Tampilkan postingan dengan label cerita artis terbaru. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label cerita artis terbaru. Tampilkan semua postingan

Senin, 18 Maret 2013

Gosip Artis Terkini - Salwa Sudah Ada Kekasih Baru

Sebelum tampil dengan imej baru, penyanyi lagu Ahmad, Arora Salwa yang kini dikenali dengan nama Salwa Razak pernah menghangatkan industri hiburan tempatan dengan kisahnya yang tiba-tiba saja membatalkan majlis pertunangan bersama bekas ahli Max 24:7 iaitu Alloi seminggu sebelum tarikh yang telah ditetapkan.

Enggan mengulas mengenai kisah panas itu lagi, Salwa Razak bagaimanapun berkata, dia tidak pernah serik untuk bercinta lagi dan mengakui sudah mempunyai lelaki yang sememangnya memahami dirinya walaupun berstatus janda.

"Saya sudah kuburkan kisah lama saya. Sekarang ini, saya memang sukakan seseorang. Hubungan kami sekarang ini lebih kepada mengambil pendekatan masa.
"Terus-terang, dia mahu saya fokus pada karier saya terlebih dulu. Dia tidak akan masuk campur dalam hal karier saya sebagai artis. Dia juga tidak akan muncul di mana-mana majlis hiburan yang melibatkan saya.
"Sejujurnya, dia bukanlah artis dan dia juga adalah orang biasa saja. Saya tidak menaruh harapan penuh terhadap cinta ini. Saya juga tidak akan tutup pintu hati saya untuk bercinta lagi," katanya kepada murai.com.my.
salwa razak
Salwa Razak
 Menyedari dirinya tidak boleh lari daripada bercinta, Salwa memberitahu dia tetap akan membuka pintu hatinya pada mana-mana lelaki.

"Saya tidak tutup hati saya. Saya hanya ikut apa yang ditakdirkan kepada saya. Saya pun tidak mahu luka lama berdarah kembali. Lelaki yang saya suka tu memang sudah tahu pun yang saya ini cintakan dia.
Sekarang ini, masing-masing sibuk dengan komitmen masing-masing. Ibu bapa saya tidak tahu kedudukan sebenarnya hubungan saya dengan dia. Namun, mereka tahu saya berkawan dengan dia. Saya sudah kenal dia sejak kisah saya panas dengan Alloi lagi. Dia sentiasa positif dengan apa yang berlaku, " jelasnya.

Terus bercerita mengenai kekasihnya yang dirahsiakan nama, Salwa menyifatkan buah hatinya itu banyak mengubati lukanya yang lama.

"Setiap kali saya rasa tidak selesa dan tertekan, dia selalu berada di samping saya dengan memberikan kata-kata semangat. Saya sudah tidak mahu fikir banyak tentang kisah cinta lama yang saya. Sama ada dengan artis itu atau pun bekas suami saya," ujarnya.

Kamis, 07 Maret 2013

Gosip Artis - Shahrizal sudah sedia

Shahrizal Jaszle , 24, mengakui bersedia untuk berumah tangga, tetapi tidak mahu melakukannya secara terburu-buru selepas mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Redzwani Puteri pada Disember lalu.

Tambahan pula katanya, mereka berdua masih terikat dengan pelbagai komitmen dan dia juga perlu memberi laluan kepada tunangnya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan yang masih berbaki dua tahun lagi.

“Jika ditanya me­ngenai kesediaan untuk bergelar suami, sekarang pun saya sudah sedia ke arah itu,” kata pelakon siri popular Asmara, Shahrizal Jaszle.
“Justeru kami memutuskan mengikat pertunangan lebih kurang dua tahun. Kalau nak ikutkan, ia satu jangka masa yang lama, sekiranya lebih awal kami berkahwin pun, saya akan memberitahu media dan peminat.
“Namun sekarang saya sendiri juga sibuk dengan penggambaran dan Redzwani pun masih belajar, jadi kami sekadar meletakkan sasaran dua tahun sebelum menamatkan zaman bujang,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.
shahrizal jaszle
Shahrizal Jaszle
 Menyentuh insan istimewa di hatinya itu, Shahrizal yang kini sibuk dengan penggambaran Rindu Bertamu Di Abu Dhabi berkata, dia sudah lama mengenali Redzwani kerana perhubungan rapat antara kedua-dua belah keluarga.

“Saya dan dia sudah lama berkawan dan saling me­ngenali antara satu sama lain kerana ibu saya dan ibunya berkawan. Lama-kelamaan kami menjadi rapat. Mung­kin kerana kami banyak berkongsi minat yang sama menyebabkan hubungan kami jadi lebih akrab.
“Antara perkara yang sering kami lakukan bersama adalah menghabiskan waktu terhadap fotografi. Kami sering berlumba-lumba siapa dapat foto paling cantik dan macam-macam lagilah aktiviti lain yang sering kami lakukan bersama,” katanya.
Mengenai majlis pertunangannya yang dibuat secara tertutup dan ha­nya dihadiri ahli keluarga, Shahrizal menjelaskan, dia cuba belajar daripada kesilapan lalu kerana tidak mahu kisah peribadinya menjadi bualan dan biarlah peminat melihat bakatnya.
“Majlis pertunangan sengaja dibuat secara tertutup bagi menghormati permintaan daripada kedua-dua belah keluarga yang mahu ia diadakan secara ringkas dan hanya dihadiri keluarga saja,” katanya.

Scha Tiada Masalah Sering Terima Watak Wanita Kasar

Pelakon Scha Al Yahya menganggap watak wanita kasar yang sering diberikan kepadanya bukanlah satu masalah kerana ia adalah kekuatan pada dirinya.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai negatif kerana yakin pihak pengarah atau penerbit mempunyai sebab-sebab tertentu memberikan watak seperti itu.

"Masalah watak stereotaip ini bukan sahaja saya seorang yang alami kerana pelakon lain turut berhadapan perkara sama namun saya sebagai pelakon melihatnya dari sudut positif.
"Saya sentiasa diberikan peranan sama mungkin disebabkan itu adalah kekuatan saya dan barangkali watak serius dan romantik sesuai dengan pelakon lain," jelasnya kepada mStar Online.
scha al yahya
Scha sentiasa berfikiran positif apabila sering diberikan watak sama.
 Dalam pada itu, Scha berkata, meskipun tidak kisah sentiasa diberikan watak sama dia tetap menyimpan hasrat untuk mempelbagaikan korektornya sebagai pelakon.

Katanya, jika diberi peluang dia sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran tersebut demi memantapkan lagi kariernya dalam bidang lakonan.

"Saya tiada watak tertentu yang diidamkan namun jika diberi peluang berilah apa pun saya akan lakukan kerana itulah kerja saya sebagai pelakon.
Sementara itu, Scha berkata, dia agak gementar apabila pertama kali turun ke set penggambaran filem Awan Dania The Movie di bawah arahan Rashid Sibir.

Jelasnya, perasaan itu timbul kerana dia berasa malu dengan Rashid yang sangat dikaguminya.

"Selama beberapa hari juga saya berperasaan begitu tetapi syukur Abang Rashid sangat mesra dan sentiasa membantu para pelakon untuk menghayati watak diberikan.
"Tambahan Awan Dania versi filem berlainan dengan apa yang ditonjolkan dalam drama bersirinya membuatkan saya perlu fokus kepada visi yang dimahukan oleh pengarah," jelasnya.

Senin, 18 Februari 2013

Ella minat lagu Shae - Gosip Artis


Kemunculan Ella pada Konsert Ekspresi Harian Metro 2013 yang diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu lalu memang menggemparkan. Ella bukan saja popular di negara sendiri tetapi juga mempunyai peminat yang ramai di Indonesia.

Walaupun sudah menjadi isteri orang tetapi populariti dan auranya tidak pernah hilang.
Penonton yang hadir pada konsert yang dianggarkan 70,000 orang itu bukan saja ternanti-nantikan persembahan Zivilia yang popular dengan lagu Aishiteru tetapi mereka juga tidak sabar menantikan kemunculan Ella di pentas.

Pada malam itu Ella berduet dengan protegenya, Caroline dan turut membuat persembahan solo menyanyikan lagu Rama-Rama dan Kesal.

Suami Ella, Azhar ada sama menemaninya dan Ella tak berenggang langsung dengan suaminya itu. Ke mana pergi dan duduk di mana saja mesti berpegangan tangan. Wah, romantikkan mereka!

penyanyi ella
Ella
Agaknya sebab itu Ella tengah sukakan lagu Sayang nyanyian Shae kerana liriknya melambangkan kasih sayang mereka berdua.

 Bercerita mengenai lagu Sayang,  dengar-gengar  Ella ada bertemu dengan Shae baru-baru ini.

Adakah ia sekadar pertemuan biasa atau ada projek bersama? Siapa tahu Ella yang dulu popular di Indonesia sekali lagi akan mencipta nama di sana andai kata dia ada projek dengan Shae. Sama-samalah kita tunggu!

Minggu, 17 Februari 2013

Sharnaaz Ahmad Terkilan Kenyataannya Diputar Belitkan - Gosip Artis


 Pelakon Sharnaaz Ahmad terkilan dengan sikap segelintir pihak yang tidak menghormati keputusannya yang enggan memberikan kenyataan berkaitan bekas kekasih iaitu penyanyi Shila Amzah.

Pemilik nama sebenar Sharnaaz Basir Ahmad, 28, berkata, tindakannya berdiam diri telah diputar belitkan pihak tertentu yang seperti mahu mengeruhkan keadaan dan melaga-lagakannya dengan penyanyi berusia 23 tahun itu.

“Saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Lihat sahaja pada artikel di sebuah akhbar yang mengubah dan memutar belitkan kenyataan saya pada hari ini (Sabtu).
“Walhal saya sudah cakap tidak mahu komen apa-apa lagi yang membabitkan dia (Shila).
“Ini seolah-olah mahu melaga-lagakan saya dengan dia pula. Cukup-cukuplah,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Sabtu.
Sharnaaz berkata demikian kerana terkilan dengan artikel pada sebuah akhbar pada Sabtu yang disifatkan seperti memanipulasi dan melaga-lagakannya dengan Shila selepas konflik percintaan mereka terlerai baru-baru ini.
gambar sharnaaz ahmad
Sharnaaz Ahmad
Ditanya reaksinya berhubung lagu berjudul Masih Aku Cinta ciptaan dan nyanyian Shila yang dimuatnaik di laman YouTube pada Khamis lalu, Sharnaaz berkata, dia enggan memberikan sebarang komen.

“Saya tidak mahu komen apa-apa,” katanya yang mengakui sudah mendengar lagu yang ditujukan kepadanya itu.
Dalam pada itu, pelakon filem Juvana itu turut meluahkan kekecewaannya berhubung artikel di akhbar tersebut menerusi akaun Twitter miliknya pada Sabtu.

"Salam, ini saya Sharnaaz Ahmad, saya ingin memaklumkan bahawa kenyataan dalam akhbar telah diubah dan diputar bukan atas ayat saya sendiri.
"Berhenti mereka cerita hidup saya sebelum saya mengambil tindakan undang-undang. Kenyataan yang bukan dari saya jangan pandai-pandai siarkan. Jangan sesuka hati nak jual cerita hidup manusia untuk kepentingan jualan.
"Aku diam bukan bermaksud aku mudah dipijak dan dikawal selia oleh pihak yang mengaut keuntungan. Timbang rasa lah sikit. Aku ni manusia jugak!" katanya seperti dipetik daripada akaun Twitter tersebut.

Jumat, 15 Februari 2013

Julia Ziegler Akui Sedang Bercinta - Cerita Artis Terkini


OGA dah lama tak dengar cerita tentang pelakon yang cantik dan seksi seorang ni. Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat,Julia Ziegler seakan menyepi dari dunia lakonan. kemunculannya di sidang media teater 'Asmara Songsang' memberi kesempatan kepada pihak media bertanyakan tentang perkembangan terkini heroin 'Jangan Tegur' ini.

Jelas Julia, dia memilih untuk berehat seketika daripada lakonan kerana ingin mendapatkan ketenangan.  Kini, dia sudah bersedia untuk kembali aktif seperti dahulu. Menurut Julia lagi, sepanjang tempoh percutian itu, dia banyak melancong serta sempat menunaikan umrah bersama ibunya. Bahkan, turut mengakui berasa agak tenang selepas menjalani ibadah umrah serta ingin menjauhi segala perkara negatif.

Diminta mengulas tentang penglibatannya dalam pementasan Asmara Songsang, Julia yang memegang watak Safika memberitahu dia akan menggunakan pengalaman berlakon dalam teater M!The Opera pada 2006 sebagai panduan. Jelasnya, dia masih menyimpan ilmu yang diajar oleh Azean Irdawaty suatu ketika dahulu.

julia ziegler
Julia Ziegler sedang mengenali seseorang

Selain berkongsi perkembangan karier, Julia juga tidak lokek berkongsi tentang kisah percintaannya. Melewati usia 29 tahun, Julia mengakui dirinya kini sudah dimiliki oleh seseorang. Jejaka bertuah itu sudah dikenali selama lapan tahun dan hubungan mereka bermula hanya sebagai teman rapat.
“Pintu hati saya terbuka untuk menerimanya ketika menjalani ibadah Umrah pada tahun lalu. Saya lihat dia bersungguh-sungguh dan meminta saya memberikannya peluang. Alhamdulillah kini saya bahagia bersamanya,” ujar Julia berterus-terang.
Tambah Julia lagi, dia selesa berkawan dengan jejaka itu kerana dia seorang yang memahami serta boleh menerima perwatakannya yang 'gila-gila'. 

"Dia seorang lelaki yang baik. Dia boleh menerima baik dan buruk saya. Oleh kerana kami sudah lama berkawan, jadi dia juga memahami keluarga saya. Bagaimanapun, kami belum lagi memikirkan tentang perkahwinan memandangkan hubungan kami belum menjangkau setahun," ujar Julia lagi.



Kakak Tidak Campur Hasrat Sharifah Sakinah Berlakon - Gosip Artis


Aktres baharu Sharifah Sakinah mengakui kedua-dua kakaknya iaitu pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) tidak mencampuri keputusannya menceburi bidang seni kira-kira tiga tahun lalu.

Pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, berkata, kakak-kakaknya itu bersikap demikian kerana sudah berpengalaman dengan asam garam dunia seni.

Justeru, mereka tidak mahu dia menyesal jika perkara buruk atau kontroversi menimpa apabila bergelar artis.

“Memang pada awalnya mereka (kakak-kakak) tidak galakkan dan tidak pula larang keputusan saya menceburi bidang ini.
“Mereka sudah arif dengan asam garam dunia hiburan dan tidak mahu saya menyesal kalau tidak mampu menempuhi cabaran dalam bidang ini,” katanya.
Bagaimanapun, Sakinah berkata, minat yang mendalam terhadap lakonan menjadi pegangan untuk dia mengikut jejak mereka dalam bidang ini.

“Saya bina kerjaya atas usaha sendiri dengan menghadiri apa sahaja uji bakat lakonan yang ada.
“Walaupun ada dua kakak yang dikenali tetapi saya tidak bergantung harap pada mereka untuk tawaran lakonan,” katanya.
Mengenai kecenderungannya dalam dunia komedi, Sakinah berkata, kebanyakan tawaran lakonan yang diterima sejak awal menjurus pada genre itu.

“Saya suka dilabel pelakon komedi sebab seingat saya tidak ramai pun pelakon generasi baharu yang buat komedi.
“Kebetulan pula dari awal lagi kebanyakan tawaran lakonan untuk saya adalah bagi watak dan drama komedi, jadi saya buat sahajalah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, lakonan Sakinah boleh ditonton dalam drama 13 episod berjudul Bunga Merah Punya bermula 21 Februari ini pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam di Slot Aurora, TV9.

sharifah sakinah
Sharifah Sakinah

Raffi Ahmad menolak kedatangan Yuni Shara - Gosip Artis Indonesia


Raffi Ahmad yang ketika ini berada dalam tahanan Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia menolak kedatangan bekas kekasihnya, Yuni Shara yang berniat menziarahinya hari ini.

Raffi menyatakan tidak bersedia bertemu dengan kakak penyanyi Krisdayanti itu dengan alasan yang masih menjadi tanda tanya.

Bahkan pemberian Yuni iaitu sejadah dan buku-buku motivasi juga ditolak oleh pengacara popular rancangan Dahsyat itu.
raffi ahmad dan yuni shara
Raffi Ahmad dan Yuni Shara 


“Raffi memberitahu kepada saya dia tidak mahu bertemu dengan Yuni. Dia hanya menyampaikan pesan ‘Beritahu kepada Yuni, Yuni sudah tahu apa yang dia telah lakukan terhadap saya.’ Itu apa yang disampaikan Raffi kepada saya untuk Yuni," ujar peguam Raffi, Hotma Sitompul (Hotma).

Hotma juga memberitahu dia sudah memujuk Raffi untuk menemui Yuni, namun lelaki itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak menemui Yuni.

“Demi keselesaan anak guam saya, Yuni Shara tidak boleh menjenguk. Menjadi hak si tertuduh untuk ditemui atau tidak," tegas Hotmaa.

Media Indonesia melaporkan, Yuni Shara pagi ini datang ke pejabat BNN untuk menemui Raffi.

Dia membawa kelengkapan alat solat seperti sejadah, kain sarung dan al-Quran.

Raffi pernah menjadi kekasih Yuni selama empat tahun tetapi memutuskan hubungan itu kira-kira empat bulan lalu.

Dia ketika ini ditahan pihak berkuasa kerana didakwa menganjurkan pesta dadah di kediamannya di Jakarta pada 27 Januari lalu.



Rabu, 13 Februari 2013

Remy tak gentar bertembung Tiz - Gosip Artis Terkini


Tenang saja suara Remy Ishak di hujung talian tatkala ditanya kebenaran cerita kononnya dia tidak muncul pada sesi fotografi drama bersiri lakonannya seperti yang disiarkan dalam kolum Dengarnya... Jumaat lalu.

Dalam artikel itu ada menyebut, Remy tidak hadir ke sesi fotografi poster drama berkenaan atas alasan tidak sihat.
Bagaimanapun, rahsia akhirnya terbongkar apabila pihak produksi Filmscape yang menerbitkan drama berjudul Cinta Jangan Kau Pergi lakonan Remy dan Tiz Zaqyah mendapat tahu, ketidakhadiran aktor itu adalah kerana dia terbabit dengan penggambaran filem.

Lebih menyulitkan keadaan, khabarnya Filmscape tidak tahu-menahu Remy terbabit dalam tugasan lain. Pastinya, tindakan pelakon itu menyusahkan banyak pihak. Khabarnya juga, stesen TV yang bakal menyiarkan drama itu bengang dengan sikap tidak bertanggungjawab Remy.

remy ishak
Remy Ishak
Sambil menyifatkan cerita disebarkan itu tidak benar, Remy tidak menolak andaian dakwaan itu mempunyai agenda tersembunyi yang mungkin mahu memburukkan dirinya.
“Saya akui sepatutnya memang saya kena hadiri sesi fotografi itu, tetapi disebabkan masalah jadual yang padat dan pelbagai halangan lain, fotografi terbabit akan dilakukan pada 13 Februari (hari ini). Perkara ini sudah pun diperbincangkan dengan dengan pihak produksi dan mereka maklum mengenainya. Cuma, tak perlulah saya nak dedahkan apa yang sudah saya bincangkan dengan mereka. 
“Saya sendiri hairan kenapa cerita seperti ini perlu digembar-gemburkan? Seolah-olah, ada agenda tersembunyi pihak tertentu yang sengaja mahu memanaskan cerita,” katanya ketika dihubungi HIP petang Isnin lalu. 
Mengulas dakwaan kononnya keengganan menghadirkan diri ke sesi fotografi itu disebabkan tidak mahu bertentang mata dengan bekas kekasih, iaitu Tiz, Remy menyifatkan tuduhan itu langsung tidak berasas.
“Kenapa pula saya tak nak datang disebabkan Tiz, sedangkan cinta kami putus sebelum kami berlakon dalam drama itu lagi? Kalau betul, baik saya tolak tawaran berlakon dengannya awal-awal lagi. 
“Ingatkan, bila saya berdiam diri, tiada lagi cerita yang bukan-bukan mengenai saya tersebar. Kalau boleh saya tak nak ulas cerita yang tiada isu pun kerana saya percaya, ia akan jadi panjang selepas ini. Apa pun, sekali lagi saya tegaskan, tiada apa yang berlaku dan saya anggap perkara ini sengaja diperbesarkan atas tujuan tertentu,” katanya. 
Remy ketika ini sedang bercuti selepas menamatkan penggambaran filem Sejoli arahan Osman Ali. Inilah filem ketiga Remy berlakon di bawah arahan Osman dan gandingan kali ketiga juga bersama aktres jelita, Maya Karin, selepas Anak Halal dan Cun!

Mengulas lanjut wataknya, Remy berkata, dalam filem ini dia masih lagi membawakan watak komedi, tetapi lebih bersifat urban, berbanding watak pemuda desa dalam Cun!
“Walaupun berkonsep ringan, watak ini tetap ada cabaran tersendiri. Tunggulah, selepas Osman membuat pengumuman mengenai pembikinan filem ini barulah karakter sebenar setiap pelakon dan jalan ceritanya akan didedahkan,” kata pelakon yang turut beraksi di sisi Bront Palarae dan Izara Aishah dalam filem terbabit.

Sumber: Berita Harian