Gambar fail A.Aida bersama peguam syarie, Zulkifli Che Yong.
KUALA LUMPUR: Pelakon A. Aida menyifatkan tuntutan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman terhadap beberapa perkara sebelum bersetuju untuk bercerai secara baik adalah keterlaluan dan melampaui batas.
Sehubungan itu A.Aida selaku plaintif terpaksa menarik balik persetujuannya sebelum ini untuk berpisah secara baik dan akan mengemukakan permohonan fasakh terhadap Suffian.
Penarikan permohonan itu dilakukan di dalam kamar di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Basyir Yaakub di Mahkamah Syariah Jalan Duta, di sini pada Khamis.
"Kami tidak dapat mencapai persetujuan secara baik walaupun beberapa siri perbincangan telah dilakukan melalui peguam dan beberapa draf cadangan telah dikemukakan tetapi masih tidak mendapat kata sepakat.
“Oleh itu saya menarik balik permohonan cerai secara baik dan akan memfailkan fasakh," ujarnya ketika ditemui di luar mahkamah.
Penerbit drama Halimah Jongang itu bagaimanapun enggan mendedahkan tuntutan tersebut.
Beliau hadir bersama peguam syarienya, Zulkifli Che Yong bagi menarik semula permohonan sebelum ini iaitu untuk berpisah secara baik dan mengemukakan permohonan baru iaitu membubarkan perkahwinan melalui fasakh.
Ia dibuat mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Fasakh) yang akan difailkan pada 22 Oktober depan.
Sementara itu, Suffian ketika ditemui berkata, pertikaian terhadap tuntutan yang berlaku itu adalah untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat keputusan yang adil dan tidak menganiayai sesiapa.
Bagaimanapun kata Suffian, dia tidak akan membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang perkahwinan mereka sebaliknya hanya ingin memastikan cadangan yang dibuatnya dapat memberi keuntungan di antara satu sama lain.
"Saya tidak mahu dia (Aida) atau saya teraniaya dan pertikaian ini adalah untuk mendapatkan keputusan yang adil," ujarnya ringkas.
A. Aida A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhamad Rahul yang kini berusia empat tahun.
Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar