Tampilkan postingan dengan label Artis Kena Fitnah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Kena Fitnah. Tampilkan semua postingan

Senin, 02 September 2013

Ada Pihak Cuba Gagalkan Perkahwinan Zain Saidin Dan Rozita Che Wan

Zain Saidin dan Rozita Che Wan sedang menghitung hari untuk diijabkabulkan.



PETALING JAYA: Ketika Zain Saidin sedang berkira-kira tentang hari pernikahannya dengan Rozita Che Wan, aktor kacak itu berhadapan dengan ujian getir apabila ada pihak cuba memburuk-burukkan kekasihnya dengan tujuan untuk menggagalkan perkahwinan mereka.

Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 29, berkata, pihak berkenaan menghasutnya agar membenci Rozita, 40, dengan membuka aib termasuklah bercerita kisah-kisah buruk zaman silam wanita itu.

“Ada seseorang datang kepada saya dengan bercerita macam-macam kisah buruk Cik Ta agar saya menarik balik keputusan saya untuk berumah tangga dengannya termasuklah bercerita kisah dia yang lepas-lepas,” katanya kepada mStar Online.

Zain diminta komen dugaan yang diterimanya selepas dia dan Rozita membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Disember depan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dekat sini.

Sehubungan itu kata Zain, dia sudah berjumpa dengan Rozita bagi membincangkan tuduhan itu dan berpuas hati selepas wanita berkenaan memberikan penjelasan.

Ujar Zain, pada mulanya fikiran dia benar-benar terganggu tetapi mempercayai bakal isterinya itu selepas Rozita menjelaskan tohmahan berkenaan adalah fitnah sama sekali.

“Saya tanya Cik Ta sendiri kisah-kisah yang saya dengar itu dan selepas penjelasan dibuat, saya tidak ragu-ragu untuk mengambilnya sebagai isteri,” ujar Zain.

Ditanya bagaimanakah persiapan perkahwinan mereka itu Zain berkata, ia diserahkan kepada Rozita untuk menguruskannya selepas melantik seorang perunding perkahwinan bagi hal berkenaan.

Dalam pada itu Zain berkata, hasrat untuk berumah tangga seolah-olahlah dipermudahkan Allah selepas dia memohon doa ketika menyertai misi ke Gaza, Palestin pada Disember tahun lalu.

Katanya, semasa di negara itu dia banyak berdoa, melakukan zikir selain banyak menghiburkan hati kanak-kanak yang berhadapan dengan peperangan.

“Saya berdoa agar jodoh saya dipermudahkan kerana hati saya benar-benar terbuka untuk berkahwin. Selepas balik dari Palestin itu, saya bersyukur kerana rezeki saya tidak putus-putus mungkin kerana niat baik saya itu,” katanya.

Zain berkata, dia merancang untuk menunaikan umrah di Mekah bersama Rozita selepas kedua-dua mereka bergelar suami-isteri nanti.

Oleh NIEZAM ABDULLAH


Minggu, 24 Maret 2013

Hanis Zalikha Akui Agak Terkejut Dan Malu

 Hanis Zalikha





“SAYA anggap gosip sebegini seperti angin lalu yang meniup rambut saya sehingga kusut, tapi selepas itu saya akan betulkan kembali rambut dan ia akan kembali seperti sedia kala,” ujar Hanis Zalikha berhubung dakwaan dia kini sudah mula besar kepala.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Hanis atau nama sebenarnya, Hanis Zalikha Zainal Rashid, 23, berkata, isu yang mengatakan dia ‘demand’ pernah timbul sebelum ini dan dia lebih gemar mengambil sikap berdiam diri, kerana menganggap perkara itu akan berlalu begitu sahaja.

“Saya akui agak terkejut dan malu apabila ada pihak mengatakan saya mula ‘demand’ kerana meminta bayaran untuk sesi fotografi.

“Ingin saya tegaskan, saya tidak pernah berbuat demikian dan saya juga faham artis dan wartawan saling memerlukan.

“Sebelum ini, cerita mengatakan saya semakin ‘demand’ pernah keluar dan saya diamkan saja. Tapi bila keluar sekali lagi cerita sebegini, ramai pembaca blog saya menyarankan saya membuat kenyataan,” jelasnya.

Menerusi sebuah akhbar minggu lalu, heroin filem Gangster Celop ini dikatakan meminta bayaran kepada salah sebuah organisasi media untuk mengambil gambarnya.

Ditanya adakah ini antara agenda sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kariernya, Hanis berkata: “Saya tidak tahu ia sabotaj atau agenda menjatuhkan nama saya.

“Bagaimanapun, saya bersikap positif dan tidak mahu terlalu melayan cerita-cerita negatif seperti ini,” katanya.

Rezeki murah

Hanis berkata, di sebalik cerita negatif yang timbul, dia bersyukur kerana tawaran lakonan dan pengacaraan yang diterimanya kini semakin mencurah-curah.

Katanya, minggu depan, dia akan memasuki set penggambaran filem pertama arahan Aaron Aziz dan turut akan berlakon di samping aktor itu serta Nabil Ahmad.

“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Saya kini sedang menjalani latihan kerana filem arahan Aaron adalah sebuah filem aksi dan saya memang amat nantikan.

“Bulan depan, saya mula penggambaran musim kedua Memberku Hawa. Kemudian, rancang kelolaan saya, Mad Market juga akan jalani penggambaran untuk musim kedua.

“Selain itu, saya juga ditawar menjadi pengacara Raikan Cinta musim kedua dan akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” katanya.

Agenda tergendala

Biarpun mendapat tawaran mencurah-curah, Hanis berkata, dia tidak dapat melibatkan diri sepenuh masa dengan kariernya pelakon dan pengacara kerana turut bergelar ahli perniagaan. “Saya akui, saya semakin serius dengan penglibatan saya dalam bidang seni. Tapi saya tidak dapat memberi perhatian sepenuh masa kerana terikat dengan perkara lain seperti perniagaan.

“Saya kini mengelolakan sebuah perniagaan kecantikan kulit jenama Toujours Skin. Buat masa ini, ia hanya dijalankan menerusi perniagaan atas talian,” katanya.

Hanis berkata, walaupun dia berhasrat untuk membuka kedai sendiri, namun impiannya itu terpaksa ditangguhkan sebentar kerana kesibukan kerja.

“Harapan saya, kedai tersebut akan dapat dibuka dalam tahun ini juga. Saya Cuma berharap impian saya akan terlaksana nanti,” ujarnya.

OLEH NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA

Jumat, 19 Oktober 2012

'Demi Allah Saya Tak Curang’ – Ana Dahlia



PETALING JAYA – Pelakon Ana Dahlia menganggap tuduhan yang mengatakan dia berlaku curang sehingga menyebabkan konflik dalam rumah tangganya bersama Chef Riz sebagai kontroversi yang tidak dapat dielak dalam dunia hiburan.

Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, berkata, dia tidak perlu melenting atau terkejut kerana tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana dia sibuk bekerja hampir setiap hari.

“Saya tidak terkejut pun dengan tuduhan ini kerana ia tidak berlaku. Demi Allah, saya tidak pernah curang kerana hampir setiap hari saya sibuk bekerja.

“Saya percaya isu ini timbul kerana perasaan dengki dan cemburu pihak tertentu terhadap rumah tangga kami.

“Ia adalah perkara normal dalam dunia hiburan,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan ini kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.

Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.

Ditanya mengenai tuduhan tersebut, bekas pramugari AirAsia ini memberitahu dia dan bekas teman lelakinya sudah terputus hubungan dan membawa haluan hidup masing-masing.

“Bagi saya, kisah dengan bekas kekasih adalah perkara lepas dan ia sudah lama berakhir.

“Saya tidak pernah berhubung dengan dia, apatah lagi untuk keluar bersama atau menjalin hubungan semula.

“Saya pun tidak tahu di mana dia dan mungkin juga sudah berkahwin. Kalau betul saya keluar dengan bekas kekasih, pernah ke ada pihak yang nampak atau jumpa kami?” soalnya.

Kata bekas peserta rancangan Pilih Kasih musim pertama ini, dia enggan mengambil peduli mengenai gosip itu kerana kebenaran sesuatu perkara terletak hanya diketahui oleh Allah.

“Tuhan maha mengetahui setiap apa yang berlaku. Tidak perlulah saya bersusah-payah hendak menafikan atau sembunyikan kisah ini jika benar saya berlaku curang.

“Kalau ia benar-benar berlaku, lambat-laun orang pasti tahu juga,” katanya yang mengakui pelbagai dugaan hidup yang berlaku menjadikannya semakin kuat dan tabah.

Dalam perkembangan lain Ana berkata, dia mengalami demam dan sakit tekak kerana kurang rehat ekoran komitmen pada penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Cinta Itu Bukan Milikku arahan Emi Suffian Sabhe yang pernah mengarahkan Vanila Coklat sebelum ini.

“Saya tidak sihat dan hilang suara sekarang. Mungkin kerana saya kurang rehat dan banyak menjerit untuk babak-babak saya diserang histeria dalam drama terbaru Cinta Itu Bukan Milikku.

“Penggambaran drama ini masih berlangsung sehingga hujung bulan hadapan. Insya-Allah ia akan ditayangkan untuk slot Akasia di TV3 pada awal November nanti,” katanya. – MStar

Kamis, 18 Oktober 2012

Scha & Awal Bengang Kerana Dituduh Curi Pakaian

Pasangan bahagia Scha dan Awal

PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya tertekan apabila namanya dan suami, Awal Ashaari menjadi bualan selepas dituduh mencuri pakaian yang bernilai RM2,000 di sebuah gedung pakaian jenama terkenal.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, hal tersebut benar-benar menjejaskan reputasinya dan Awal walaupun mereka tidak melakukan perkara terkutuk itu.

"Saya pening sebenarnya. Ada yang mengatakan saya yang mencuri pakaian jenama itu dan ada yang kata Awal yang melakukan perbuatan itu.

"Walaupun saya tahu untuk orang mempercayai penjelasan saya sangat sedikit, tetapi saya mahu katakan bahawa saya tidak melakukan perkara terkutuk itu, tidak mungkin.

"Perkara ini benar-benar membuatkan saya tertekan kerana nama saya sudah tercalar," katanya.

Scha ditemui pada majlis pelancaran treler filem Awan Dania The Movie di Kafe Barbara, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini, Khamis.

Pada September lalu, timbul gosip mengenai seorang pelakon terkenal yang dijemput menghadiri majlis pembukaan sebuah gedung pakaian telah mencuri beberapa helai pakaian yang bernilai RM2,000.

Selepas pelbagai spekulasi timbul, pasangan suami isteri itu dituduh mempunyai kaitan dengan gosip tersebut. Mereka dikatakan telah menjual semula pakaian tersebut di kedai milik mereka.

Tambah Scha dia telah berjumpa dengan pengurusan gedung pakaian itu dan meminta pihak terbabit untuk membuat satu kenyataan khas bagi menjelaskan situasi sebenar.

"Saya siap tanya kepada mereka adakah benar kes kecurian itu berlaku? Tetapi mereka kata, tidak ada.

"Kemudian saya meminta pihak gedung berkenaan untuk melakukan sesuatu kerana nama kami sudah tercalar, namun mereka enggan membuat sebarang penjelasan secara formal kerana menganggap tiada sebab untuk mereka berbuat demikian.

“Nak buat macam mana, saya hormat keputusan mereka," tuturnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Minggu, 07 Oktober 2012

Adira Tidak Mahu Dikaitkan Dengan Aliff Aziz & Anne Ngasri


Adira tidak mahu dikaitkan sebagai punca keretakan hubungan pasangan Aliff Aziz dan Anne Ngasri.

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Adira Suhaimi atau Adira meminta semua pihak tidak mengaitkannya sebagai punca keretakan hubungan cinta penyanyi kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz dan Anne Ngasri.

Adira, 22, menegaskan dia tidak terlibat dalam keretakan hubungan pasangan itu dan berharap semua pihak menghormati perasaannya.

"Saya tidak terlibat langsung dalam keretakan hubungan mereka dan saya tidak mahu terlibat dalam masalah yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini," ujarnya ringkas ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Ahad.

Adira menjawab tuduhan kononnya dia menjadi punca hubungan Aliff dan Anne putus apabila mereka berdua dikatakan kononnya telah jatuh cinta ketika bertemu di lokasi penggambaran drama Tiara yang sedangditayangkan menerusi saluran Astro Prima.

Dalam pada itu, Adira berkata, hubungannya dengan Aliff hanya bersifat profesional dan tidak lebih daripada itu dan dia turut hairan bagaimana cerita tersebut tersebar.

Malah kata Adira, selepas hubungannya dengan AG (Coco) gagal, dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya lebih selesa menikmati kehidupan solo.


Aliff Aziz dan Adira dikatakan menjalinkan hubungan cinta selepas sama-sama berlakon dalam drama Tiara.

"Saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada kerjaya nyanyian dan lakonan dan kini lebih selesa tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana lelaki," jelasnya.

Bagaimanapun Adira berkata, dia berharap kemunculan “single” duet terbarunya bersama Aliff berjudul “Keajaiban Cinta” tidak akan menjadi kontroversi selepas ini.

"Ia hanya sebuah lagu duet untuk drama Tiara yang kami sama-sama berlakon. Hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya berharap tiada sebarang gosip lain timbul gara-gara kolaborasi itu," katanya.

Sementara itu, Adira berkata, dia semakin selesa bergelar pelakon namun masih meletakkan nyanyian sebagai karier utamanya.

Malah dia hanya berlakon untuk mengisi masa lapang selain menambah ilmu terutamanya dari segi pembinaan watak bagi sesuatu karektor.

"Seronok berlakon kerana dapat belajar pelbagai perkara namun itu tidak bererti saya tidak mahu menyanyi lagi kerana nyanyian adalah keutamaan saya," ujarnya.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Jumat, 05 Oktober 2012

Safee Sali Mengaku Dah Ada Teman Istimewa,Tetapi Bukannya Julia Hana


  

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Safee Sali menafikan laporan laman sosial dan blog yang mendakwa beliau kini sedang dilamun cinta dengan pelakon, Julia Hana dan telah menghabiskan cuti di Langkawi.

Gosip antara keduanya timbul selepas blog berkenaan mendakwa kedua-dua mereka berpegangan tangan ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah kelmarin.

“Itu bukan saya…saya tidak pernah ke Langkawi pun sebelum ini,” katabeliau kepada Sinar Harian Online.

Pengurusnya, Zakaria Abd. Rahim berkata, pada tarikh berkenaan, beliau menyertai sesi penggambaran pada sebelah pagi di Petaling Jaya.

“Pada sebelah petang Safee ke gim untuk latihan di Kem Latihan Nasional, Persatuan Bola Sepak Malaysia sebagai persiapan menghadapi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa di Hong Kong, 16 Oktober nanti,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Sehubungan itu, Safee berharap dengan penjelasan yang diberikan, gosip percintaannya dengan pelakon berkenaan akan dihentikan.

Ketika ditanya mengenai kekasih, Safee turut mengakui sudah mempunyai teman istimewa.

Bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya bukan artis untuk bercerita mengenai perkara ini. Saya hanya pemain bola sepak.

“Walaupun dilanda gosip sebegini, tumpuan saya terhadap bola sepak masih tidak terganggu dengan gosip tidak menentu seperti ini,” jelas beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, menerusi laman sosial Facebook beliau, SafeeSali_10 Official mengatakan, Safee kini dilantik sebagai duta produk minyak wangi Avon, Centre Action, hari ini.

Dengan lantikan itu, menjadikan menjadikan anak jati Selangor itu sebagai satu-satunya ahli sukan dan pemain bola sepak di Malaysia dilantik sebagai Duta Avon.

Sebaik pelancaran itu, Safee juga dilaporkan terus ke LCCT untuk pulang ke Jakarta bagi menghadapi perlawanan persahabatan antara Pelita Arema dan The Real Garuda di Malang, Indonesia, petang esok.


SINAR HARIAN

Minggu, 12 Agustus 2012

Aweera Tidak Meniru Cara Nyanyian Awie

     

"Memang saya minat Awie. Sejak dari sekolah lagi saya minat dia. Apa yang saya maksudkan ialah saya mengidolakan dia. Saya bukan tiru dia," Saya cuma menjadikan dia sebagai idola.  saya", itu kata vokalis kumpulan Mojo, Aweera, 21, kepada MD ketika di temui sewaktu previu tayangan filem Leftwings, baru-baru ini.

Sekaligus menjawab isu berhubung dia didakwa sengaja meniru penyanyi Rock, Awie. Baru-baru ini tercetus kontroversi ekoran laporan sebuah akhbar mingguan minggu lalu, telah disalah erti sehingga menimbulkan salah faham dikalangan peminatnya dan penyanyi rock terbabit.

Pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham ni turut menegaskan yang dia tidak pernah memberitahu meniru cara nyanyian Awie ketika ditanya mengenai persamaan yang berlaku di antara mereka sebaliknya mengagumi dan menjadikan penyanyi itu sebagai idola sejak dari zaman persekolahan lagi.

Di samping itu anak kelahiran Kangar, Perlis, ni berkata dia tidak pernah berniat untuk menimbulkan kontroversi dengan kenyataannya itu sebaliknya sekadar menjawab soalan wartawan apabila ditanya pelbagai soalan.

"Tiada siapa yang boleh tandingi nyanyian juga kredibiliti dia. Saya cuma menjadikan dia sebagai idola. Kalau nak kata saya tiru suara dia, saya ada minta pendapat peminat-peminat saya dan mereka kata, mereka dapat bezakan suara kami", ujarnya yang turut menyatakan rasa terkilan dan kecewa dengan kecaman yang diterima namun tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

Pun begitu dia mengakui, sikapnya yang suka bergurau mungkin telah menyebabkan salah faham dengan apa yang dikatakannya sehingga dipandang serius oleh sesetengah pihak.

"Bukan nak salahkan sesiapa tetapi memang tiada niat untuk cetuskan apa-apa kontroversi sebegini dan perkara ini juga saya sudah dijelaskan kepada wartawan yang menulis artikel itu. Saya juga telah memberi penjelasan di Facebook saya. saya harap peminat Awie dapat menerimanya," kata bekas peserta One In Million (OIAM3) ini lagi.

Dalam perkembangan lain, Aweera yang akan pulang beraya di kampung halamannya selama seminggu, bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul Leftwings yang akan ditayangkan pada 30 Ogos ini.

Oleh Farahanim Rahim