Senin, 03 Desember 2012
Kunci Kebahagiaan Ratu Rock Ella Dan Azhar
JODOH itu rahsia Allah SWT, begitu ungkapan yang keluar daripada mulut pasangan pengantin Ella atau Norzila Aminuddin dan Azhar Ghazali pada majlis resepsi mereka, di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor (KDE),
1 Disember lalu.
Ungkapan tersebut keluar daripada mulut mereka apabila membicarakan tentang pelayaran cinta yang ditempuh bertahun lamanya sehingga ia diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Seperti kata Azhar, dia sendiri tidak menyangka, perkenalan sembilan tahun lalu dengan penyanyi legenda rock tanah air tersebut akan menukar status dirinya daripada seorang peminat kepada suami buat Ella.
Ella sendiri sepanjang perjalanan hidupnya, bukan seorang dua lelaki yang pernah dikenali, namun akhirnya tanpa disedari hatinya terpaut kepada juruterbang penerbangan tambang murah, Firefly tersebut.
Sebab itu mereka sepakat mengatakan bahawa jodoh merupakan rahsia Allah SWT.
“Niat yang baik, sentiasa berakhir dengan positif,” tambah Azhar lagi dengan tutur kata yang teratur dan sopan.
Kini, selepas melewati usia lima bulan menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah pada 7 Julai lalu, Ella dan Azhar mengaku kehidupan mereka cukup bahagia.
“Alhamdulillah, kami sedang menikmati kehidupan yang bahagia. Sebenarnya, perjalanan rumah tangga kami sama sahaja dengan perjalanan rumah tangga pasangan lain, tiada apa yang berbeza,” dedah Ella pula.
Azhar kemudian menyambung, biar mereka mempunyai jadual kerja yang selalu bertembung, namun sebolehnya dia akan mencuri masa untuk dihabiskan dengan isteri tercinta. Jika punya waktu emas untuk dihabiskan bersama, pasangan tersebut akan melakukan aktiviti luar seperti berkelah di air terjun dan bersenam bersama.
“Oh, baru-baru ini, Azhar juga ajar saya cara memandu kapal terbang,” ujar Ella penuh teruja sebelum secara berseloroh, Azhar memberitahu: “Kalau saya sakit, dia boleh ganti memandu.”
Kebahagiaan mereka juga terlihat jelas apabila Ella yang duduk di sebelah Azhar memegang erat tangan suaminya itu selain memberi peluang Azhar menjawab persoalan media.
Sering kali penyanyi tersebut bercanda dalam banyak bicara dengan media, termasuk saat dilontar persoalan, sudahkah dia mula memasak untuk suaminya itu.
“Macam mana nak masak, kalau setiap kali mahu memasak, dia akan peluk saya dari belakang,” jawab Ella manja sambil diiringi tawa daripada semua tetamu yang mendengar jawapan jujur penyanyi kelahiran Klang, Selangor tersebut.
MELAYARI alam rumah tangga selama lima bulan, Ella dan Azhar memberitahu, mereka menjalani kehidupan suami isteri seperti pasangan yang lain.
Sementara itu, melontarkan persoalan kepada Azhar tentang perubahan hidupnya kini yang menjadi suami kepada penyanyi popular, akui lelaki berusia 32 tahun tersebut, dia mula dikenali banyak orang. Namun, hal tersebut langsung tidak mengganggu kehidupannya.
“Ya, sudah ramai orang yang semakin mengenali saya sebagai suami Ella, tetapi ia tidak mengubah corak hidup saya. Sepanjang tempoh lima bulan menikahi Ella dan semakin dikenali ramai, saya hanya menjadi diri sendiri yang sebenar dan membawa diri saya sebaik mungkin pada mata khalayak. Saya senang begini,” ujar Azhar.
Tambahnya lagi, asuhan dan didikan daripada keluarga dan pergaulannya sehari-hari juga banyak membantu dia dalam berhadapan dengan situasi baharu apabila menerima tempias populariti isterinya yang menjadi pujaan ramai.
Ella kemudian menambah, dia cukup senang dengan perwatakan suaminya yang tidak berubah dan menjadi diri sendiri. Paling membahagiakannya apabila Azhar tidak cepat melenting dengan hal-hal remeh yang selalu menjadi permainan dunia hiburan.
Kata penyanyi berusia 47 tahun itu: “Suami saya seorang yang tenang dalam apa situasi pun, tidak cepat melatah dan seorang yang rasional terhadap apa sahaja perkara. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana dinikahi oleh lelaki yang amat memahami diri dan karier saya.”
Reda
Menjadi sesuatu perkara yang klise, sebaik berumah tangga, soalan wajib yang akan ditanya kepada pasangan pengantin baharu adalah tentang zuriat.
Mengambil tanggungjawab menjawab persoalan tersebut, Azhar memberitahu, mereka tidak mempunyai perancangan keluarga, sebaliknya menyerahkan soal rezeki tersebut kepada Allah SWT.
“Kami berusaha untuk memperoleh anak, tetapi segalanya bergantung kepada keizinan Dia. Jika diperkenan, Alhamdulillah, jika tidak, kami reda,” ujar Azhar penuh sopan.
Malah Ella yang diajukan persoalan sama ada dia cemburu atau tidak kepada pelakon Diana Danielle yang baru sebulan dinikahi Farid Kamil sudah hamil, dia pantas menggelengkan kepala sambil menjawab tidak perlu berasa cemburu.
Katanya: “Saya tak cemburu, tapi mahu ucap tahniah buat mereka berdua. Insya-Allah, kalau ada rezeki buat kami timang cahaya mata, pasti ada nanti.”
Umrah
Umpama satu tradisi bagi setiap pasangan pengantin baharu, agenda berbulan madu menjadi ritual wajib untuk mereka meraikan kemenangan cinta yang disimpul dengan ikatan sah.
ELLA memberitahu dia baru mengambil suntikan Rubella sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat bersama suaminya, Azhar. Dia bagaimanapun dinasihatkan doktor untuk mula merancang kehamilan selepas tiga bulan suntikan virus tersebut diambil.
Tidak terlepas bagi Ella dan Azhar. Mengaku sudah beberapa kali berbulan madu di dalam negeri dan pulau-pulau kegemaran mereka, namun ada sebuah destinasi yang menjadi misi mereka untuk dijejaki pada tahun hadapan.
Mereka mahu menikmati manis dan mencari berkat ikatan rumah tangga dengan berbulan madu ke Madinah dan Mekah dalam rangka menunaikan umrah bersama-sama.
“Sebelum mahu ke negara lain untuk berbulan madu, kami ingin melaksanakan impian untuk menziarah Madinah dan Mekah dulu. Kami mahu menunaikan umrah buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun kami belum mempunyai ketetapan waktu untuk menunaikan umrah,” ujar Azhar.
Kredit: Sumber
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar