PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) menjadikan petua makan buah kurma dan berdoa setiap hari pada bulan Ramadan lalu antara penyebab dia bakal memperoleh anak sendiri selepas disahkan mengandung kira-kira lima minggu.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, berkata, dia tidak menyangka kehadiran Ramadan yang digunakan sebaik-baiknya itu dibalas dengan rezeki besar dalam rumah tangganya selepas berkahwin dengan Azlan Zulaily, 25, pada 2 April lalu.
"Keinginan untuk mendapatkan cahaya mata bagi setiap pasangan suami isteri yang baru berkahwin pastinya ada, begitu juga dengan saya dan suami.
"Jadi, saya mengambil keberkatan bulan Ramadan lalu dengan berdoa setiap hari kepada Tuhan agar diberi zuriat selain mengamalkan petua pengambilan buah kurma dan limau dengan lebih kerap.
"Tapi, tak sangka pula secepat ini hasilnya kerana saya tidak mengamalkan petua-petua lain. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini," katanya kepada mStar Online.
Azza dan Azlan telah diijabkabulkan pada 2 April lalu.
Dalam pada itu, Azza memberitahu dia enggan memanjakan diri dengan berehat sementara daripada segala aktiviti seni walaupun ada yang berpendapat jika terlalu aktif ia mampu menjejaskan kandungan.
"Ada beberapa perkara yang saya rasa pelik dengan petua-petua yang diberikan kononnya ibu mengandung tidak boleh buat kerja-kerja berat selalu kerana boleh mengakibatkan keguguran.
"Tetapi saya lihat, ibu-ibu mengandung yang kehidupannya susah, boleh pula bekerja keras setiap hari macam biasa dan mereka masih lagi mampu melahirkan anak yang sihat.
"Kadang-kadang geram juga dibuatnya apabila saya sering ditegur kerana angkat barang-barang. Saya percaya, kehadiran dan kehilangan sesebuah rezeki semuanya datang daripada kuasa Allah," tuturnya.
Bagaimanapun, beritahu Azza, dia hanya akan mengurangkan aktiviti seninya apabila perutnya semakin membesar.
Hasil perkahwinan terdahulu selama tiga tahun, Azza tidak dikurniakan cahaya mata tetapi pelakon itu dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat bernama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul menerusi drama Mujahid dan Mesin Cinta Atuk di TV2 dalam masa terdekat ini serta bakal memulakan penggambaran drama berjudul Julia bagi siaran TV3.
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
Tidak ada komentar:
Posting Komentar