Nora Danish bersama anaknya,Putra Rayqal Ramli.
PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menjelaskan hubungannya dengan bekas suami iaitu Rizal Ashram Ramli masih baik demi anak lelaki tunggal mereka.
Nora berkata, sebagai seorang bapa, Rizal atau Jejai telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap Putra Rayqal Ramli.
"Tiada apa-apa masalah antara kami kerana apa yang penting Rayqal mendapat kasih sayang yang cukup daripada kedua ibu-bapanya," ujarnya kepada mStar Online.
Malah Nora berkata, Jejai sangat bertoleransi dengannya jika ada apa-apa perkara mengenai anak mereka itu.
Dalam pada itu, Nora memberitahu dia menyambut Hari Raya pertama di rumah bekas keluarga mertuanya seperti kebiasaan kerana telah menjadi amalan mereka untuk berkumpul.
Katanya, walaupun bukan lagi menjadi ahli keluarga Jejai, tetapi kehadirannya itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan anaknya dengan datuk dan neneknya.
"Bekas ibu dan bapa mertua tidak pernah berkira untuk menjaga Rayqal ketika ketiadaan saya dan sebab itu saya juga tidak kisah jika mereka mahu Rayqal berhari raya di rumah mereka.
"Malah Rayqal sangat rapat dan manja dengan datuknya iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib,” ujarnya.
Bakal muncul dengan filem Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli, Nora memberitahu dia akan kembali sibuk dengan tawaran berlakon selepas Hari Raya nanti.
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
(Gambar Ehsan Media Hiburan Online)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar