Tampilkan postingan dengan label Artis Mendapat Hidayah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Mendapat Hidayah. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 15 Juni 2013

Manisnya Fiza Elite Bila Bertudung




Ketika menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 30 pada Ogos 2011 yang lalu, Fiza Elite ada meluahkan hasrat beliau untuk berubah ke arah diri sendiri yang lebih baik & salah satu niatnya adalah untuk berhijab.

Setahun sembilan bulan selepas itu, Fiza Elite nampaknya telah berjaya menunaikan hasrat beliau itu dengan tampil bertudung penuh pada 6 Jun 2013 yang lalu — dan di’umum melalui akaun Instagram.


“Memang saya terfikir untuk bertudung sejak beberapa bulan ini. Saya tak mahu terburu-buru takut nanti saya melakukannya separuh jalan sahaja”

“Mahu berubah ini bukan setakat bertudung sahaja, tapi memerlukan kita untuk berubah secara dalaman juga”

“Cukupkah amalan kita? Cukupkah sembahyang kita?… tetapi kalau suatu hari nanti, anda lihat saya bertudung… itulah dia,” ujar Fiza Elite yang pernah popular dengan imej seksi di zaman remaja.

Berikut beberapa keping imej berhijab terbaru Fiza Elite — 

manis ‘kan?






Kredit Sumber: Rotikaya

Rabu, 01 Mei 2013

Memey Ikut Langkah Abby Untuk Bertudung


 Dari kiri: Abby Abadi, Norman Hakim dan Memey Suhaiza


Memey Suhaiza



JIKA sebelum ini, Natasha Hudson, Puteri Sarah Liyana dan Alyah memilih untuk mengenakan imej bertudung, kini giliran isteri kepada pelakon, Norman Hakim, Memey Suhaiza pula.

Mula mengenakan tudung ketika menghadiri majlis sukan anak tirinya, Mohamed Danish Hakim, 8, dua minggu lalu, akui Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 25, dia mula selesa dengan imej itu.

"Alhamdulillah, akhirnya di usia ini, saya mendapat hidayah dari-Nya.

"Sebelum ini, abang (Norman) pernah meminta saya untuk bertudung ketika ulang tahun kelahirannya pada 8 Januari lalu.

"Namun, ketika itu saya masih belum bersedia walaupun niat untuk bertudung sudah lama difikirkan. Pun begitu, abang tidak mendesak dan memahami situasi saya. Apabila saya beritahu abang, dia sangat gembira dan menyokong penuh keputusan saya," katanya yang baru sahaja melahirkan bayi pertamanya, Mohamed Darwisz Hakim, pada 1 Februari lalu.

Selain Mohamed Danish Hakim, Memey turut mempunyai dua lagi anak tiri, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3, hasil perkongsian hidup Norman bersama bekas isterinya, Abby Abadi.

Ditanya mengenai keputusannya untuk bertudung berkait rapat dengan silaturahimnya bersama Abby Abadi, Memey tidak menafikan perkara itu.

Malah, menurut Memey, dia dan Abby pernah berborak dan Abby turut menasihatinya untuk berhijrah.

"Saya tidak kisah sekiranya ada yang berpendapat, penampilan dan penghijrahan Abby membuatkan saya terpengaruh untuk berhijrah kerana ia adalah sesuatu perkara yang baik.

"Dia (Abby) sering menasihati saya, namun ketika itu hati saya masih belum bersedia dan terbuka untuk berubah.

"Namun, saya tidak setuju jika ada yang mengaitkan saya dengan fahaman politik Abby. Walaupun saya bertudung, namun kami tidak pernah berbincang mengenai politik dan saya memilih untuk tidak mencampuri urusan politiknya," katanya yang mengakui menerima banyak tawaran sejak bertudung.

"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah walaupun saya tampil bertudung.

"Sebelum ini, saya sering dihantui dengan persoalan dan dilema sekiranya perubahan saya ini sukar diterima industri. Namun, saya tak sangka, rezeki saya masih ada.

"Apa yang penting, keikhlasan kita dalam membuat sesuatu keputusan dan percaya pada rezeki ALLAH SWT," katanya yang baru sahaja menjalani penggambaran rancangan, Roda-Roda KL.

Ingin hamil lagi

Walaupun usia Darwisz baru sahaja menghampiri tiga bulan, Memey terpaksa meninggalkan anak kesayangan di bawah jagaan adiknya untuk keluar bekerja.

Menurut Memey, walaupun terpaksa keluar bekerja, namun dia akan tetap mencuri masa untuk bersama puteranya itu.

"Bila saya di set penggambaran, memang tak sabar-sabar rasanya untuk pulang ke rumah. Kadang-kadang, saya akan 'curi masa' sejam dua ketika rehat untuk pulang dan datang semula ke set selepas itu.

"Masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk keluar bersama dan melayan karenah anak. Walaupun saya masih muda, namun saya perlu belajar untuk menguruskan anak sendiri.

"Saya bersyukur kerana Darwisz sangat baik dan tidak mudah meragam. Malah, melihat keletahnya, saya tidak menolak untuk mengandung lagi," katanya yang turut mengamalkan penyusuan badan kepada anaknya.

Ditanya mengenai siaran drama yang diulang tayang, Memey berkata, dia tidak akan menyalahkan pihak televisyen atau penerbit sekiranya lakonan sebelum bertudung ditayangkan.

"Saya perlu bersikap open minded dan profesional dalam bekerja. Penonton sendiri boleh menilainya.

"Lagipun, sebelum ini, saya bukanlah pelakon yang seksi. Hanya tudung sahaja yang membezakan antara dulu dan sekarang.

"Pun begitu, saya tetap menjaga batas-batas sebagai wanita Muslimah dan bertepatan dengan status serta imej sekarang," katanya.

OLEH AKMALIAH RAZAK

Minggu, 17 Maret 2013

Puteri Sarah Bertudung Bukan Sebab Putus Cinta

 Gambar terbaru Puteri Sarah yang diambil di laman Twitter miliknya.


PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah sedang dalam proses menyiapkan diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Puteri Sarah, 28, berkata, dia kini dalam proses percubaan memakai tudung dan berazam untuk berimej tersebut dalam tempoh terdekat.

"Tahun lepas saya banyak berlakon watak yang memakai tudung, dari situ hati saya terdetik untuk terus bertudung.

"Buat masa ini ada lagi drama-drama yang saya berlakon tidak memakai tudung, cuma kalau keluar rumah saya kini lebih selesa mengenakan selendang," katanya kepada mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimanapun jelas Puteri Sarah, dia berniat untuk bertudung bukan disebabkan kecewa putus cinta dengan pelakon Ammar Alfian akhir tahun lalu.

Hubungan pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi ini berakhir selepas lima tahun bercinta akbiat tiada keserasian.

"Saya rasa sudah sampai masanya, ayah juga banyak kali tegur agar saya bertudung dan sopan, namun bagi saya biarlah niat itu datang dari diri sendiri bukan paksaan.

"Alhamdulillah, ramai yang menyokong dengan tindakan ini, terutamanya ahli keluarga," katanya.

Namun, dia juga kesal apabila segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya ketika dalam tempoh percubaan ini.

"Saya belum sepenuhnya bertudung, mungkin di media sosial saya lebih selesa mengunakan imej bertudung tapi ia masih dalam tempoh saya untuk mencuba atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata, dia sering meminta pendapat cara pemakaian tudung daripada pelakon jelita Natasha Hudson (Tasha).

"Saya sering bertanya dengan Tasha tentang gaya pemakaian tudung, dia gembira saya sudah kearah itu, dia beri banyak tip untuk tampil lebih bergaya biarpun bertudung," katanya.

Selain itu juga, pelakon filem Lu Pikir La Sendiri ini juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk berundur daripada dunia lakonan sepenuhnya.


Oleh KEMALIA OTHMAN

Rabu, 27 Februari 2013

Shila Amzah Tidak Mahu Dipinang Oleh Mana-Mana Lelaki

Shila Amzah




PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah menegaskan tidak membenarkan mana-mana lelaki masuk meminang dirinya buat masa ini dan menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.

Berita Harian melaporkan pada Rabu bahawa Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Hamzah, 23, dilaporkan kini lebih berani bersuara berbanding hanya menutup mulut dan meluahkan rasa menerusi Twitter ketika kemelut antara kekasihnya, Sharnaaz Ahmad dan bapanya hebat diperkatakan baru-baru ini. Dia yang tetap ditemani kedua-dua ibu bapanya bersyukur kerana diberi kekuatan menempuh dugaan yang secara tidak langsung mematangkan diri selain menganggap semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Setakat ini saya tidak akan benarkan diri saya dirisik. Bagi saya, jodoh, pertemuan, ajal, maut biarlah Tuhan yang menentukan. Kita tidak mengetahui jodoh kita. Andai yang bercerai pun boleh rujuk semula.

“Apa yang pasti, saya mahu memandang ke depan. Dugaan yang Allah beri nampaknya sama besar dengan rezeki yang dikurniakan. Saya perlu lebih realistik malah kini saya sudah nampak hikmahnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik konsep jam Oris di sebuah pusat beli-belah, di Petaling Jaya, pada Selasa.

Dalam pada itu, Shila mengakui lebih senang meluahkan perasaan menerusi karya muzik.

Namun begitu, dia enggan mengulas panjang tentang lagu terbarunya, Masih Aku Cinta dan Cinta Hati ditujukan khas kepada Sharnaaz.

“Saya tak nak komen hal itu. Sekarang saya mahu tumpukan perhatian kepada pembikinan dua album iaitu album Melayu dan Mandarin dalam tahun ini. Yang pasti, dua dendangan berkenaan dimuatkan dalam album itu yang dijangka dipasarkan Mei ini.

“Saya mahu menggembirakan hati orang dan peminat. Mereka seperti keluarga sendiri apabila memberi sokongan tidak berbelah bagi walau ketika pelbagai andaian meletus. Mereka teguh berdiri di belakang saya dan tidak sewenangnya percaya aneka cerita dipaparkan,” katanya.

Turut dicalonkan dalam Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon bagi kategori Artis Asia sebaris dengan Psy, Shila memaklumkan dia juga tidak sabar menjadi tetamu Allah bersama keluarganya, Mac ini, bagi mengerjakan umrah.

Dia yang sudah mengosongkan jadual kerjaya selama dua minggu sejak tahun lalu berharap perjalanan dan ibadat mereka dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

“Saya memang sibuk kerana jadual penuh setiap minggu sejak memenangi Asian Wave tahun lalu. Kalau bukan kerana isu itu (kontroversi) pun saya sudah dihambat waktu. Syukur nawaitu mengerjakan umrah sekeluarga bakal terlaksana. Sekembali dari Tanah Suci, baru rakaman album akan disambung semula,” katanya.

Senin, 14 Januari 2013

Datuk Siti Nurhaliza Kini Bertudung Litup

Imej terbaru Siti Nurhaliza Tarudin yang bertudung litup.



PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu keputusannya untuk bertudung litup mendapat sokongan daripada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Siti berkata, suaminya benar-benar gembira selepas beliau terbuka hati untuk melakukan kewajipan sebagai Muslimah iaitu menutup rambut sepenuhnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 34 pada 11 Januari lalu.

"Suami saya adalah antara yang sangat gembira dengan peralihan imej Siti dan boleh dikatakan dia juga merupakan tunggak yang banyak menyokong kepada perubahan ini.

"Bagi Siti, ia adalah satu keikhlasan yang datang daripada diri dan berharap agar imej ini kekal sampai bila-bila,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Tambah Siti, dia juga menganggap perubahan yang dilakukan ini berkat daripada doa daripada dirinya sendiri, keluarga serta peminat apatah lagi selepas beliau mengerjakan haji sebelum ini.

Sementara itu, Siti berkata, walaupun sudah berhijab, ia bukanlah satu penghalang untuk beliau aktif dalam karier seni.

Malah Siti masih lagi mendapat khidmat pereka fesyen kegemarannya iaitu Rizman Ruzaini dalam membantu memadankan busana dan hijab yang sesuai untuk dipakai.

"Sebelum ini saya sudah biasa tampil berselendang dan imej sekarang ini tidak membuatkan diri berasa janggal, malah ia akan disesuaikan mengikut corak persembahan.


Siti Nurhaliza tampak manis bertudung ketika pertama kali muncul pada majlis resepsi perkahwinan ketiga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Leuniey di Hotel Royale Damansara pada Isnin. 

 
“Buat masa ini Rizman Ruzaini akan membantu dalam menyesuaikan gaya tudung dan imej untuk muncul di pentas.

"Siti juga selesa tampil memakai 'inner' di dalam manakala di bahagian luar pula, Siti gayakan mengikut cara sendiri dengan mendapat ilham fesyen yang terkini.

"Siti juga mengambil inspirasi daripada majalah, Internet serta melihat di YouTube dan menggabungkan gaya-gaya yang sesuai mengikut keselesaan diri. Mungkin fesyennya akan berubah-ubah juga nanti," tuturnya.

Ditanya adakah sebarang perbezaan sebelum dan selepas bertudung, kata Siti dia lebih berfikiran positif dan berharap akan menjadi lebih tenang dalam menjalani kehidupan seharian.

"Saya yakin apa yang baik itu akan diterima, malah ramai yang gembira dan mendoakan, Insya-Allah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Siti akan berehat sehingga Mac depan untuk memberi tumpuan kepada penjagaan suaminya yang masih dirawat akibat kemalangan motosikal di New Zealand pada 13 Disember lalu.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


Jumat, 16 November 2012

Yatt Hamzah Tidak Suka Digelar Sebagai Ustazah

 

KUALA LUMPUR – Penghijrahan pelakon wanita, Haryati Hamzah, 32, atau nama singkatannya, Yatt Hamzah menjadi muslimah yang baik tidak menghentikan kontroversi dalam hidupnya.

Yatt sering dilihat hadir ke majlis-majlis tertentu dengan lengkap berpakaian menutup aurat ditambah dengan sentiasa bersarung tangan.

Ekoran berpenampilan dengan sarung hitamnya, ada pihak-pihak tertentu yang memanggil Yatt sebagai ustazah.

Dengan gelaran yang diberikan, Yatt tidak menafikan dia terasa hati dengan persepsi tersebut kerana mungkin umum tidak memahami pendirian dan perubahan yang dirinya alami.

Kata Yatt yang dipetik dari Sinar Harian, ada tujuan kenapa dia sentiasa memakai sarung tangan hitam.

“Memang saya terasa hati dengan gurauan itu. Kenapa mereka perlu melabelkan saya sebegitu? Mungkin mereka masih tidak memahami pendirian dan perubahan ini.

“Ada juga sesetengah golongan bukan muhrim yang sengaja mahu menduga saya dengan menghulurkan salam,” kata Yatt.

Walaupun dilabelkan sedemikian, Yatt ikhlas dengan perubahan diri yang dialaminya.

Dia mahu orang ramai mengerti dan memahami dirinya tetap seperti dahulu.

Cuma, pegangan hidup Yatt sahaja yang berubah sejajar dengan tuntutan syariat Islam.

“Sebab itulah saya sentiasa memakai sarung tangan untuk mengelak daripada bersentuhan. Namun, apa yang pasti, saya masih Yatt yang dahulu, hanya pegangan sahaja yang berubah,” kata Yatt.

Bercerita mengenai perjalanan kerjaya lakonannya, Yatt sekarang ini dilihat jarang membintangi drama-drama tempatan.

Ibu kepada seorang anak itu menjelaskan banyak tawaran yang diterima tidak sesuai dengan penampilan barunya ketika ini.

Pun begitu, Yatt bersyukur kerana masih lagi mampu mencari rezeki melalu bidang seni yang lain.

“Banyak watak tidak bersesuaian dengan imej dan pendirian saya. Jadi, ia secara tidak langsung mengekang diri saya untuk terus berlakon.

“Bukan tiada langsung, masih ada, tapi kurang. Tapi, saya tetap bersyukur kerana saya mampu mencari rezeki dengan cabang seni lain seperti menghadiri ceramah sebagai tetamu jemputan,” terang Yatt.


Selasa, 02 Oktober 2012

Iqram Dinzly Bertekad Mahu Jadi Baik

Iqram Dinzly mahu berhijrah secara berperingkat.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Iqram Dinzly berhasrat untuk berubah menjadi insan lebih baik seiring dengan peningkatan usianya yang kini sudah mencecah 31 tahun.

Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, kesedaran itu mula terbit sejak beberapa bulan selepas dia melihat kekacauan yang berleluasa di merata tempat ketika ini.

"Sukar untuk saya jelaskan dengan kata-kata tetapi kesedaran mula terbit sejak kebelakangan ini. Saya tidak mahu mencanangkannya kerana bimbang jika khalayak tersalah anggap.

"Saya mahu mengenali diri dan berubah ke arah kebaikan. Namun, proses hijrah ini bukan perkara remeh yang boleh dilakukan secara mengejut dan drastik. Ia perlu dilakukan secara berperingkat," katanya.

Iqram berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program pelancongan 'Korea Winter Ski & Menjejak Lokasi-Lokasi Hebat Drama Korea' anjuran Safirgotravel.com, di sini, petang Selasa.




Iqram berkata, antara perubahan besar yang dialaminya termasuklah tiada keinginan untuk keluar bersosial, menjaga batas pergaulan dan mengawal tingkah laku.

"Saya bersyukur kerana Tuhan menarik nikmat dan keseronokan duniawi yang tidak patut ada dalam diri saya selama ini.

"Namun, saya tidak pernah kesal dengan apa juga kesilapan yang pernah berlaku kerana ia adalah pengalaman yang berguna untuk saya.

"Apa yang saya harapkan selepas ini agar saya menjadi insan yang lebih baik dan dijauhi daripada kesilapan lalu," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jualan & Pemasaran Safirgotravel.com Muhamad Abd Latif berkata, Iqram menjadi pilihan pakej berkenaan berdasarkan karakternya yang peramah.

"Ini adalah kali kedua Iqram dipilih untuk mengikuti pakej pelancongan kami. Pada tahun lalu, Iqram mengikuti pakej kami ke Turki dan pada tahun ini ke Korea Selatan.

"Berdasarkan pengalaman lepas, kami berpuas hati dengan sikapnya yang peramah dan rajin melayan delegasi kami. Kerana sebab itu, dia terus menjadi pilihan kami untuk pakej pada tahun ini," katanya.

Ujarnya, selain pengalaman percutian bersama aktor itu, orang ramai turut berpeluang melawati lokasi-lokasi hebat penggambaran drama Korea antaranya Incheon, Pulau Nami, Petite France dan Sungai Han.

Pakej eksklusif itu terbuka untuk 60 orang itu dan percutian akan berlangsung pada 5 hingga 10 Disember depan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.safirgotravel.com.

Oleh WAHIDUZZAMAN

Minggu, 09 September 2012

Panas!! Abby Abadi Dituduh Jual 'BODY'



MASIH teguh dalam usaha mendekatkan diri dengan ilmu agama, penghijrahan Abby Abadi dalam dunia politik (Pas) mengundang pelbagai reaksi.

Abby bukan saja semakin pandai berkata-kata mengenai ilmu agama, bahkan juga semakin berani mengkritik orang di sekelilingnya.

Selepas isunya mempertikaikan kenyataan Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengenai hukum hudud, Abby kembali memanaskan 'alam maya' apabila membuat pengakuan ada individu menuduhnya menjual badan dan muka semata-mata untuk parti.

Abby menerusi Twitternya bagaimanapun pantas mempertahankan dirinya; "Saya tidak pernah terlintas untuk berbuat sedemikian. Fitnah bertebaran, dosa berpanjangan," katanya ringkas.


Kasihan Abby,semoga Allah akan mempermudahkan segala urusan beliau di dunia dan akhirat.Kepada mereka yang tidak habis-habis mengutuk dan mengeji Abby hentikanlah perbuatan anda itu.Janganlah kita terperangkap dengan sentimen politik sempit kerana yang nyata penghijrahan Abby adalah semata-mata untuk kembali ke jalan Islam yang sebenar-benarnya.

Kamis, 09 Agustus 2012

Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Bertudung



KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.

Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini.




“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.

“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya kepada mStar Online pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.

Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.

Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah.

Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet.

"Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.

"Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.

"Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Selasa, 07 Agustus 2012

Akhil Hayy Tidak Mahu Artis Yang Baru ‘Berhijrah’ Dipergunakan Oleh Ahli Politik

Akhil Hayy
 

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Ustaz Akhil Hayy menasihati golongan artis yang baru berhijrah dan kembali mendekati agama Islam supaya berhati-hati agar tidak dipergunakan oleh ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, keadaan itu sering berlaku tanpa disedari bagi kebanyakan artis yang baru berhijrah di mana ia bermula dengan jemputan menghadiri sesebuah taklimat untuk berkongsi kisah perubahan diri masing-masing.

"Kalau saya cakap, pasti ada pihak yang marah nanti. Tetapi ia pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat.

"Lain pula jadinya apabila majlis taklimat yang dianjurkan itu akan berubah menjadi kempen menyerang mana-mana parti yang tidak disukai mereka.

"Memang digalakkan untuk berkongsi pengalaman hijrah kita kerana ia juga salah satu permulaan dakwah, tetapi kita mesti bijak menyampaikan kata-kata tanpa sebarang pengaruh daripada persekitaran yang mungkin menekankan isu-isu politik," katanya.

Tambah Akhil, tidak salah sekiranya seseorang artis itu menyokong mana-mana parti politik sama ada Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS kerana ia adalah hak masing-masing.

Bagaimanapun, golongan artis yang berhijrah ini diminta untuk berhati-hati dan berfikirlah adakah motif penghijrahan itu untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang tercicir dahulu atau mahu memperjuangkan politik?

"Saya rasa, usahlah kita beria-ia berkempen tentang hal politik kerana itu bukanlah kepakaran kita.

"Walaupun Islam ada perjuangan politiknya, tetapi sebagai umat Islam yang kembali ke fitrah asal, biarlah kita mendalami ilmu agama terlebih dulu sebelum ingin berdakwah atau membetulkan kesalahan orang lain.

"Saya faham, apabila sudah berubah ke landasan yang betul, terdapat satu semangat dan ketenangan yang membuatkan seseorang itu begitu berkobar-kobar mahu berkongsi perasaan itu.

“Saya juga begitu, tetapi seperti yang saya katakan, dalami ilmu agama Islam itu secukup-cukupnya sebelum melangkah ke fasa lain pula," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Kamis, 26 Juli 2012

Artis Bertudung Tidak Perlu Mengeluh


Tahniah buat Abby Abadi kerana berani untuk berubah.Semoga Abby Abadi akan terus tabah menempuh segala dugaan hidup untuk menjadi seorang hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat.

PETALING JAYA: Artis-artis wanita khususnya mereka yang membuat keputusan untuk berhijrah dan menukar imej dengan memakai tudung tidak wajar mengeluh jika berdepan kesulitan untuk mendapatkan tawaran kerja.

Golongan itu seharusnya yakin terhadap niat utama untuk berhijrah dan perlu mengelak daripada memberikan kenyataan yang boleh mencemarkan imej mereka selepas membuat keputusan untuk berubah.

Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata, sekiranya ada di kalangan artis yang baru bertudung sukar untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan itu, individu tersebut harus menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.

Sheila Rusly

“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah.

"Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.

"Bertudung dan menutup aurat itu tidak membebankan atau membatasi urusan seharian kita,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Penerbit eksekutif JS Pictures ini berkata demikian sebagai respons kepada luahan dan rungutan segelintir artis wanita yang bertudung mendakwa kurang mendapat tawaran seperti sebelumnya.

Malah terdapat sesetengah artis yang tergamak memberi kenyataan sinis dengan memburuk-burukkan pihak tertentu selepas menukar imej selain turut menyertai parti politik pembangkang.

Berdasarkan kepada pengalamannya Sheila berkata, kerjaya dan perniagaannya tidak merudum sebaliknya dia menikmati kesan positif terutama sekali selepas pulang daripada menunaikan ibadat Haji pada hujung 2007.

Aida Khalida

“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung.

“Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.

“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.

Bersifat sementara

Aktres berpengalaman Aida Khalida pula berkata, senario tawaran lakonan yang terjejas selepas bertudung hanya bersifat sementara kerana dia juga tidak terlepas daripada pengalaman itu ketika mula bertudung kira-kira empat tahun lalu.

“Bagi saya, isu tawaran terjejas atau merosot adalah ujian Allah kepada artis yang baru berhijrah. Ketika mula-mula bertudung empat tahun lalu, saya pun hadapi perkara yang sama tetapi ia hanya sementara.

“Berkat keyakinan, doa dan usaha Allah pasti bukakan pintu rezeki kepada kita. Tawaran kerja yang konsisten atau terjejas tiada kaitan dengan bertudung kerana ia adalah perkara wajib bagi wanita Muslim,” katanya.

Menurut Aida, rezeki daripada pendapatannya menjadi lebih berkat berbanding sebelum bertudung dulu kerana ia berterusan dan tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, pendapatan lakonan saya tidak terjejas, malah rezeki itu menjadi lebih berkat sejak saya bertudung. Kalau sebelum ini, dapat sebanyak mana pun wang pasti akan habis begitu sahaja tetapi sekarang rezeki itu sentiasa ada.

“Susah saya hendak jelaskan sebenarnya tetapi itulah perkara terhebat yang saya peroleh berkat penghijrahan ini,” katanya.

Bekas pelakon dan pengacara yang kini bergelar aktivis bebas Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmo (Wardina) mengakui menerima impak negatif dan diskriminasi daripada industri seni ketika dia berhijrah sekitar 12 tahun lalu.

 Wardina Safiyyah




“Namun saya sudah meletakkan sasaran untuk berundur diri daripada lakonan dan beralih ke bidang pengacaraan ketika itu. Tidak saya nafikan, impak diskriminasi saya alami ketika mula-mula bertudung tetapi ia hanya perkara kecil dan sementara.

“Lama-kelamaan, penggiat seni dan peminat semakin terbuka dan menerima penghijrahan saya. Mungkin juga kerana saya sudah tidak mahu berlakon ketika bertudung dulu, saya jadi tidak begitu kisah mengenai reaksi orang kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Ujar Wardina, jika seseorang artis wanita itu berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni selepas bertudung, dia harus bersabar dan percaya pada rezeki yang ditetapkan Allah.

“Berhijab bukan kerana kita sudah sempurna iman atau terlalu baik tetapi kerana mahu menjadi manusia yang lebih baik.

“Jika di kalangan artis bertudung mampu bertahan, teruslah berusaha mencari rezeki yang berkat tetapi jika sebaliknya, maka beralihlah kepada bidang yang lebih baik,” katanya.

Oleh WAHIDUZZAMAN

Jumat, 20 Juli 2012

Natasha Hudson Dan Sharifah Sofia Teruja Menyambut Ramadan

NATASHA HUDSON dan Sharifah Sofia teruja menyambut Ramadan pada tahun ini. 




SESI fotografi bersama dua figura jelita, Natasha Hudson dan Sharifah Sofia pada dini hari Jumaat minggu lalu meluncur laju. Rumah yang dijadikan butik pemilik jenama Azura Azwa di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, menyatukan dua nama hebat itu untuk mengupas perihal puasa dan persiapan menjelang Ramadan.
Jelik dan klise andai isu berhijrah diketengahkan setiap kali seseorang artis atau selebriti menukar imej dan prinsip itu dipegang kedua-dua wanita cekal itu.
Bagi empunya nama Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson, 30, penghijrahannya sebagai langkah mendekatkan diri dengan Maha Pencipta dalam masa yang sama membuka ruang, peluang dan rezeki terutama dalam kariernya.
"Alhamdulillah, sekarang saya kembali aktif dalam dunia peragaan selain bidang lakonan. Tawaran untuk saya menjadi model bertambah dan syukur ini rezeki daripada Allah. Apabila diri saya berubah, maka keseluruhan karier saya juga berubah.
"Berlakon adalah jiwa saya dan buat masa sekarang, bidang lakonan agak mencabar bagi saya kerana saya harus selektif berhubung karakter.
"Saya menilai ibadah itu satu perkara yang serius dan untuk bidang lakonan saya perlu kekalkan kedudukan saya sekarang. Rindu juga untuk melakonkan watak yang pelbagai tapi pasti akan ada solusi yang padan dengan karakter dan situasi saya sekarang," bicaranya memulakan diskusi.
Keluarga besar
Wanita yang mesra disapa Tasha itu kini sedang sibuk merencanakan agenda kerjaya dan keluarga selaku seorang ibu kepada Neesa Helena, 4, dan isteri kepada penyanyi hip hop, Carleed Khaza.
Tasha menegaskan dia ingin lebih fokus dan komited terhadap kariernya, namun pada masa yang sama dia enggan menyisihkan perhatian terhadap suri hatinya, Neesa yang kini sudah memasuki sekolah tadika.
"Saya akan pastikan Neesa mendapat cukup perhatian daripada saya, selepas balik sekolah saya akan mengulangkaji pelajarannya bersama-sama.

"Selain itu, saya akan menghantar dia mengaji al-Quran, muqaddam dan iqra' serta saya sendiri mengikuti kelas agama yang diadakan setiap hari Khamis di rumah mertua," jelasnya yang kini lebih mengawal imejnya.
Riak ceria jelas terpancar pada wajah Natasha ketika ditanya mengenai rutin puasanya yang bakal kembali berubah tahun ini.
Kebiasaan acara berbuka puasa hanya disertai oleh ibu dan adiknya, Tania Hudson kini berkembang mekar bersama keluarga sebelah suaminya yang disifatkannya lebih meriah!
"Ini kembali menjadi tahun pertama saya menjalani ibadah puasa bersama bilangan ahli keluarga yang lengkap. Insya-Allah, tahun ini akan lebih ceria kerana kedua-dua belah bilangan ahli keluarga saya dan suami agak besar.
"Saya tidak sabar untuk berpuasa dan jika sebut saja urusan keluarga atau persiapan berbuka puasa, detik itu yang paling saya nantikan," katanya yang menggemari martabak, air bandung dan air kelapa untuk juadah berbuka.
Pelakon filem Chermin itu bagaimnanapun memilih hidangan ringkas untuk bersahur. Antara yang menjadi kegemarannya termasuklah nasi putih, timun, kicap dan telur.
Lengkap lima tiang
Berbeza sekali pertemuan bersama pemilik nama sebenar Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, berbanding pertemuan sebelum ini. Ringkas berselendang sambil menggendong permata hatinya, Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini memasuki usia setahun setengah.
Ujarnya: "Maaf, saya seorang yang ringkas dan tidak pandai melaram. Selendang pun tidak cantik."
Menukar citranya ke arah melengkapi tuntutan syarak, Sharifah Sofia atau lebih dikenali dengan panggilan Sofia enggan menggembar-gemburkan penghijrahannya. Lebih selesa menyimpan cerita hijrah itu dan memendam peruk di lubuk hati.

BERPELUANG mencurahkan sepenuh kasih sayang buat permata hatinya, Ariana, figura jelita ini tdak kisah bergelar ibu sepenuh masa.



"Saya memikirkan diri saya dan ini cara saya, biar saya tahu pasal orang lain tapi saya tak nak orang tahu pasal saya. Biar saya sendiri yang simpan untuk diri saya.
"Sekarang saya lebih mendalami ilmu agama, apabila tidak memakai tudung tidak bermakna saya tidak mendalami agama cuma sekarang pengetahuan itu lebih mendalam.
"Sudah sampai masa untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri saya. Kalau dahulu saya ada empat tiang kini saya sudah mencukupi lima tiang," ucapnya berkias.
Tegasnya, walau apapun tanggapan orang ramai terhadap dirinya yang sebelum dan sekarang, dia tidak ambil pusing kerana industri seni akan sentiasa berdepan kritikan.
Menjadi ibu sepenuh masa mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada Ariana bukan dianggap percaturan atau mengundur diri daripada dunia seni.
"Prioriti sekarang untuk menjadi ibu sepenuh masa dan menjaga sendiri anak saya. Saya menolak kebanyakan tawaran kerana saya tidak sanggup menyusahkan pihak lain kerana saya perlu membawa Ariana bersama saya sepanjang masa. Tambahan, dia masih menyusu badan.
"Saya sangat rindu untuk kembali bekerja tapi saya sanggup korbankannya demi anak saya. Lagipun, saya mula kurangkan berlakon sejak dua tahun lalu. Buat masa sekarang saya ada plan sokongan," jelas anak kelahiran Liverpool, England itu.
Kembali berpuasa


NATASHA dan Sharifah memiliki banyak persamaan antara satu sama lain.



Jangan salah sangka jika Sofia menyatakan dia akan kembali berpuasa pada tahun ini! Kerana tahun lepas dan dua tahun lalu dia 'terpaksa' meninggalkan ibadah wajib itu atas faktor tertentu.
"Dua tahun lalu saya sedang mengandung, jadi saya tidak sempat berpuasa dan tahun lepas pula saya menyusukan Ariana. Tahun ini jika tiada keuzuran saya akan kembali berpuasa.
"Pasti sekali saya teruja sempena kedatangan bulan yang penuh berkat, cuma kali ini saya melaksanakannya dengan keyakinan sebagai seorang Sharifah Sofia dalam kehidupan baharu.
"Insya-Allah, saya juga mahu melengkapi solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini," ujarnya.
Ditanya tentang juadah kegemaran sepanjang bulan puasa, Sofia menjawab tiada makanan istimewa asalkan mengikut seleranya dan suami.
Begitu juga hidangan bersahur. Adakalanya kata Sofia dia akan memanaskan kembali lauk-pauk yang dibeli atau dimasak untuk berbuka puasa bagi mengelakkan pembaziran.

Kredit: Sumber