Tampilkan postingan dengan label Mohd. Sumali Reduan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Mohd. Sumali Reduan. Tampilkan semua postingan

Kamis, 15 November 2012

Bakal Suami Anne Ngasri Mahu Memperbaiki Kesilapan Lalu

Anne Ngasri selamat bertunang dengan Mohd Sumali Reduan pada 11 November lalu.

PETALING JAYA: Bakal suami kepada pelakon Anne Ngasri iaitu Mohd Sumali Reduan menganggap perkahwinan kedua mereka yang bakal berlangsung pada Disember depan adalah satu titik kebahagiaan selepas kedua-duanya pernah mengalami kegagalan rumah tangga.

Sumali, 40, yang juga Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno berkata, menerusi perkahwinan itu nanti mereka dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan pada perkahwinan pertama masing-masing supaya dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.

"Kami berdua sangat serius dengan hubungan ini kerana ingin mencari kebahagiaan dan berharap dengan pengalaman lalu dapat mengajar kami untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Kami saling melengkapi dan pertemuan setahun lalu telah ditentukan dan saya yakin dia adalah pilihan terbaik," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, dan Sumali telah bertunang di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.

Majlis tersebut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Pasangan itu menetapkan tarikh 22 Disember depan dan bersepakat untuk bernikah di rumah keluarga lelaki di Pontian, Johor.

Sumali yang telah bercerai pada tahun 2010 mempunyai seorang anak lelaki, Suffian Hakim yang berusia tujuh tahun.


Sumali memberitahu keserasian dan sikap tanggungjawab Anne telah membuatkan dia terpaut hati dengan wanita itu.
 
Dalam pada itu, ditanya mengenai keistimewaan Anne, Sumali berkata, persamaan dan keserasian mereka berdua telah membuatkan beliau berasa selesa dan yakin bakal isterinya itu dapat membahagiakannya.

Sumali memberitahu, ketabahan dan tanggungjawab wanita itu dalam membesarkan tiga anaknya iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, turut membuatkan dia yakin Anne adalah pilihan tepat sebagai calon isteri.

"Saya yakin Anne boleh menyayangi anak tunggal saya seperti mana dia menyayangi tiga anaknya dan saya sangat terharu melihat kesungguhan dan sikap tanggungjawabnya dalam membesarkan anak-anaknya," katanya.

Malah kata Sumali, dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada seorang pelakon terkenal dan menganggap permainan dunia hiburan itu dapat dilaluinya dengan baik selepas ini.

"Bukan orang politik dan artis sahaja akan ditimpa masalah malah orang biasa pun akan melaluinya. Bagi saya itu bukan persoalan besar kerana pernah melalui pelbagai rintangan dalam hidup dan apa yang penting masyarakat mendoakan yang baik-baik untuk Anne dan saya," ujarnya.

Sementara itu, Anne ketika dihubungi berkata, perkahwinan kali kedua ini bukan kerana terdesak namun percaya dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Malah kata Anne, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Sumali dan mengharapkan semua pihak mendoakan kebahagiaan mereka berdua.

"Kalau saya terdesak sejak bercerai kali pertama dulu saya boleh kahwin tetapi ini soal jodoh dan saya menerima dengan hati terbuka.

"Saya mohon semua pihak akan mendoakan yang terbaik buat kami selepas ini," jelasnya.

Anne memberitahu, dia kini sedang sibuk dengan persiapan perkahwinannya yang akan dibuat secara sederhana tetapi meriah.

Anne disahkan bercerai dengan Abdul Wafi Hassan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dekat sini pada 25 Jun 2010. Mereka berkahwin pada 26 Mei 2006.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

FOTO IHSAN Hazelnart studio (Natrah Md Jan).

Minggu, 11 November 2012

Anne Ngasri Sudah Bertunang Dan Akan Bernikah Bulan Depan

 Anne Ngasri sedang disarungkan cincin oleh tunangnya,Mohd. Sumali Reduan.



 Anne Ngasri kini sudah bergelar tunangan orang.
 

KUALA LUMPUR – Walaupun masih lagi baru memutuskan hubungan percintaannya dengan penyanyi dari Singapura, pelakon wanita, Anne Ngasri dikhabarkan sudah pun mengikat tali pertunangan hari ini.

Lelaki pilihan hati Anne itu ialah Mohd. Sumali Reduan iaitu seorang ahli politik yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Malaysia
yang berstatus duda berusia 40 tahun dan mempunyai seorang anak.Hubungan cinta mereka itu telah direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

“Majlis pertunangan ini diadakan hanya membabitkan ahli keluarga kami saja.

“Cukuplah orang tahu, saya sudah bergelar tunangan orang,” kata Anne.

Majlis pertunangannya telah berlangsung di sebelah pagi pada hari Ahad lepas di kediaman keluarganya, Jalan Ipoh dekat sini.

Majlis pertunangannya itu dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak keluarga dan pasangan itu bakal bernikah pada Disember ini.

“Kami bertunang pada 11 November dan InsyaAllah bila hendak berkahwin nanti, saya akan undang rakan-rakan media untuk bersama-sama meraikan hari bahagia saya itu.

“Kalau tiada aral, Disember ini menjadi pilihan kami untuk bernikah,” kata Anne.

Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010 dan mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2.

Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, kehadiran lelaki berusia 40 tahun itu dianggap sebagai satu anugerah daripada Tuhan apabila dia memulakan langkah bertemu keluarga Anne untuk meminangnya.

"Sebenarnya dia merupakan kawan saya dan Darling (kakak Anne) sejak setahun lalu tetapi ia tidak lebih daripada sahabat sahaja.

"Entah kenapa, selepas putus (dengan Aliff), kami lebih rapat sejak sebulan yang lalu dan apabila dia melamar, saya terima dia lebih-lebih lagi melihat kesungguhan dan keikhlasannya. Mungkin kami saling menepati antara satu sama lain.

"Saya pun tidak pernah menolak jodoh dan menganggap Aliff mungkin bukan jodoh saya. Diharap, tiada yang memberi persepsi negatif dengan perhubungan baru ini walaupun kehadirannya dalam hidup saya datang terlalu cepat," katanya.


Semoga ikatan ini akan sampai ke jinjang pelamin.

Tak kisahlah siapa pun, kerja apa pun, parti mana sekali pun, yang penting Anne bahagia setelah agak lama juga menjadi ‘solo’.

Marilah kita doakan yang terbaik untuk mereka berdua demi kebahagiaan anak-anak mereka.

Tahniah!