Tampilkan postingan dengan label Artis Berdamai. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Berdamai. Tampilkan semua postingan

Senin, 22 April 2013

Gambar Nora Danish Melawat Anak Fasha Sandha

Nora Danish dan anaknya Putra Rayqal Ramli melawat anak Fasha Sandha dan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli.

 

Seperti mana yang kita ketahui, hubungan dingin yang pernah berlaku di antara pelakon Nora Danish dan Fasha Sandha sudah lama padam.

Terbaru, semalam Nora sempat memuat naik sekeping gambarnya bersama putera kesayangan beliau, Putra Rayqal Ramli yang hadir melawat anak Fasha Sandha dan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli yang telah selamat dilahirkan pada 15 April lalu.

Melalui gambar itu, Nora menulis, “congrats Jejai & Fasha on the new born Rayfal. Such an adorable baby”.




Rata-rata peminat memberikan maklum balas yang positif di atas perkhabaran gembira itu dan mengharapkan hubungan baik dan mesra yang ditunjukkan mereka akan berkekalan buat selama-lamanya.

Menerusi laporan sebuah akhbar sebelum ini, Nora dikatakan agak terkejut apabila nama anak Fasha, Putera Rayfal Ramli kedengaran seakan-akan sama dengan nama anaknya.

Diharapkan hubungan ini akan terus berkekalan dan semoga kedua-dua anak mereka membesar menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.


Kredit Gambar: Instagram Nora Danish

Minggu, 17 Maret 2013

Kes Pengarah Drama Hantar Mesej Berbaur Seks Selesai

Pengarah drama, Rashid Ahmad (paling kiri) bersalaman dengan Carmen dalam majlis diatur SENIMAN.

 

Ampang: “Saya sedia memaafkannya namun dalam masa sama berharap dia bertaubat atas kesalahannya,” kata pelakon baru, Carmen Chew Richy, 22, yang memaafkan pengarah drama, Rashid Ahmad, 38 atau Rashid San berhubung insiden dikirim mesej berbaur seks, minggu lalu.

Carmen berkata demikian selepas menerima permohonan maaf terbuka daripada Rashid di pejabat Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), di sini, kelmarin, berhubung konflik antara kedua-dua mereka.

Menerusi Harian Metro 9 Mac lalu, Carmen mendakwa pengarah itu bertindak di luar batasan sejurus mengirimkan mesej seks kepadanya Januari lalu selain turut dipukul, ditampar dan tidak dibayar gaji.

Rashid bagaimanapun tampil menafikan dakwaan melainkan mengakui mengirimkan mesej berbaur seks bertujuan menyedarkan Carmen disebabkan pelakon itu tidak membayar sewa rumah di Setapak menyebabkan pemilik rumah mencarinya.

Selain itu, punca Rashid berbuat demikian kerana Carmen enggan menjalani penggambaran sebuah video muzik biarpun sudah menerima bayaran RM1,500 dan sebuah telefon bimbit.


Carmen Chew Richy


Menurut laporan akhbar Harian Metro lagi, pelakon baru, Carmen Chew Richy mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pengarah berusia 38 tahun.

Carmen, 22 mendedahkan nasib yang menimpanya itu kerana dia sudah tidak tahan dengan pengarah yang sudahpun berkahwin itu telah lebih 50 kali mengajaknya melakukan hubungan seks.

“Kerana menolaknya, saya bukan saja dipukul dan ditampar malah diugut disebarkan  fitnah kononnya menjalin  hubungan dengan ramai artis lain,” kata pelakon baru itu.

Pelakon Cina yang baru  setahun berjinak di dalam dunia lakonan, berkata, dia mengenali pengarah itu pada April tahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan.

Carmen juga merupakan pelakon utama drama Kampung Simpang Burung.

“Pada awal perkenalan, lelaki itu menunjukkan sikap  baik sebelum menawarkan beberapa lakonan. Sehinggalah pada Jun, saya dilantik  sebagai pembantu peribadi kepada produksi miliknya,” katanya.

Kata Carmen, selepas hubungan mereka bertambah erat  terutama hal kerja, pengarah itu beranggapan dia teman wanitanya dan melakukan  gangguan seksual apabila meraba anggota badannya.

“Kerana  menolaknya, saya ditampar dan dipukul Julai tahun lalu. Saya   berbuat demikian  kerana saya tahu dia sudah beristeri,” katanya.

Carmen beberapa kali menyatakan hasrat berhenti kerja namun dihalang lelaki itu  sejurus diminta melakonkan sebuah video korporat dan dibayar RM1,000.

“Saya sedih menjadi mangsa keadaan. Bukan saja diajak lakukan seks, diraba dan  dipukul, malah sepanjang setahun bekerja, saya dibayar hanya RM2,000,” katanya.

Rabu, 16 Januari 2013

Lisdawati & Rita Rudaini Berdamai Selepas 7 Tahun Bermusuhan

 Lisdawati


KUALA LUMPUR: Permusuhan di antara pelakon Lisdawati dan Rita Rudaini hampir 7 tahun kembali jernih apabila kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berdamai selepas ditawarkan berlakon dalam drama bersiri Kerana Sarah.

Lisdawati berkata, bersempena dengan tahun baru 2013 ini, dia berazam untuk tidak bermusuhan dengan sesiapa sahaja termasuklah Rita dan mahu bekerjasama dalam drama berkenaan yang masih lagi dalam penggambaran.

"Tahun 2013 ini, saya berazam untuk melalui suasana harmoni dan sekiranya terdapat persengketaan dengan sesiapa sekalipun, orang kata, buang yang keruh, ambil yang jernih.

"Begitu juga dengan dia (Rita), apa yang berlaku itu biarlah berlalu dan saya hormat dia sebagai pelakon yang lebih 'senior' daripada saya. Diharap, tiada sesiapa yang akan mengungkit perkara lama itu," katanya kepada mStar Online.

Pada tahun 2006, Rita dan Lisdawati dikatakan bermasam muka selepas berlakunya insiden tampar menampar dan tarik rambut ketika kedua-duanya melakonkan adegan terakhir drama Kau Yang Ku Sayang di kolam renang sebuah hotel di Georgetown, Pulau Pinang.

Aksi tersebut berubah menjadi sebuah pergaduhan besar sehingga melibatkan kes polis apabila Lisdawati mendakwa Rita sengaja mencederakannya.



Rita Rudaini


Sementara itu, Rita pula berkata, perkara tersebut sudah lama selesai dan tiada apa-apa isu yang perlu timbul antaranya dengan isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan dia (Lisdawati). Perhubungan kami lebih pada profesional dalam bidang kerja kami.

"Kami bertegur sapa, tetapi tak banyak berbual pun di lokasi. Cuma dengan apa yang telah berlaku, saya mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.

"Dalam masa yang sama saya tidak mahu Fauzi ada dalam apa juga penggambaran yang saya lakukan atas sebab yang tidak dapat saya kongsi kepada umum," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK & WAHIDUZZAMAN

Minggu, 07 Oktober 2012

Oprah Sokong Rihanna Kembali Ke Pangkuan Bekas Kekasihnya Chris Brown


Rihanna ketika ditemubual oleh Oprah semasa program Oprah's Next Chapter baru-baru ini.

PENGACARA terkenal Oprah Winfery menyokong sekiranya penyanyi Rihanna ingin kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Chris Brown.

Oprah, 58, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah sebaliknya memberitahu ia adalah sesuatu berita baik.

"Saya berpendapat jika Rihanna sudah bersedia untuk kembali kepada Chris dan membantunya berdepan dengan masalah yang dihadapinya mengapa tidak?

"Saya tidak berhak untuk menilai apa yang terbaik buat mereka dan jika itu pilihan mereka saya hanya perlu menyokong," katanya.



Chris Brown telah memukul Rihanna pada tahun 2009 sehingga telah menyebabkan kecederaan kepada penyanyi itu.

Rihanna sebelum ini mengakui masih mencintai Chris walaupun telah dibelasah teruk oleh bekas teman lelakinya itu ketika mereka masih bersama pada tahun 2009.

Penyanyi lalu Umbrella itu membuat pengakuan tersebut semasa ditemubual oleh Oprah dalam program Oprah's Next Chapter.

Dalam pada itu, Oprah berkata, perkara terbaik semasa temubual itu adalah Rihanna tidak takut untuk menyatakan apa yang terbuku di dalam hatinya.

"Dia bersetuju untuk ditemubual dengan hati yang terbuka dan paling penting dia telah memaafkan Chris atas perbuatannya," ujarnya.

Kamis, 02 Agustus 2012

Norman Hakim Sebak Lihat Memey Dan Abby Berpelukan

Berkat bulan Ramadan telah menyatukan Abby dan Memey.


Norman bersama bekas isterinya, Abby (kiri) dan Memey kelihatan gembira selepas persengketaan yang selama ini terjadi dapat diselesaikan dengan baik. Foto kiriman Norman.

PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.

Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.

"Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.

"Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.

"Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit 'yeay! Mummy dan mama dah baik!". Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini," ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.

Foto Norman dan Memey berbuka puasa di rumah Abby bersama anak-anak. Gambar petikan Twitter milik Abby.

Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.

"Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ' ini rahsia perempuan'.

"Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit," tuturnya.

Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.

"Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.

"Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama," tuturnya.

Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.

"Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.

"Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.

"Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan," katanya.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.

Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Senin, 02 Juli 2012

Anzalna Mohon Maaf Pada Neelofa Tanpa Bersalaman

Aktres Anzalna (paling kiri) membuat permohonan maaf mengikut syarat-syarat yang dipersetujui bersama dalam surat perjanjian mereka pada sidang media di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin. Turut kelihatan Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak, Presiden Seniman Zed Zaidi dan Neelofa.

Gambar di atas adalah teks kenyataan rasmi yang dibaca oleh Anzalna ketika memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya terhadap rakan artis, Neelofa dalam sebuah akhbar arus perdana pada 10 Jun lalu.
Kenyataan itu dibacakan pada majlis khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.


PETALING JAYA: Genap sebulan kontroversi pertelingkahan berlaku, pelakon Anzalna Nasir pada Isnin akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa kerana memfitnah pelakon itu menerusi sebuah akhbar pada 10 Jun lalu.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 24, turut mengakui tidak mempunyai bukti terhadap segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Neelofa tetapi ia bukan bermaksud untuk mengaibkan sesiapa.

“Saya Nur Anzalna Md Nasir di atas nasihat Persatuan Seniman Malaysia dengan ini memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Minggu pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya.

“Saya akui tidak mempunyai bukti yang kukuh ketika mengeluarkan kenyataan di akhbar tersebut.

“Sejujurnya saya tidak bermaksud apa-apa dan tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa daripada kenyataan itu,” katanya ketika memohon maaf secara terbuka kepada aktres itu dalam sidang media khas anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Hotel Royale Chulan di sini, petang Isnin.

Kenyataan maaf secara terbuka itu turut disaksikan Neelofa, Presiden Seniman Zed Zaidi, Biro Aduan dan Perundangan Seniman Zahrin Ishak dan peguam kedua-dua aktres terbabit.

Butiran lanjut mengenai syarat-syarat dalam surat perjanjian antara dua aktres berkenaan enggan didedahkan atas alasan sulit dan peribadi.


 Neelofa dikerumuni media sejurus sidang media berkenaan.

Kedua-dua aktres tersebut bagaimanapun tidak bersemuka atau bersalaman selepas sidang media berkenaan tetapi meninggalkan majlis dengan tanda tanya.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia menganggap konflik di antara mereka sudah berakhir menerusi permohonan maaf dan persetujuan Anzalna pada syarat-syarat ditetapkan dalam surat perjanjian itu.

“Saya bersyukur kerana semua ini (pergaduhan) sudah berakhir. Saya memilih untuk menyelesaikan kes ini menerusi jalan perundangan kerana saya tahu kedudukan saya berada di pihak yang benar dan ia terbukti pada hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Seniman atas bantuan mereka. Jika tiada mereka, mungkin kes ini semakin berpanjangan,” katanya.

Zed pula berkata, dia berharap permohonan maaf ini dapat meleraikan kekusutan yang timbul dan menyeru pihak media untuk tidak memanjangkan isu ini kerana ia sudah berakhir.

“Semoga pihak media tidak memanjangkan lagi isu ini kerana ia sudah berakhir. Saya berharap media dapat memberikan laporan yang seimbang dan adil supaya kedua-dua aktres ini dapat meneruskan karier mereka tanpa sebarang masalah selepas ini,” katanya.

Anzalna pantas meninggalkan bilik sejurus berakhirnya sidang media tersebut kerana dipercayai sedang bergegas ke lokasi penggambaran drama di Shah Alam, Selangor.

Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk “Anzalna Bidas Neelofa” menerusi akhbar berkenaan.

Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa.

Menerusi laporan mStar Online pada Sabtu lalu, Neelofa berkata, dia menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna dalam sepucuk surat sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.


Oleh WAHIDUZZAMAN