KEBANYAKAN lagu ciptaan Datuk M. Nasir diminati para pendengar tidak kira sama ada dinyanyikannya sendiri atau dipopularkan oleh penyanyi-penyanyi lain. Jika tidak, masakan dia boleh mendominasi Anugerah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (Anugerah MACP) selama ini.
Sepanjang 17 kali anugerah itu dianjurkan, komposer kelahiran Singapura itu telah mengunggulinya sebanyak 13 kali, termasuklah pada anugerah yang diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara, Selangor baru-baru ini. Ramai yang tidak hairan dengan pencapaian Nasir itu.
Sebabnya, ramai yang kagum dengan kemampuan beliau mencipta lagu-lagu baru termasuklah lagu-lagu lamanya yang boleh dikategorikan sebagai malar segar dan terus diminati ramai peminat sehinggalah ke hari ini.
Bagaimanapun, Nasir yang telah mencipta hampir 2,000 buah lagu sejak hampir 30 tahun lalu tidak mempunyai formula tertentu dalam mencipta lagu.
Katanya, dia juga tidak ada resipi bagaimana untuk menjadikan sesebuah lagu itu popular di halwa telinga para pendengar.
"Sukar saya hendak cakap apakah formula yang saya gunakan untuk mencipta lagu supaya ia popular. Kalau ada formula itu bolehlah saya ajar kepada orang lain.
"Kalau cara mencipta lagu sahaja memang ada. Tetapi kalau hendak kasi orang minat, menjangkaui aspek teknikal.
"Bagi saya, ia lebih ke arah kerohanian. Sebabnya kita (komposer) mencipta sesebuah lagu dengan mengawal melodi dan senikatanya. Kalau ia boleh diminati ramai maka itu adalah suatu anugerah," komennya sewaktu ditemui selepas anugerah tersebut.
Sementara itu, Ramli Sarip yang memenangi anugerah Nadi Cipta berasa terharu kerana mendapat penghargaan tersebut selepas terbabit dalam bidang nyanyian dan muzik sejak lebih 30 tahun lalu.
Pada usia 60 tahun, dia masih berkarya dan ternyata kebanyakan karya-karyanya itu diterima oleh para pendengar dan menganggap royalti yang diterimanya daripada MACP sebagai suatu pendapatan yang menguntungkan golongan sepertinya.
"Ramai yang tanya saya bila mahu bersara daripada menyanyi, mencipta lagu dan bermain muzik sejak kebelakangan ini. Saya cakap sebagai anak seni kita tidak ada istilah bersara. Sejak dulu saya memang tidak ada kerja selain dalam bidang ini. Saya telah 32 tahun terbabit dalam bidang ini.
"Cuma saya tidak ada EPF (simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) seperti pekerja-pekerja dalam bidang lain. Saya masih ingat lagi suatu ketika dulu saya mencipta lagu dan hanya mendapat RM60 untuk sebuah lagu dan habis begitu sahaja. Tetapi dengan adanya MACP golongan seperti saya juga lebih terbela," ujarnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar