Kamis, 24 Mei 2012

Lufya 'Hadiahkan' Lagu Ketuhanan Kepada Zarina Anjoulie



KUALA LUMPUR: Penyanyi Lufya Omar, yang terlibat dengan kontroversi pergaduhan bersama Zarina Anjoulie Lavocah telah mendedikasikan lagu single terbarunya, Doaku, bagi tujuan berdamai.

Lufya berkata, dia mahu Zarina menghayati lagu yang berbentuk ketuhanan itu dan dapat memaafkan antara satu sama lain, bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba pada 21 Julai depan.

"Sebelum ini, terlalu banyak perkara yang berlaku antara saya dan dia. Saya agak malu dengan kejadian itu semua namun tidak pernah membalasnya sebab tak nak besarkan isu.

"Apa-apapun, saya ambil perkara ini sebagai benda positif, dan bagi tujuan berdamai, saya tujukan lagu 'Doaku' untuknya," kata penyanyi itu lagi.

Pada pertengahan April lalu, sebuah blog hiburan menyiarkan kenyataan Lufya di mana ada peminat yang tersalah anggap dirinya adalah Zarina dan hal tersebut menyebabkan dia pernah diraba oleh seseorang sambil dipanggil 'Anju' yang jelas merujuk kepada pelakon itu.

Kemudian, Zarina melancarkan 'perang' terhadap Lufya sebagai respons terhadap artikel berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya dan mengejek penyanyi berkenaan dengan panggilan yang tidak enak didengar.

Tambah Lufya, walaupun dikutuk hebat oleh pelakon seksi itu, dia menerima dengan tenang dan ia juga sebahagian daripada promosi untuk dirinya kepada peminat-peminat yang baru ingin mengenalinya.

Mengenai lagu Doaku, ia merupakan lagu ciptaan pertamanya selepas single pertama, Diam, yang dikeluarkan pada tahun lalu.

"Lagu ini teramat istimewa buat saya kerana ia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh saya dengan bantuan penyusun muzik, Rafikconcept.

"Idea lagu tersebut adalah berkonsepkan ketuhanan juga datangnya dari saya di mana saya ingin menceritakan perasaan diri yang mahukan petunjuk ke arah yang diredhai.

"Alhamdulillah, setakat ini saya menerima respons yang positif apabila meletakkan lagu tersebut di laman Youtube," tuturnya.

Dalam pada itu, Lufya berkata, memandangkan dia ingin memberi sepenuh perhatian terhadap karier nyanyiannya itu, dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti lakonan.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Tidak ada komentar:

Posting Komentar