Tampilkan postingan dengan label Erra Fazira. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Erra Fazira. Tampilkan semua postingan

Minggu, 28 Juli 2013

Erra Fazira Minta Peserta Ratu Cantik Beragama Islam Akur Larangan

Empat gadis Islam yang telah dibatalkan penyertaan menyertai pertandingan akhir MMW2013. 

PETALING JAYA: Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi maruah wanita Islam.

"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka panjang.

"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.

"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan undang-undang," katanya.


Erra Fazira


Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu dengan garis panduan yang dibenarkan.

Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.

Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.

Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan tersebut.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian membabitkan wanita Islam.

"Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian.

"Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam melontarkan pendapat.

"Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata, tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Sabtu, 09 Februari 2013

Erra dahagakan akhirat - Gosip Artis Popular


Wanita bernama Erra Fazira Wan Chik masih primadona dalam jagat seni tanah air. Semalam usianya menginjak angka 39 tahun dan sepanjang lebih 20 tahun memberikan senyuman dan variasi emosi kepada pemujanya, Erra mengakui hidupnya tidak sempurna seperti apa yang dilihat di mata kasar.

Menyedari sumbang jika merasakan hidupnya sudah memiliki segala-galanya, kata Erra: "Doa dan harapan saya, moga pada usia yang mendatang ini saya memperoleh kehidupan yang bahagia dan tenang berdepan apa sahaja kesusahan dan kesakitan dalam hidup."

erra fazira
Kejutan hari jadi Erra oleh rakan-rakan
Sekilas pandang ungkapan itu terlalu kedengaran umum namun tegas ibu kepada Engku Aleesya itu, sebagai manusia dia seharusnya bersyukur kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.
"Saya pinjam semangat masa lalu untuk hari ini dan saya ambil kesusahan hari ini untuk bekal hari depan yang tidak boleh dijangka untung nasibnya," kata Erra yang ditemui selepas sambutan hari lahirnya yang dirancang oleh pihak produksi program bual bicara Primadona di Vivatel Hotel, Cheras, Jumaat lepas.
Membuka lembaran usia baharu, masih terlalu banyak kesempurnaan sebagai wanita yang mahu dikecapi oleh ibu beranak satu itu.
"Saya tidak sempurna, kehidupan dunia dan akhirat saya tidak cukup seimbang. Kemuncak impian saya sebagai seorang manusia ialah untuk mencapai keseimbangan itu. Mungkin pihak luar melihat saya lebih mengejar keduniaan berbanding akhirat namun dalamannya, saya juga dahagakan akhirat.
"Saya ada terfikir sampai bila lagi saya harus berlakon dan menyanyi, tak mungkin untuk selama-lamanya saya akan terus berlakon. Saya mahu cari landasan yang lebih stabil. Saya juga mahukan anjakan paradigma. Sebenarnya banyak cabang menanti untuk saya masuk dan memulakan sesuatu yang baru," jelas Erra lagi.
Dalam erti kata yang lain, Erra kini dalam proses penyucian minda agar hala tuju di depannya nampak jelas yang mudah dilangkahi.
"Dari segi kekeluargaan, saya sentiasa berfikir untuk mencari setiap kekurangan yang ada dan mahu perbaiki keharmonian dan tanggungjawab. Setakat itu sahaja yang mampu saya katakan," jelasnya tanpa mahu secara khusus memperincikan huraian tersirat yang mengalir dalam darahnya.
Faham benar apa lagi kisah peribadinya yang masih ditagih peminat, tentang kerukunan rumah tangganya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin yang selama ini berdepan bermacam-macam andaian. Erra tetap tidak mahu lagi bercerita lanjut. Cukuplah dengan ungkapan-ungkapan yang telah terluah daripada bibir itu. Selebihnya, jawapan kepada persoalan dan andaian ramai selama ini, hak mutlaknya tergantung di tangan Erra Fazira.

Bercakap tentang perjalanan kariernya yang masih berterusan, Erra yang masuk tahun kelima bergelar Bintang Eksklusif Astro berkemungkinan besar akan menyambung setahun lagi kontraknya yang bakal tamat pada Mei depan.
"Buat masa ini kontrak tetap akan disambung tetapi kontrak untuk pengacaraan dalam Primadona sahaja. Tentang kontrak sebagai Bintang Eksklusif itu, saya masih belum membuat keputusan. Kalau pun disambung, syarat-syarat yang diterima pakai selama ini akan dirombak semula. Tapi, dalam waktu yang sama, saya masih mahu mengekalkan nilai eksklusif itu," jelas Erra yang dijadualkan memulakan penggambaran tiga buah super telemovie terbaharu tidak lama lagi.