Sabtu, 22 September 2012

Sharifah Khasif Nafi Kahwin Sembunyi

Gambar Sharifah Khasif bersama suami,Datuk Seri Mohammad Hizal pada hari pernikahan mereka yang telah berlangsung pada 7 September lalu.

KUALA LUMPUR: Desas-desus naib juara Akademi al-Quran musim ketiga, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman mendirikan rumah tangga dan menjadi isteri kedua seorang Datuk Seri akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan status perkahwinannya kepada Metro Ahad, semalam.

Gosip pernikahannya dengan VIP itu disiarkan dalam ruangan CAK, Selebriti, minggu lalu. Berikut isi kandungan e-mel yang dikirim Sharifah Khasif berserta gambar pernikahannya.


“Assalamualaikum warahmatullah. Terlebih dulu saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Harian Metro atas cerita yang diuar-uarkan. Saya juga tidak menyangka perkahwinan ini akan menjadi buah mulut orang dan menjadi satu pertikaian yang sepatutnya kita syukuri hikmah sesebuah perkahwinan.


Itu sepatutnya pandangan yang perlu ada apabila seseorang umat Muhammad mampu mendirikan perkahwinan yang pastinya membawa keberkatan dunia dan akhirat.


Untuk pengetahuan media, sebenarnya tidak timbul isu nikah sembunyi, nikah Siam dan sebagainya kerana perkahwinan saya pada 7 September 2012 di kediaman saya dan resepsi pada malamnya dihadiri hampir ribuan tetamu.


Saya juga mewakilkan pengurus peribadi saya, Haryati untuk menjemput pihak media dan rakan-rakan daripada stesen televisyen untuk hadir bersama.


Saya tak tahu dari mana datangnya cerita yang tidak benar ini apatah lagi perkahwinan sembunyi-sembunyi sekali gus menyebabkan ada hati-hati yang terluka.


Perkara sebegini adalah satu keaiban memandangkan saya juga dikenali sebagai ahli al-Quran yang mana dalam Islam, perkahwinan itu sendiri hendaklah diuar-uarkan supaya tidak timbul fitnah dan masalah kemudian hari.


Persoalan yang mempertikaikan saya isteri kedua sepatutnya tidak timbul, yang pastinya saya adalah isteri sah kepada Datuk Seri Mohammad Hizal Othman. Saya juga mempunyai prinsip di mana soal peribadi tidak perlulah dikongsikan bersama.


Jodoh pertemuan ajal maut di tangan Allah. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang penyayang, bertanggungjawab dan menjaga saya dengan baik. Setiap doa kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga dan begitulah sebaliknya. Maka berdoalah yang elok-elok kerana setiap yang berlaku pasti akan ada hikmah di sebaliknya.”


Oleh KASDI ALI dan HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Tidak ada komentar:

Posting Komentar