Farid Kamil dan Diana Danielle..sama cantik dan sama padan.
Pengantin dikejutkan dengan hadiah kereta mewah BMW daripada bapa Farid.
Sama cantik sama segak. Hampir sebulan disatukan sebagai suami isteri, pasangan serasi, Farid Kamil dan Diana Danielle diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di Taman Ekuestarian Putrajaya, Sabtu lalu.
Memenuhi impian perkahwinan dalam taman si mempelai wanita, majlis turut diserikan dengan kejutan buat tetamu yang dirangka sendiri sang suami.
Dari awal lagi, perhatian tetamu sudah diraih apabila dua pelakon popular tanah air ini tiba menaiki kereta kuda yang dikendalikan pegawai khas unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tidak cukup di situ, pasangan pengantin yang secocok berpakaian serba putih kemudiannya diarak ke pelamin.
Tentunya, majlis ini lebih bermakna buat Farid dan Diana kerana mereka tidak berdua, sebaliknya turut ditemani 'si kecil' yang berada di dalam perut Diana.
Bakal bergelar ibu bapa sembilan bulan lagi, pengantin baru yang ditemui selepas majlis berakhir sempat berkongsi keterujaan mereka sebaik mengetahui kehamilan Diana.
"Kami tak pun jangka saya akan hamil secepat ini. Debaran itu tiada, tetapi lebih kepada teruja.
"Apa pun, saya terima kurniaan Tuhan ini dengan senang hati," kata Diana yang semakin berseri.
Memandangkan usia kandungan masih baru, Diana memberitahu dia belum mengalami simptom ibu mengandung.
Sebaliknya, suami tercinta pula yang sering muntah-muntah pada waktu pagi.
"Ada orang cakap, simptom ibu hamil boleh terkena pada ayah.
"Apabila saya mengadu pada Diana, dia suruh saya bersabar," kongsi Farid pula.
Dalam pada itu, Diana turut menafikan dia cuba melarikan diri daripada media sebaik mengumumkan kehamilannya di laman sosial.
"Saya harap anda (media) tidak marah. Saya memang suka berkongsi hal peribadi dengan peminat.
"Tetapi, bagi saya, cukuplah setakat itu. Saya tidak gemar bercerita lebih," pinta Diana memohon pengertian.
Puji masakan Diana
Seperti pasangan lain yang baru mendirikan rumah tangga, Farid dan Diana juga kini dalam proses lebih mengenali diri masing-masing.
Menariknya, kata Farid, walaupun sebelum ini mereka bercinta hampir tiga tahun, dia tidak menyangka isterinya boleh memasak.
"Ternyata, sangkaan saya silap kerana Diana sudah boleh memasak makanan kegemaran saya seperti nasi tomato dan ayam masak merah.
"Walaupun ada kekurangan, saya tetap suka masakan dia kerana Diana sangat bersungguh-sungguh," katanya.
Diana pula mengakui dia sememangnya mahu menambat hati suami melalui masakan.
"Tips ini diberikan sendiri ibu Farid dan saya ambil serius.
"Saya mahu bahagiakan Farid, sebab itu saya tidak kisah belajar memasak deminya," kata Diana pula.
Tangguh belajar
Sebelum ini, Diana pernah melahirkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di Australia selepas berkahwin.
Namun, memandangkan dirinya kini berbadan dua, kata Diana, berkemungkinan dia terpaksa menangguhkan hasrat tersebut.
"Saya memang teringin sambung belajar, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan.
"Mungkin saya akan fikirkan balik kerana semua perkara ini berlaku dengan pantas," katanya.
Bagaimanapun, menurut Diana, dia tidak mempunyai perancangan untuk memperlahankan karier seninya selepas hamil.
"Saya tidak mahu jadikan kehamilan ini sebagai alasan untuk 'goyang kaki'.
"Jika ada tawaran bersesuaian, saya akan terima. Lagipun, saya seorang yang aktif dan tidak reti duduk diam," katanya.
Tetamu terpaksa bergelap
Mengulas mengenai resepsi yang diadakan, kedua-duanya berpuas hati dengan perjalanan majlis.
"Kalau diikutkan sepatutnya saya dan Diana datang dengan menaiki kuda.
"Tetapi, kami tukar perancangan itu di saat akhir kerana saya risaukan kandungan dia," kata Farid.
Meskipun majlis beberapa kali terganggu dengan masalah ketiadaan elektrik, kedua-dua mempelai memanjatkan syukur kerana segala perancangan mereka berjalan lancar.
"Kami mohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam majlis ini yang kami sendiri tidak jangkakan.
"Bagaimanapun, kami sangat berterima kasih kepada 600 tetamu yang sudi meraikan hari bersejarah ini dengan kami," kata Farid.
Mengenai majlis resepsi sebelah lelaki yang akan diadakan di Jitra, Kedah, kata Farid, mereka masih mengekalkan konsep 'garden wedding'.
"Cuma perbezaannya nanti, majlis itu akan diselitkan dengan unsur Melayu tradisional.
"Setakat ini, tarikhnya masih belum ditentukan," katanya.
OLEH SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
Tidak ada komentar:
Posting Komentar