Tampilkan postingan dengan label Hanis Zalikha. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Hanis Zalikha. Tampilkan semua postingan

Minggu, 24 Maret 2013

Hanis Zalikha Akui Agak Terkejut Dan Malu

 Hanis Zalikha





“SAYA anggap gosip sebegini seperti angin lalu yang meniup rambut saya sehingga kusut, tapi selepas itu saya akan betulkan kembali rambut dan ia akan kembali seperti sedia kala,” ujar Hanis Zalikha berhubung dakwaan dia kini sudah mula besar kepala.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Hanis atau nama sebenarnya, Hanis Zalikha Zainal Rashid, 23, berkata, isu yang mengatakan dia ‘demand’ pernah timbul sebelum ini dan dia lebih gemar mengambil sikap berdiam diri, kerana menganggap perkara itu akan berlalu begitu sahaja.

“Saya akui agak terkejut dan malu apabila ada pihak mengatakan saya mula ‘demand’ kerana meminta bayaran untuk sesi fotografi.

“Ingin saya tegaskan, saya tidak pernah berbuat demikian dan saya juga faham artis dan wartawan saling memerlukan.

“Sebelum ini, cerita mengatakan saya semakin ‘demand’ pernah keluar dan saya diamkan saja. Tapi bila keluar sekali lagi cerita sebegini, ramai pembaca blog saya menyarankan saya membuat kenyataan,” jelasnya.

Menerusi sebuah akhbar minggu lalu, heroin filem Gangster Celop ini dikatakan meminta bayaran kepada salah sebuah organisasi media untuk mengambil gambarnya.

Ditanya adakah ini antara agenda sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kariernya, Hanis berkata: “Saya tidak tahu ia sabotaj atau agenda menjatuhkan nama saya.

“Bagaimanapun, saya bersikap positif dan tidak mahu terlalu melayan cerita-cerita negatif seperti ini,” katanya.

Rezeki murah

Hanis berkata, di sebalik cerita negatif yang timbul, dia bersyukur kerana tawaran lakonan dan pengacaraan yang diterimanya kini semakin mencurah-curah.

Katanya, minggu depan, dia akan memasuki set penggambaran filem pertama arahan Aaron Aziz dan turut akan berlakon di samping aktor itu serta Nabil Ahmad.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Saya kini sedang menjalani latihan kerana filem arahan Aaron adalah sebuah filem aksi dan saya memang amat nantikan.

“Bulan depan, saya mula penggambaran musim kedua Memberku Hawa. Kemudian, rancang kelolaan saya, Mad Market juga akan jalani penggambaran untuk musim kedua.

“Selain itu, saya juga ditawar menjadi pengacara Raikan Cinta musim kedua dan akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” katanya.

Agenda tergendala

Biarpun mendapat tawaran mencurah-curah, Hanis berkata, dia tidak dapat melibatkan diri sepenuh masa dengan kariernya pelakon dan pengacara kerana turut bergelar ahli perniagaan. “Saya akui, saya semakin serius dengan penglibatan saya dalam bidang seni. Tapi saya tidak dapat memberi perhatian sepenuh masa kerana terikat dengan perkara lain seperti perniagaan.

“Saya kini mengelolakan sebuah perniagaan kecantikan kulit jenama Toujours Skin. Buat masa ini, ia hanya dijalankan menerusi perniagaan atas talian,” katanya.

Hanis berkata, walaupun dia berhasrat untuk membuka kedai sendiri, namun impiannya itu terpaksa ditangguhkan sebentar kerana kesibukan kerja.

“Harapan saya, kedai tersebut akan dapat dibuka dalam tahun ini juga. Saya Cuma berharap impian saya akan terlaksana nanti,” ujarnya.

OLEH NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA

Rabu, 06 Februari 2013

Hanis Zalikha tidak kesal jadi selebriti - Gosip Artis Baru

Siapa tidak kenal dengan penulis blog terkenal, http://inibelogsaya.blogspot.com/ ,  Hanis Zalikha Zainal Abidin kini sedang meniti populariti setelah terjun ke dalam bidang lakonan.

Sebelum terlibat dalam dunia perfileman, Hanis, 23, sebenarnya telah berlakon dalam drama Memberku Hawa dan telefilem Mariam Kampung Putat.

Namun, bakat lakonannya bakal diuji menerusi kemunculannya dalam filem Gangster Celop menerusi karakter seorang anak gengster yang baru sahaja pulang dari London.

Zalikha mengakui dirinya berdebar-debar menantikan respons peminat terhadap lakonannya dalam filem arahan Ahmad Idham, lakonan utama Syamsul Yusuf dan Kamal Adli itu yang dijadualkan mula ditayangkan pada 21 Februari ini.

hanis zalikha
Hanis Zalikha
"Saya sudah tidak senang duduk sekarang. Kalau (lakonan) tidak menjadi nanti mesti kena kutuk. Namun kalau kena kutuk sekali tidak mengapa. Mana-mana yang kurang nanti, saya akan cuba atasi dengan latihan pada masa depan," jelasnya ketika ditemui pada majlis final Cabaran Switch For Xtra di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, pengarah filem tersebut, Ahmad Idham telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menghayati watak lakonannya itu dan selebihnya dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai bakat dirinya.

Dalam meniti populariti dengan pakej yang ada pada dirinya itu, Hanis turut tidak terlepas daripada dicemuh atau dikritik.

Dia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan bekas teman lelakinya (yang enggan didedahkan namanya) telah bertindak mencanang cerita kepada umum mengenai karakter sebenar dirinya yang didakwa suka propa (menipu) dan berlagak.

Dia yang baru sahaja ingin mencipta nama telah dijengah kontroversi kurang enak, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak cepat melatah.

Dia sebaliknya menganggap kontroversi itu sebagai asam garam dunia glamor yang perlu dihadapinya sekarang ini.


"Saya tidak menyesal masuk ke dalam dunia seni. Sekarang, baru saya tahu apa yang perlu dihadapi oleh selebriti lain. Tidak semua gosip yang dibaca sebelum ini benar belaka," ujarnya.

Tambah wanita berbintang Libra ini, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan setiap kelakuan, percakapan dan apa sahaja yang dilakukan kerana ia akan menjadi bahan perbincangan umum pada kemudian hari.


"Sudah kena gosip begitu ketika mula-mula hendak masuk ke dalam bidang lakonan membuatkan saya rasa sudah tiba masanya saya kena membiasakan diri dengan semua perkara, tidak boleh jadi macam dahulu lagi," ujarnya.

Sibuk dengan pelbagai undangan majlis sosial sebagai seorang selebriti dan tawaran lakonan, Hanis mengakui dirinya sudah tidak kerap menulis blog lagi.

"Kalau dahulu, setiap hari ada sahaja perkara baharu yang saya hendak tulis. Sekarang, disebabkan sibuk kadang-kadang dua minggu sekali baru saya mengemas kini perkembangan terbaharu dalam blog," ujarnya.

Dia menjelaskan, walaupun banyak perkara yang dilakukan setiap hari selepas bergelar selebriti boleh dijadikan bahan bacaan dalam blognya, namun kekangan masa membuatkan dia kadangkala terlewat menulis.

Mengakui penulisannya turut mendapat kritikan peminatnya bukan kerana lambat mengemas kini blog, sebaliknya adalah kerana gaya penulisan yang tidak 'gila-gila' seperti dahulu lagi.
"Pembaca blog saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pembaca remaja ada yang merungut mengatakan tulisan saya tidak lagi macam dahulu. Namun, mereka kena terima hakikat bahawa saya sudah meningkat usia, tulisan juga kena matang," katanya yang malu dengan gaya penulisannya pada awal penulisan dalam blognya dahulu.

Walaupun mempunyai rupa paras yang menawan, Hanis mendedahkan dirinya masih solo dan tidak terfikir untuk mencari teman hidup dalam masa terdekat ini. 
"Saya mahu beri tumpuan kepada karier yang sedang saya bina ini dalam industri lakonan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu ada komitmen dengan sesiapa," katanya jujur.
Mahu bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana lelaki, dia menganggap jika mempunyai teman lelaki akan membuatkan dirinya terikat dengan kerjaya baharunya yang memerlukan banyak masa untuk diri sendiri.
"Kalau ada teman lelaki, ia akan melukakan hati orang. Kalau solo macam ini senang, mood saya juga tidak terganggu. Ia tidak jejaskan kerjaya saya nanti," tambahnya.
Namun bagi Hanis, itu bukan bermakna dia menolak jodoh sebaliknya dia mahu segala perkara berkaitan komitmen dirinya itu berlaku secara semulajadi.





Kamis, 13 Desember 2012

Sombong, tamak si Hanis Zalikha



CUMA satu perkataan pantas muncul dalam fikiran. Cantik! Namun, cantik sahaja masih belum cukup untuk menghuraikan cerita di sebalik gahnya nama Hanis Zalikha Zainal Rashid ini.
Siapa dia? Apa istimewanya dia? Hentikanlah bertanya soalan-soalan begini kerana faktanya, wanita berusia 22 tahun ini sebenarnya sudah punya status tersendiri di mata dan perhatian mereka yang mengaku peminat setia Hanis Zalikha sejak tiga tahun lalu.
Dikenali sebagai antara penulis blog popular tanah air, wanita yang mesra disapa dengan panggilan Hanis ini ada fenomenanya sendiri selepas aktif menulis blog dalam tempoh itu.
Kini, dia tak cuma memegang satu gelaran. Tuah Hanis sudah mula bercambah dari hari ke hari apabila dia kini mula dikenali sebagai seorang model, pelakon dan pengacara program televisyen.
Umpama sudah punya segala-galanya, Hanis dianggap memiliki kehidupan yang sempurna. Jadi mengapa perlu tamak merangkul semua gelaran dalam satu masa?
Itu andaian sesetengah pihak apabila melihat Hanis bagai terlalu mengejar populariti sehingga semua benda mahu dilakukannya serentak.
Sebagai pendatang baru, mungkin ada yang faham bahawa inilah masa yang sesuai untuk Hanis melakukan perkara yang disukai apalagi ketika kudrat mudanya masih ada.
Namun, tak semua orang boleh melihat satu perkara itu dengan pendapat dan pandangan yang sama.
Manusia berciri negatif pasti gemar mencari salah orang lain dan Hanis juga tidak terkecuali.
Menolak andaian dirinya tamak, Hanis memandang apa yang dilakukannya sekarang adalah rezeki yang datang tanpa diduga.
“Saya bukan tamak, cuma saya buat apa sahaja yang termampu dilakukan sementara masih boleh. Lagipun inikan rezeki, “ katanya.
Mengaku pada awalnya tidak berminat dengan dunia lakonan, anak kedua daripada enam beradik ini tidak menyangka di tempat yang tidak disukainya inilah dia berdiri sekarang.
Mula berlakon dalam drama Memberku Hawa sebaris dengan pelakon Faezah Elai dan Nad Zainal, bakat Hanis kemudian dikembangkan menerusi filem Gangster Celop arahan Ahmad Idham.
Berkongsi perasaan ketika pertama kali menerima tawaran berlakon, kata Hanis, dia seboleh-bolehnya enggan terlibat dengan dunia lakonan kerana ada satu persepsi kurang senang baginya.
“Sebenarnya, saya takut nak masuk dalam dunia lakonan walaupun saya seperti dapat meramalkan bahawa satu hari nanti lambat laun ia akan terjadi juga pada saya.
“Bukan apa, sejak aktif dalam bidang peragaan lagi dah ada yang tawarkan pada saya. Tapi saya selalu tolak sebab tak minat.
“Sampaikan ibu marah dan geram dengan saya sebab seringkali menghampakan permintaan mana-mana pengarah dan pihak produksi.
“Masa tu, apa yang saya fikir, dunia lakonan ni bukan untuk saya sebab saya memang tak berbakat. Jadi lebih baik beri peluang pada yang nak jadi pelakon.
“Namun, selepas melihat kesungguhan Ahmad Idham, saya terbuka hati untuk cuba berlakon dan sekarang, saya berada di sini, “ katanya.
Pun begitu, cerita Hanis, Khalid Nazri yang merupakan adik kepada Ahmad Idham adalah pengarah yang berjaya membuka minatnya dalam dunia lakonan.
“Sejak berlakon dalam telemovie Mariam Kampung Putat, saya dah mula minat berlakon. Seronok bekerja dengan Khalid. Dia santai dan sempoi orangnya.
“Tak tertekan dan dari situ saya sedar yang saya sudah mula meminati dunia lakonan berbanding dulu," katanya.
Tak apa, kritiklah
Menyedari bahawa masyarakat sering meletak jangkaan tinggi terhadap pendatang baru sepertinya, akui Hanis, dia tidak mampu memuaskan hati semua orang.
Maka kerana itu, kata wanita berbintang Libra ini, dia tahu bahawa dia tidak dapat lari daripada kritikan.
Bagaimanapun, umpama sudah bersedia, kata Hanis, dia tidak kisah jika ada yang mahu mengata dan mengkritiknya kerana menganggap perkara itu bukan pertama kali perlu dihadapinya.
“Biasalah, ada yang memuji, ada yang mengkritik. Saya tak kisah pun sebab saya tahu kritikan mereka ada baik dan buruknya.
“Sebenarnya, saya dah biasa kena kritik dan paling dekat dengan saya adalah menerusi dunia penulisan blog!
“Saya menulis dan orang mengkritik, saya dah biasa dengan semua itu. Ada keburukan bila popular datang dulu daripada lakonan.
“Saya dah popular menerusi dunia blog dan orang ramai kenal saya dengan itu. Jadi bila tiba-tiba saya berlakon dan mungkin lakonan saya tak capai jangkaan mereka, maka kritikanlah yang saya kena hadapi.
“Kadang-kadang kritikan mereka agak kasar juga, tapi saya cuba untuk tidak fikirkannya dengan mendalam sangat, memang sikap saya begitu. Ambil kritikan yang perlu sahaja.
“Saya tak kisah sebab sebelum orang kritik, saya sendiri kritik lakonan saya. Tak pernah rasa puas hati. Rasanya, semua pelakon pun macam tu, “ ujarnya.
Terasing?
Sengaja melayangkan pertanyaan sama ada setakat ini dia menerima layanan yang baik atau tidak daripada kalangan penggiat seni dalam industri.
Bukan apa, kadangkala sebagai pendatang baru, tak ramai yang mahu menoleh atau melayan sangat. Biasalah, persepsi `budak baru’ atau junior seakan sukar dikikis daripada mereka yang terlebih dahulu berada dalam industri.
Barangkali ada yang bimbang atau `goyang’ dengan kehadiran muka-muka baru yang semakin lama semakin ramai mewarnai dunia hiburan kita.
Dalam riak wajah tenang, kata Hanis, dia bersyukur kerana setakat ini menerima layanan yang baik daripada teman-teman dalam industri.
Menganggap mereka tak lokek membantu dirinya yang masih hijau dalam dunia lakonan, Hanis tidak berasa sulit untuk menyesuaikan diri dan berada di kalangan mereka.
“Tak pula terasa terasing sebab mereka layan saya dengan baik. Setakat ini, saya masih berhubung dengan mereka yang pernah berlakon bersama. Alhamdulillah saya diterima baik oleh semua," katanya.
Mengaku dirinya adalah seorang yang naif dan mudah percaya pada orang, Hanis sukar mengelak untuk meletak jurang dalam soal itu.
Disebabkan itu, kata Hanis, dia telah dinasihatkan oleh teman-teman artis yang rapat mengenai beberapa perkara yang perlu diketahui dan diambil berat olehnya sebagai pendatang baru.
Sememangnya bukan mudah, namun Hanis cuba mengikut pesanan mereka yang lebih arif demi memastikan dirinya tak hanyut dan terjebak dalam kontroversi yang mungkin boleh berlaku.
“Macam-macam yang mereka pesan. Biasalah, orang lama lebih tahu bukan. Tapi kata mereka, apa-apa pun, yang penting, saya perlu jaga disiplin dan jangan merungut sangat.
“Susah juga, sebab saya ni jenis orang yang penuh tanda-tanya. dan banyak dengan persoalan. Tapi bila dah dipesan begitu, saya akan cuba ikut," katanya.