Sabtu, 15 Desember 2012

Nurul Elfira Loy teruja menjiwai watak Marjina



ENAM tahun lalu, dia hanya seorang kanak-kanak cilik yang bakatnya digilap di pentas teater. Namun, dengan peningkatan usianya yang semakin menginjak remaja kini, nama Nurul Elfira Loy, 18, sudah berada dalam kelompok golongan artis popular tanah air. Apatah lagi, banyak drama lakonannya diminati penonton.
Bagaimanapun, gadis genit ini nyata tidak pernah melupakan asal usul awal pembabitannya dalam seni. Pernah menjayakan teater muzikal kanak-kanak, Ali Baba dan 40 Penyamun ketika berusia 12 tahun dulu, kini si manis ini sedia kembali semula beraksi di gelanggang pementasan. 

Minat mendalamnya pada teater tidak pernah pudar walaupun sudah berstatus pelakon popular. Di bawah bimbingan Lokman Ghani sebagai pengarah persembahan berpengalaman, Elfira akan menjayakan teater muzikal Ali Baba yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) mulai 21 hingga 29 Disember ini, jam 8.30 malam.

Melakonkan watak Marjina yang pernah menjadi milik seniwati Datuk Sarimah Ahmad dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, karya asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu, Elfira mengakui dia amat teruja. Apatah lagi, katanya dia memang suka berlakon teater kerana di pentas ini terlalu banyak ilmu lakonan dan pengalaman diperolehnya.



Hadir pada sidang media baru-baru ini, Elfira turut mempertontonkan sedikit babak lakonannya kepada media. Malah, tidak disangka gadis jelita yang bertubuh kecil ini masih hebat lagi di pentas teater walaupun agak lama menyepi. Bahkan, Elfira juga boleh menari dengan baik dengan gerak tari yang bertenaga.

Elfira berkata, dia tidak pernah melupakan teater. Malah, dia juga tidak akan menolak sebarang tawaran berlakon teater kerana permulaan langkahnya dalam bidang lakonan pun berpaksi di atas pentas teater. Ujarnya, berlakon teater cukup memberikan kepuasan dan keseronokan kerana ilmu lakonannya cukup banyak.

“Apapun, menjayakan teater muzikal Ali Baba pada kali ini turut mengimbau semula kenangan saya enam tahun lalu beraksi di pentas IB. Walaupun ketika itu masih kanak-kanak tetapi ia tetap segar dan tak pernah luput di fikiran. Malah, pementasan yang terbaru ini pula agak berbeza kerana saya sudah pun remaja.

“Bersesuaian dengan matlamat IB mementaskan teater ini untuk golongan muda, saya akui seronok beraksi di samping Aznil Nawawi sebagai Ketua Penyamun, Fizo Omar (Ali Baba) dan juga Ebby Yus (Kassim Baba) kerana gandingan ini dilihat serasi. Mereka kesemuanya ada pengalaman tersendiri yang boleh dikongsi bersama.

“Bagaimanapun, saya berlakon tetap mengikut cara sendiri. Walaupun, Aznil dan Ebby Yus menonjolkan lakonan hebat mereka, saya tak pernah rasa tertekan. Saya berusaha mengikut rentak mereka supaya tidak tercicir. Menjadi diri sendiri adalah langkah paling baik kerana saya sentiasa dalam keadaan sedia dan bertenang.

“Saya juga tidak pernah fikir persaingan untuk tunjuk lagi hebat di hadapan mereka. Bagi saya menjayakan teater muzikal ini adalah kerja berkumpulan. Jadi, kami semua sebagai pelakon harus saling bekerjasama bagi memastikan ia berjaya dan penonton yang datang menyaksikannya terhibur,” katanya.

Berbicara mengenai langkah tarinya yang teratur, Elfira berkata dia baru saja beberapa hari berlatih gerakan itu. Ujarnya, barangkali ia mudah baginya kerana pengalaman lalu yang banyak membantu. Jadi, sedikit sebanyak asas tarian yang sudah dimilikinya itu digunakan sebaik mungkin untuk pementasan ini.

Selain teater, Elfira juga akan muncul dalam program realiti popular, Fear Factor Selebriti Malaysia pertama yang akan disiarkan Astro Ria pada 29 Disember ini. Elfira bersama 30 artis lain bersaing merebut gelaran juara untuk memenangi hadiah lumayan sebanyak RM200,000. Elfira berpasangan dengan Ajak (Shiro).

Berkongsi pengalamannya, Elfira berkata program yang rakamannya dibuat di Cape Town, Afrika Selatan itu cukup mencabar daya ketahanan fizikal dan mental. Ia bukan saja untuk mengatasi ketakutan tetapi berupaya membangkitkan semangat juang yang tinggi dalam diri. Itulah yang sentiasa dirasakannya sepanjang bersaing.

“Masing-masing di kalangan kami semua peserta enggan mengalah. Apatah lagi, saya sendiri yang kebanyakan peserta lain kurang yakin dengan kemampuan diri ini. Apapun, saya tidak menyalahkan mereka atas pandangan itu kerana selama ini mungkin ramai yang tidak tahu bahawa saya sebenarnya seorang yang lasak.

“Saya sukakan aksi mencabar kerana ia mampu membentuk lebih keyakinan diri.
Jadi, saya ambil peluang menyahut cabaran itu di Fear Factor Selebriti Malaysia yang ternyata memberi banyak pengalaman bermakna kepada saya. Bukan sekadar berjaya mengatasi ketakutan diri, tetapi artis Malaysia memang berani,” katanya.

Menyentuh pula perkembangan lakonannya, Elfira kini dianggap cukup bertuah kerana pada usia yang belasan tahun itu, dia sudah berpeluang beraksi di samping dua bintang ternama Indonesia, Randy Pangalila dan Baim Wong.

Bermula dengan Randy menerusi telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang tahun lalu, kini gandingan mereka diteruskan pula ke siri drama Dalam Hati Ada Taman di Astro Ria setiap Isnin, jam 9.30 malam.

Baru-baru ini pula Elfira mendapat peluang lagi. Kali ini dia berlakon di sisi Baim di dalam telefilem Untuk Terakhir Kali, juga di bawah arahan Michael Ang.

Elfira berkata, peluang diperolehnya itu adalah rezeki. Namun, katanya pengalaman berlakon di sisi kedua-dua aktor kacak dari seberang itu amat berbeza. Mereka nyata memiliki aura dan kehebatan tersendiri.

“Berlakon di sisi Randy, saya mungkin sudah biasa dan tak kekok lagi. Apatah lagi, kami sama-sama remaja dan sudah tentu keserasian antara satu sama lain itu mudah diwujudkan. Namun, Baim pula agak matang dan tak dinafikan pada mulanya saya agak gementar.

“Bagaimanapun, berlakon dengan orang berpengalaman seperti mereka memang tiada masalah. Mudah kerana mereka suka membantu. Apapun, peluang berlakon dengan Baim diperoleh kerana saya dan dia adalah kawan,” katanya.

Menurut Elfira, dia hanya bertanya kepada Baim sama ada mahu cuba berlakon di Malaysia dan pemuda itu tidak menolak jika mereka bergandingan bersama. Menurut Elfira lagi, Baim yang menghubungi Michael memaklumkan dia persetujuannya.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar