajib, didalam membantu artis kita untuk lebih berani kehadapan.
Saya tidak fikir dengan mengehadkan konsert artis luar bakal membantu memulihkan kembali perkara ini. Jika dilihat dari sudut positif bermacam benda baru boleh kita belajar daripada konsert artis luar negara terutamanya dari segi persembahan mereka.
Bagaimanapun artis kita masih memerlukan bantuan dari pihak tertentu di dalam merealisasikan persembahan berskala besar. Ini kerana, dari sudut itu kita mampu menyakinkan penonton di dalam memberikan kepuasan setaraf artis luar," katanya.
Terlalu mudah - Andy Flop Poppy
Sementara itu bagi penyanyi Andy yang juga vokalis kumpulan Flop Poppy, memberitahu keadaan semasa kini menyebabkan peminat muzik tempatan lebih rela menunggu konsert percuma yang kini wajib menghiasi acara tahunan industri kita.
Eksklusif artis itu sendiri sudah kita gadaikan dengan mengadakan konsert-konsert percuma sehingga peminat sendiri tahu ia tidak terlalu istimewa untuk menonton konsert berbayar lagi.
Bukan konsert percuma dari artis negara kita malah artis luar yang datang juga kadang kala mengadakan persembahan percuma, jadi tekanan ini agak berat sebenarnya untuk artis kita yang kita tahu mempunyai peluang yang agak terhad," katanya.
Dengan bantuan teknologi kita Andy juga tidak menolak untuk mengatakan artis kita lebih senang di dekati, yang kadang kala memberi impak kepada penyanyi itu sendiri.
Melalui Youtube kita dapat menyaksikan penyanyi itu, melalui Twitter kita mengenali lebih dekat artis tersebut. Apa yang kita tidak perasan apabila terlalu mudah didekati menyebabkan peminat rasa tidak berbaloi untuk membayar untuk menyaksikan mereka," katanya.
Faizal Tahir terkilan
Cukup terkilan! Itu merupakan kata-kata penyanyi Gemuruh ini. Bagi Faizal Tahir, bukan masanya untuk kita saling menuding jari mencari kesalahan. Bagi penyanyi ini, dia sendiri sedar apa yang penting adalah peluang yang harus diberikan kepada artis lokal untuk membuktikan kemampuan diri.
Tidak semua kehadiran artis luar itu akan mendapat sambutan. Saya rasa masih ada yang bersetuju untuk mengatakan artis kita sebenarnya berkeupayaan sama seperti artis luar.
Cumanya apabila peluang yang seharusnya di berikan sama rata itu terus didominasi artis luar, nampak seperti penyanyi kita dianak-tirikan dalam negara sendiri," katanya.
Percaya kerjasama yang baik di antara pihak media, pengajur ,penaja dan artis itu sendiri mampu melakukan perubahan, Faizal tidak menolak ini merupakan cara terbaik untuk memastikan nadi industri ini terus berdenyut.
Apa yang perlu kita tahu, industri kita kecil berbanding luar, bagi artis luar mereka sebenarnya mampu untuk meneruskan konsert tanpa pihak penajaan kerana pendapatan mereka yang begitu lumayan.
Sebagai penaja mereka seharusnya tahu memang diluar kemampuan artis kita untuk menganjurkan sebuah konsert itu tanpa penglibatan mereka. Jadi sudah sampai masanya untuk mereka memikirkan kedaan artis kita sebenarnya," katanya.
Mengakui lambakan konsert artis luar kini sedikit sebanyak mengugat pendapatnya sebagai artis, bagi Faizal ada caranya untuk terus membantu artis di negara ini agar tidak terus tertekan dengan perkara ini.
Saya akui pendapatan saya kini semakin berkurangan. Adakah kita mahu tunggu sampai semua artis putus asa dan baru kita mula menghargai apa yang saya dan artis lain cuba lakukan?
Mungkin sudah sampai masanya pihak penganjur yang semakin rakus memikirkan keadaan kami pula, artis-artis tempatan," katanya.
Artis pun ada silap - Joe Flizzow
Sementara itu bagi penyanyi Hip Hop, Joe Flizzow, sikap artis kita sendiri juga menjadi punca kepada masalahan yang timbul. Ini kerana, tidak banyak daripada mereka yang percaya kepada kemampuan diri sendiri.
Bagi Joe ada suatu ketika artis di negara ini seperti kehilangan punca sehingga mengelirukan peminat mereka apabila sering menyanyikan lagu artis luar dalam banyak persembahan di sini.
Ada suatu masa bila ada artis kita lebih suka menyanyikan lagu artis luar. Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana lambat laun akan timbul satu perasaan di kalangan peminat bahawa lebih berbaloi untuk menyaksikan artis sebenarnya menyanyikan lagu itu.
Dan bila ini berlaku, peminat kita secara automatiknya hanya akan mahu membeli tiket artis luar dari konsert penyanyi kita sendiri yang mereka tahu akan menghidangkan perkara yang sama," katanya.
Tidak mahu melihat perkara ini seperti tiada kesudahan Joe percaya lokasi seperti KL Live mampu membantu artis kita kembali pada teras yang lebih baik. Menurut penyanyi yang pernah terkenal menganggotai kumpulan Too Phat ini lokasi yang lebih kecil seperti itu dilihat sebagai alternatif untuk artis kita mengadakan konsert berskala kecil.
Kita perlu ada lokasi sebegini di dalam memulihkan kembali kepercayaan peminat kepada kemampuan artis kita.
Walaupun lokasi ini tidak mampu untuk menampung kehadiran peminat yang ramai namun ia masih berguna untuk menggerakkan industri muzik kita sendiri," katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar