Uji Rashid
KUALA LUMPUR: Penyanyi Uji Rashid menganggap tindakan pihak di stesen televisyen TV3 yang masih tidak memohon maaf kepadanya berhubung isu digugurkan daripada membuat persembahan semasa Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) pada 6 Januari lalu sebagai satu tindakan yang kurang sopan.
Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid, berkata, tidak kira stesen TV atau mana-mana pihak, sewajarnya mereka harus mempunyai adab jika ingin membuat keputusan terhadap sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan seseorang itu berkecil hati.
"Memang kalau nak cakap secara kasarnya, pihak itu (TV3) agak kurang sopan. Mereka tidak patut membuat saya atau sesiapa pun begitu.
"Sepanjang 38 tahun saya berada dalam industri muzik tempatan, peristiwa ini antara kejadian paling teruk yang pernah saya hadapi.
"Dan setakat ini, pihak mereka belum membuat sebarang permohonan maaf kepada saya," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.
Lagu Terukir Di Bintang yang dinyanyikan Aizat bagi menggantikan Yuna diumumkan sebagai Juara Lagu AJL27.
Uji yang popular era 70-an dan 80-an itu disingkirkan daripada menyertai AJL27 dua hari sebelum acara berprestij itu berlangsung bagi menggantikan tempat Yuna yang berada di Amerika Syarikat menerusi lagu Terukir Di Bintang.
Tempat Uji itu telah diambil alih oleh Aizat yang dipilih oleh penganjur pada saat-saat akhir.
Insiden itu turut menarik perhatian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang menuntut TV3 memohon maaf secara terbuka kepada wanita itu.
Sementara itu ditanya kesan akibat kontroversi itu Uji berkata terdapat hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana dia mula mendapat perhatian daripada pihak penganjuran majlis yang mahu mengundangnya membuat persembahan.
"Kadang-kadang saya geli hati juga dengan apa yang berlaku kerana secara tiba-tiba nama menduduki carta pertama di beberapa kolum gosip.
"Pada masa sama, Tuhan membuka luas rezeki saya lagi di mana saya menerima lebih banyak undangan persembahan. Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu pihak TV3 yang dihubungi bagi mendapatkan reaksi terhadap komen Zed Zaidi dan Uji itu bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
Tidak ada komentar:
Posting Komentar