Senin, 19 November 2012

Kerana Salah Faham Betty Banafe Hampir Batalkan Pernikahannya

 Betty Banafe




PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Betty Banafe menganggap sikap hilang sabar ketika berhadapan dengan ujian dalam alam pertunangan menjadi penyebab dia hampir membatalkan pernikahannya dengan Bruce Dargus yang dijadualkan pada 8 Disember depan.

Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisan Abu Bakar Banafe, 33, berkata, puncanya adalah kecil apabila dia dan bakal suami yang berasal dari England itu berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan.

“Disebabkan dia bukan orang Melayu, dia sukar untuk memahami budaya kita. Semasa kami berbincang bagi mengadakan persiapan pernikahan, kami menghadapi masalah perbezaan pendapat menyebabkan saya putus asa sehingga berhasrat membatalkan perkahwinan itu.

“Bagaimanapun selepas dibantu oleh seorang teman rapat yang berusaha untuk menyelesaikan masalah kami, akhirnya kami mendapat jalan penyelesaiannya.” Kata Betty ketika hadir ke Menara Star di sini petang Isnin untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinannya.

Betty diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mendedahkan hasratnya untuk membatalkan majlis perkahwinan yang akan diadakan di rumah keluarganya di Kempas, Johor Bahru itu.

Betty memberitahu, dia percaya pendapat sesetengah pihak yang mengatakan dugaan di alam pertunangan memang berat dan besar kemungkinan boleh menyebabkan sesebuah perkahwinan itu dibatalkan jika pasangan gagal untuk menanganinya.

Bagaimanapun dia bersyukur ketika hari bahagiannya semakin tiba, segala cabaran itu dapat dilaluinya dengan tabah.

“Saya perlu kuatkan semangat kerana saya mahu mengahwini bangsa asing iaitu lelaki yang berdarah Lubnan campur mat salih. Ia tidak mudah kerana perbezaan budaya. Tetapi saya bersyukur kerana dia boleh menerima budaya kita,” katanya yang mengenali pakar teknologi maklumat itu sejak setahun lalu.

Kedua-dua mereka bertunang secara rasmi pada 14 Jun lepas.

Betty memberitahu, tekanan yang dihadapi akibat masalah itu menyebabkan dia terpaksa menangguhkan pembedahan sista ovari yang sepatutnya dilakukan pada 16 November lalu di pusat pakar perubatan HUKM, Cheras, dekat sini.

“Saya amat tertekan sehingga tidak dapat menjalankan pembedahan itu. Bagaimana selepas semuanya selesai, saya akan melakukannya (pembedahan) itu esok (hari ini).

Bercerita mengenai majlis pernikahannya Betty berkata, upacara akad nikah akan diadakan di rumah keluarganya di Kempas, Johor selepas solat Zuhur sementara majlis resepsi kedua-dua pihak akan diadakan di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru pada 12 Disember depan.

Pada majlis nikah itu Betty akan mengenakan busana yang dicipta oleh pereka fesyen dari Singapura yang berkonsepkan Arab.

Bagaimana konsep pakaian pada majlis persandingannya terpaksa dirahsiakan untuk memberikan kejutan kepada pihak lelaki.

Antara selebriti yang dijangka hadir pada majlis persandingannya ialah Erra Fazira, Zahida Rafik, Serina, Nabila Huda, Nash dan Lisdawati.

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Tidak ada komentar:

Posting Komentar