Kamis, 13 Desember 2012

Polis Gagalkan Cubaan Untuk Membunuh Justin Bieber

Justin Bieber dilaporkan menjadi sasaran satu plot pembunuhan yang dirancang oleh seorang banduan.



LOS ANGELES - Penyanyi pop remaja, Justin Bieber dilaporkan menjadi sasaran satu plot pembunuhan yang dirancang oleh seorang banduan, Dana Martin, menurut beberapa laporan kelmarin.

Stesen televisyen ABC melaporkan, Martin, 45, merupakan banduan di sebuah penjara di New Mexico yang mahu Bieber, 18, dikasi dan dibunuh termasuk pengawal peribadi penyanyi berkenaan.

Martin dijatuhkan hukuman penjara selama 978 tahun kerana kesalahan merogol dan membunuh seorang gadis berusia 15 tahun pada 2000.

Terdapat imej Bieber pada tatu banduan tersebut di salah satu kakinya.

Martin mahu membunuh penyanyi tersebut selepas dia gagal menghubungi Bieber, menurut afidavit polis yang didedahkan media.


Mark Staake yang diupah untuk membunuh Justin Bieber.

 
Dia menemui seorang bekas banduan, Mark Staake yang diupah untuk melakukan pembunuhan tersebut.

Staake kemudian melakukan tugas tersebut bersama anak saudaranya, Tanner Ruane.

Menurut akhbar The Sun, serangan terhadap Bieber itu dirancang dilakukan pada November lalu semasa penyanyi berkenaan membuat persembahan di Madison Square Garden, New York.

Bieber akan dijerut dengan menggunakan tali leher.

Tali leher yang perlu digunakan untuk membunuh Bieber mesti mengandungi satu corak yang sama.

Polis mendakwa, Staake menemui Martin di penjara Las Cruces di New Mexico.

Martin dilaporkan mahu membunuh empat orang termasuk Bieber.

Polis berjaya mematahkan percubaan itu selepas mengintip perbualan Martin, Staake dan Ruane.

Ruane dilaporkan memberitahu Martin bahawa plot pembunuhan tersebut masih belum dilakukan.

Martin dilaporkan membuat pengakuan kepada polis dan memberikan nama Staake dan Ruane berhubung plot tersebut.

Menurut akhbar Toronto Star yang mendakwa melihat kandungan afidavit itu, Staake dan Ruane akan menerima AS$2,500 (RM7,635) bagi setiap testikel yang mereka potong.

Staake kemudian ditangkap di Vermont manakala Ruane ditahan di New York dengan gunting pemotong ditemui di dalam keretanya.

Staake masih ditahan manakala Ruane telah dibebaskan.

Setakat ini, kedua-dua mereka tidak dikenakan dakwaan percubaan membunuh.

Sementara itu, pengurus Bieber, Scooter Braun mengeluarkan kenyataan kepada US Weekly dengan menyatakan pihaknya mengambil setiap langkah untuk melindungi dan memastikan keselamatan Bieber dan para peminatnya. - Agensi


Tidak ada komentar:

Posting Komentar