PENGALAMAN lebih 25 tahun di dalam industri belum dapat memastikan mereka mendapat layanan istimewa. Walaupun pahit untuk menelan kesahihan tersebut, bagi vokalis kumpulan rock terkenal May, ini merupakan realiti yang harus mereka terima. Mengimpikan untuk mengadakan konsert khas sempena ulang tahun ke 25 kumpulan May, hasrat ini sudah tertangguh hampir setahun kerana tiada penaja yang mahu membantu mereka meneruskan konsert tersebut.
"Kami sebenarnya sudah memberi tarikh kepada peminat kami, untuk konsert ini diadakan. Bagaimanapun ketiadaan penaja memaksa kami menangguhkan dahulu konsert ini.
"Sampai bila itu tidak pasti kerana sehingga kini masih belum ada penaja yang memberikan kata pasti untuk menjayakan konsert kami," katanya.
Percaya mendapat galakkan yang baik dari peminat muzik mereka, namun Mus tetap tidak menolak untuk mengatakan masih ada peminat di negara ini yang tidak percaya kemampuan artis tempatan.
"Bila kita sudah selalu di sogokan dengan persembahan artis luar negara, secara automatiknya peminat akan berpendapat lebih berbaloi untuk menanggung kos tiket artis luar dari artis tempatan.
"Saya percaya peminat itu wujud, cuma mereka merasakan artis kita tidak terlalu eksklusif untuk dibayar. Itu yang menyebabkan mereka tidak mahu mengeluarkan duit untuk menonton konsert, kerana mereka tahu akan dapat menonton persembahan artis itu secara percuma melalui pelbagai saluran," katanya.
Berbanding dengan era 90-an dan tahun 80-an, Mus berkata, pada waktu itu peminat tidak mempunyai cara lain untuk bertemu penyanyi pujaan mereka selain melalui konsert.
"Pada waktu itu peminat menghargai penyanyi melalui kehadiran mereka ke konsert. Sebab itu susah untuk melihat kegagalan sesuatu konsert pada waktu itu.
"Bagaimanapun kini keadaan cukup mencabar. Artis khususnya penyanyi seperti silap percaturan mencari publisiti sehingga meletakkan kerjaya sebagai penyanyi begitu mudah didapati.
"Jika difikirkan, memang tidak salah untuk artis dan peminat saling berkenalan tanpa sempadan, tetapi jangan sampai menjejaskan periuk nasi kita sendiri," katanya.
Sukar cari penaja
Namun itu bukan hanya masalah May semata-mata. Banyak lagi nama-nama besar dalam dunia nyanyian terpaksa memadamkan impian mengadakan konsert gara-gara ketiadaan sumber kewangan.
Sikap penaja yang lebih memihak kepada artis luar, menjadi punca utama masalah tersebut.
Bagi pemilik Mewah Event Management, Aida Husin, soal ketiadaan penaja menyebabkan banyak konsert artis tempatan terbantut di tengah jalan.
"Memang benar, punca utama artis tempatan gagal meneruskan konsert bukan kerana takut tidak ada sambutan tetapi kekurangan penajaan.
"Jika tiada penaja bagaimana sesebuah konsert itu akan diteruskan? Tanpa promosi siapa yang akan mengetahui konsert tersebut dan tanpa penajaan juga sukar rasanya untuk kami menyediakan lokasi dan memberikan kemudahan bunyi terbaik sepanjang konsert," katanya.
Mengulas kehadiran artis luar yang terus memenuhi jadual persembahan negara, ada kata-kata terkilan dari penganjur konsert Lagenda itu.
"Mungkin benar artis luar kini lebih mendapat tempat di hati peminat. Tetapi jangan kita lupa artis kita sebenarnya yang sedang berusaha menggerakkan industri kita yang semakin nazak ini.
"Sungguh tidak adil untuk kita membelakangkan kemampuan artis kita. Sudah sampai masanya ada tindakan yang sewajarnya agar artis kita tidak terus diperlekehkan," katanya.
Ditanya sama ada masih relevan untuk artis di negara ini mengadakan persembahan sedangkan terdapat banyak saluran yang membolehkan peminat menonton secara percuma, Aida menjelaskan konsert juga penting untuk industri itu.
"Konsert merupakan pencapaian seseorang artis tersebut, setelah bergelar penyanyi akan ada satu tahap yang memerlukan mereka di uji dipentas sebenar," katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar