Rabu, 06 Juni 2012

Gambar Majlis Perkahwinan Nurul Wahab Dan Eric Depp

Detik Bahagia..Eric Daniel Depp mengucup dahi isterinya Nurul selepas diijabkabulkan.

Ayu Nazirah (tengah) di samping ibunya penyanyi Nurul Wahab dan bapa tiri Eric Depp pada majlis pernikahan mereka di Duchess Place di sini, Rabu.







KUALA LUMPUR: Penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab, 35, (Nurul) sah bergelar isteri kepada perunding kesihatan warganegara Perancis, Eric Daniel Depp, 47, dengan sekali lafaz di Duchess Place di sini, Rabu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman kira-kira pada pukul 12.20 tengah hari bersaksikan abang Nurul, Mohamad Rizal Abdul Wahab.

Nurul ditemani anak perempuannya Ayu Nazirah, 14, manakala Eric hadir bersama kedua ibu bapanya Roland dan Germaine Depp.

Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, teman-teman rapat, rakan artis dan wakil media.

Nurul yang menggalas status ibu tunggal selama lima tahun menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran EURO 5,000 (RM20,000).

Nurul turut menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang antaranya berupa produk kecantikan Skinz, minyak wangi Cartier, jam tangan Korloff dan rantai mutiara.

Pihak perempuan membalas tujuh dulang hantaran iaitu sejadah, tepak sireh, sepasang kasut Pedro, senaskhah Al Quran, sehelai songket, produk kecantikan dan manisan.

Pada majlis berkenaan, Nurul tampil anggun mengenakan gaun berona putih rekaan Riezman Ruzaini dan Eric pula segak mengenakan sut rekaan Bon Zainal. Kedua-dua mempelai dirias jurusolek Deq Sha.

Pada majlis itu, emosi Nurul tersentuh dan dia tidak henti-henti mengalirkan air mata ketika memberikan ucapan kepada 200 tetamu. “Saya terlalu terharu dan bersyukur dengan perkahwinan ini. Maklumlah sepanjang lima tahun bersendirian, saya menempuh pelbagai dugaan secara sendirian sehinggalah Tuhan mempertemukan saya dengan seorang lelaki yang begitu penyayang dan ikhlas. “Eric lelaki yang sangat matang dan menerima diri saya seadanya. Dia juga sangat menghormati semua ahli keluarga saya,” kata Nurul.

“Pertemuan kami terjadi di majlis rumah terbuka hari raya rakan kami, Zahidah Rafik pada September 2010. Sejak mengenali Nurul, saya mulai faham budaya Melayu dan sekarang saya sedang mempelajari bahasa Malaysia,” kata Eric yang ditemani ibu bapanya, Roland dan Germaine Depp.

Antara selebriti yang menyerikan majlis adalah Zahida Rafik, Ning Baizura, Amy Mastura dan suami, guru vokal Siti Hajar dan pelakon Jehan Miskin.

Majlis diacarakan oleh pelawak Eida Moin dan penulis lirik Shah Shamsiri.

Ini merupakan perkahwinan kedua buat pasangan ini.

Sebelum ini, Nurul pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer Mohd Faizal Maas (Ajai) pada 25 Disember 1996.

Hasil perkahwinan selama 11 tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah.












Kredit Gambar: budiey.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar