Rabu, 27 Juni 2012
Jalani Sidek Dan Raja Azmi Sah Bercerai Talak Satu
Raja Azmi dan Jalani keluar dari mahkamah sambil ditemani anak, semalam.Raja Azmi redha dengan hadiah lafaz cerai dari suaminya yang di terima pada hari ulangtahun kelahiran beliau semalam.
KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan selama 28 tahun antara penerbit filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek akhirnya menemui noktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.
Jalani atau nama sebenarnya Mohd Jalani Mohd Sidek, 49, melafazkan talak satu itu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Raja Azmi petang kelmarin.
Raja Azmi memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Bagaikan babak sedih dalam filem, pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Jalani melafazkan cerai. Secara kebetulan semalam adalah hari ulang tahun Raja Azmi yang ke-53.
Raja Azmi yang memakai baju bercorak batik dan berselendang hitam tidak dapat menahan sebak apabila Jalani mengucup pipinya. Shaiful Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan. Pada prosiding itu, Jalani tidak diwakili peguam manakala Raja Azmi diwakili peguam Roslizam Rahim. Mereka hadir bersama-sama ditemani anak perempuan kedua, Puteri Suaida dengan menaiki sebuah kereta pada jam 3 petang sebelum prosiding itu selesai 30 minit kemudian. Terdahulu ketika prosiding bermula, Roslizam memaklumkan mahkamah pihaknya menyerahkan saman kepada Jalani selaku plaintif jam 2 petang semalam dan defendan bersetuju dengan tuntutan plaintif. Berdasarkan fakta kes, Roslizam berkata pasangan itu sudah tidak mempunyai persefahaman di dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa’ (perbalahan) berpanjangan. “Pelbagai spekulasi melanda pihak-pihak menyebabkan tiada persefahaman. Wujud shiqa’ antara mereka. “Pihak-pihak telah berbincang dan mengambil masa yang lama untuk mencapai persetujuan ini (bercerai). Mereka bermuafakat bahawa mereka boleh terus berkasih sayang sebagai kawan dan bukan sebagai suami isteri,” katanya.
“Perceraian ini tiada kena mengena dengan orang ketiga,” kata bekas jaguh beregu badminton negara, Mohamed Jalani Mohamad Sidek, 49, selepas sah bercerai dengan Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, petang semalam.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Jalani berkata, perceraian itu disifatkannya sebagai keputusan terbaik yang boleh memberi keadilan kepada bekas isterinya itu.
“Saya setuju bercerai dengan Raja Azmi kerana perlu bersikap adil padanya yang cukup tertekan dengan apa yang berlaku selama ini. Kami juga sudah tidak bahagia. Jadi, buat apa kami terus hidup bersama dan inilah takdirnya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Menurutnya, pelbagai konflik dan fitnah melanda rumah tangga mereka terutama kebelakangan ini termasuk dia dituduh sebagai suami dayus.
“Begitupun, saya bersyukur Allah menjadikan saya seorang yang penyabar. Bagi saya, pengemudi rumah tangga harus kuat untuk menghadapi segala dugaan yang datang.
Sebelum membenarkan permohonan itu, mahkamah memuji sikap pasangan itu yang akan terus hidup dengan aman walaupun sudah bercerai.
Raja Azmi dan Jalani bernikah di Kamunting, Perak, pada 22 Disember 1984. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta seorang cucu, Mohd Akid Mohd Shadan, 1.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar