DUA hari lepas, personaliti terkenal TV3, Zakiah Anas telah selamat bergelar isteri kepada pasangannya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, hanya dengan sekali lafaz.
Tarikh 12 Disember 2012 (12.12.12) telah dipilih bagi pasangan ini untuk melangsungkan majlis akad nikah yang bertempat di Masjid Kota Damansara, Selangor yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan baiknya.
Zakiah yang merupakan ibu tunggal dua orang anak ini telah memilih rakan lama yang dikenalinya sejak 21 tahun lalu yang mana mereka telah dinikahkan oleh kadi Mohd. Arip Johdi pada pukul 11.35 pagi dengan berwalikan abangnya, Mohd. Adnan Anas.
Namun begitu, difahamkan Zakiah tidak menjemput pihak media untuk ke majlis pernikahannya. Ini kerana, majlis tersebut merupakan perkara peribadi buat diri Zakiah.
Zakiah ketika dihubungi ternyata gembira dan bersyukur kerana majlis pernikahan mereka berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, terima kasih diucapkan kepada rakan baik Zakiah, juga personaliti TV3, Mazidul Akmal Sidik yang memberi kebenaran buat Kosmo! untuk mengambil foto dari blognya, mazidulakmal.com. Ikuti temu ramah Kosmo! bersama pengantin baharu ini.
Kosmo!: Tahniah atas perkahwinan Zakiah dengan Raja Shahrul Azmi. Boleh ceritakan bagaimana anda dan suami mula berkenalan?
ZAKIAH: Saya kenal Azmi di TV3 yang mana ketika itu saya baru memulakan karier di TV3 pada tahun 1991. Azmi ketika itu hadir bersama bapa saudaranya di sana iaitu Mahathir Lokman. Namun ketika itu kami hanya kenal-kenal begitu sahaja, tidak terlalu rapat. Keluar pun ramai-ramai bersama teman-teman yang lain. Sampailah dia melanjutkan pelajaran ke luar negara kami terus tidak berhubung.
Jadi selepas 21 tahun lamanya, baru Zakiah dan Azmi berjumpa semula?
Ya, selepas 21 tahun yang mana sebenarnya dua tahun lepas kami berjumpa semula. Namun, kami mula serius dalam perhubungan sejak tahun lepas. Kami berdua masing-masing sudah solo dan dia juga merupakan seorang duda yang mempunyai empat anak.
Justeru, bilakah Zakiah ambil keputusan untuk berkahwin dengan Azmi?
Sepanjang perkenalan saya dan dia, banyak kali juga saya berjumpa ibu bapa Azmi. Melihat keakraban kami, ibunya mula bertanya soalan tentang menamatkan zaman solo kami. Bulan puasa tahun lalu, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.
Bagaimana pula penerimaan Zakiah ketika dilamar Azmi. Terus setuju atau ambil masa untuk berfikir?
Saya terima lamaran tersebut kerana hati memang sudah terbuka untuknya. Kami mempunyai banyak persamaan. Sebagai contoh, jika keluar makan, kami berdua tidak kisah mahu makan di mana pun dan kami memang gemarkan masakan Perak. Saya juga terima dia kerana dia boleh bergaul mesra bersama anak-anak saya.
Bagaimanakah pula dengan anak-anak Zakiah. Adakah mereka juga setuju atau sebaliknya?
Perkara ini sememangnya sangat sensitif. Anak mana yang bersetuju jika ibu bapa mereka bercerai dan ingin berkahwin semula. Apabila saya beritahu mereka ingin berkahwin, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Memang saya akui sangat sedih dan berat hati ingin membuat keputusan untuk berkahwin semula bila fikirkan tentang anak-anak.
Sebelum ini, tidak terdetikkah rasa serik ingin berkahwin lagi setelah pernah gagal dalam perkahwinan pertama?
Sejujurnya memang saya tidak pernah merancang untuk berkahwin semula selepas gagal kali pertama. Memang rasa serik namun bila difikirkan umur saya yang sudah meningkat dan ada pula yang suka. Jadi, saya teruskan niat ini.
Sumber dipetik dari KOSMO.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar