Uji Rashid
KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna menganggap kemelut yang berlaku membabitkan penyanyi veteran Uji Rashid yang kecewa kerana digugurkan pada saat-saat akhir untuk mempersembahkan lagu Terukir Di Bintang bagi menggantikan dirinya pada Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL 27) pada 6 Januari lalu selesai.
Yuna, 27, berkata, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan selepas pihak TV3 memberikan penjelasan dalam program Melodi yang disiarkan pada Ahad (semalam).
"Rasanya perkara itu tidak perlu lagi dipanjangkan kerana saya rasa ia telah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan bagi menjernihkan suasana.
"Malah saya tidak mahu melihat perkara yang terjadi ini sebagai sesuatu yang negatif dan pastinya ada hikmah disebalik," ujarnya ketika ditemui pada majlis kesyukuran lagu Terukir Di Bintang yang dinobatkan sebagai Juara Lagu di AJL 27 pada Ahad malam.
Sebelum ini, pengguguran Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al-Rashid itu telah digantikan oleh Aizat dan Uji mendakwa perbuatan TV3 itu tidak berhemah kerana mereka telah memalukan beliau di depan orang ramai.
Dalam pada itu, Yuna berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi lagu Ku Ingin Di Samping Mu itu malah katanya dia ada berhubung dengan Uji untuk bertanya khabar.
Malah Yuna memberitahu, dia ada menjemput Uji ke majlis kesyukuran itu namun penyanyi berkenaan tidak dapat hadir kerana mempunyai undangan nyanyian.
Yuna teruja dengan pembikinan album terbarunya di Amerika Syarikat selain dapat bekerjasama dengan gitaris kegemarannya iaitu Mike dari kumpulan Incubus.
"Sebelum ini saya ada berbual-bual dengannya untuk bertanya khabar dan kami berbual seperti biasa tanpa sebarang masalah.
"Malah dia memahami kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan saya kerana tiada di Malaysia," jelasnya.
Tambah Yuna, pada awalnya dia memang memilih Uji untuk menyanyikan lagu tersebut di AJL 27 kerana menyukai suaranya yang mempunyai elemen klasik namun terpaksa akur dengan situasi dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pengurusnya, Wawa dan pihak TV3 untuk mencari pengganti Uji pada saat akhir.
Sementara itu, Yuna berkata, dia kini sedang dalam proses awal merakamkan album pertamanya bersama syarikat rakaman The Verve/Universal Music dan memberitahu teruja dapat bernaung di bawah sayap komposer dan penerbit terkenal, David Foster.
Menurut Yuna, menerusi syarikat rakaman barunya itu, dia berharap dapat memperluaskan lagi kerjaya seninya apabila album tersebut dijangka akan dipasarkan pada pertengahan tahun ini di seluruh dunia.
"Sebenarnya David telah lama ingin mengambil saya bernaung di bawah label itu tetapi ketika itu dia bukan presiden syarikat berkenaan namun apabila beliau mengambil alih The Verve, hasrat itu terus disampaikan ke pihak pengurusan saya selepas mengetahui kontrak saya bersama The Fader telah pun tamat.
"David memberi kebebasan kepada saya untuk berkarya dan menentukan genre muzik yang ingin saya bawa dan setakat ini saya telah merakamkan tiga buah lagu ciptaan sendiri," jelasnya.
Yuna turut memberitahu dia mengikat kontrak dengan label tersebut untuk tiga buah album dan menyangkal dakwaan sebelum ini bahawa dia dibayar USD1 juta (RM3 juta) untuk bersama syarikat tersebut.
Tambahnya lagi, dia juga cukup teruja apabila dapat bekerjasama dengan gitaris kumpulan Incubus yang cukup diminatinya sejak dibangku sekolah iaitu, Mike Einziger untuk album berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, dia juga baru selesai merakamkan sebuah lagu runut bunyi untuk filem animasi terbitan Dream Works iaitu The Croods berjudul Shine Your Way.
Filem berkenaan dibintangi oleh Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Catherine Keener, Emma Stone, Clark Duke, dan Cloris Leachman dan akan ditayangkan pada Mac tahun ini.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar