Tampilkan postingan dengan label Kemelut Industri Filem. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kemelut Industri Filem. Tampilkan semua postingan

Jumat, 04 Januari 2013

Fenomena Filem 'Sampah' Sedang Melanda Malaysia

Filem 'Zaiton Ceritaku' hanya mampu mendapat kutipan di pawagam sebanyak RM59 ribu sahaja.


ADOIII!!! Apa nak jadi dengan industri filem kita yang semakin merudum? Jumlah filem yang ditayangkan pada tahun ini walaupun melebihi 70 buah berbanding tahun lalu (40 buah) tetapi jangan anggap ia satu petanda baik.

Sebaliknya ia adalah malapetaka kepada industri perfileman tempatan.

Sebenarnya malapetaka ini sedang berlaku tanpa kita sedar selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan sokongan persatuan seni bersetuju apabila kaedah penayangan dua buah filem seminggu diperkenalkan bermula Jun 2011.

Sebelum ini sebuah filem dibenarkan untuk berada di pawagam selama dua minggu dan para produser boleh mendapat kutipan yang lebih dengan pendekatan itu berbanding sekarang sekiranya filem mereka tak laku.

Tujuan pendekatan baru itu adalah untuk memastikan lambakan filem yang menunggu giliran untuk ditayangkan tidak terjadi.

Nahhhh!!! Hasilnya kutipan filem banyak yang ‘bungkus’. Ada filem yang hanya mengutip RM50 ribu sahaja, kos yang lebih rendah daripada sebuah pembikinan telefilem atau drama satu jam.

Ini menunjukkan industri filem berada dalam keadaan bahaya. Finas dan persatuan filem hendaklah melihat semula kaedah penyayangan dua buah filem seminggu itu benar-benar boleh dilaksanakan ataupun tidak?


Filem 'Adnan Sempit 2' terbitan Metrowelth yang ditayangkan pada Februari lalu masih menggunguli kutipan tertinggi tahun ini iaitu sebanyak RM6.82 juta.
 

Pada tahun lalu filem yang mendapat kutipan tertinggi mengikut rekod Finas dicatatkan oleh KL Gangster dengan kutipan RM11.74 juta dan diikuti dengan Ombak Rindu yang mendapat kutipan RM10.90 juta.

Filem yang paling rendah kutipannya pada tahun berkenaan ialah Sumpahan Puaka dengan kutipan RM460 ribu.

Pada tahun ini mengikut rekod Finas juga, sehingga 18 Oktober lalu menunjukkan ada filem yang mengutip tidak sampai RM100 ribu pun.

Lambakan filem

Trend kutipan yang menurun pada pendapat saya mempunyai beberapa sebab antaranya minat penonton untuk menyaksikan filem Melayu mula berkurangan yang berpunca daripada lambakan filem di pawagam.

Penonton terpaksa membuat pilihan yang tepat untuk melihat kewajaran mereka membayar tiket wayang bagi menonton sesebuah filem.

Bayangkan jika saya penggemar tegar filem-filem Melayu, saya perlu mengeluarkan peruntukan wang membeli tiket untuk menonton lapan buah filem dalam masa sebulan tidak termasuk untuk menonton filem-filem luar.

Bayangkan juga sekiranya saya ingin mengajak keluarga menonton wayang untuk kesemua filem Melayu yang ditayangkan dalam tempoh sebulan, berapa banyak wang yang perlu saya laburkan? Itu baru sebulan... kalau setahun bagaimana?

Faktor ekonomi dan pendapatan isi rumah penonton juga perlu diambil kira. Penonton hari ini tidak akan melaburkan wang mereka sesuka hati untuk menonton kesemua filem yang ditayangkan.


Filem 'KL Gengster' arahan Syamsul Yusof antara filem Melayu yang mendapat kutipan tertinggi pada tahun 2011 iaitu RM11.74 juta.

Keduanya pendekatan dua filem seminggu itu selain menggalakkan terhasilnya banyak karya-karya baru, tetapi harus diingat, pawagam kita semakin banyak dipenuhi dengan “sampah-sarap”.

Bermutu rendah

Filem yang dihasilkan banyak yang bermutu rendah. Malah ada juga individu yang tiada pengalaman turut mencuba untuk mengarah filem sehingga karya itu menjadi “busuk.”

Ia turut menjadi pendorong hilang kepercayaan penonton terhadap filem tempatan.

Saya percaya apabila dana dan juga pinjaman boleh dilakukan dengan mudah bagi menerbitkan sesebuah filem, maka lebih banyaklah penerbit dan juga pengarah yang entah daripada mata datangnya akan berebut-rebut untuk buat filem.

Mereka tidak bimbang sekiranya karya itu tidak mendapat sambutan kerana mereka mempunyai saluran lain untuk memperoleh untung iaitu melalui Astro First.

Siapa yang terjerat kalau bukan penonton sendiri? Pada hari ini penonton semakin bijak. Jika banyak karya sampah memenuhi pawagam, kepercayaan penonton terhadap karya tempatan akan hilang.

Saya mencadangkan pihak Finas dan juga bank-bank yang meluluskan pinjaman hendaklah membuat penelitian ketat supaya karya yang dihasilkan itu benar-benar berkualiti memulihkan minat pencinta filem Melayu dapat dikembalikan.

Ketika dunia melalui era transformasi ke arah pendekatan lebih maju, karya-kaya sampah, lawak bodoh dan filem-filem syok sendiri hendaklah dihapuskan. Kalau tidak... maka berterusanlah malapetaka ini.

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Selasa, 04 September 2012

Sikap Tak Bertanggungjawab Sham (Kamikaze) Punca Isteri Tuntut Cerai

 Sham (Kamikaze) bersama isterinya,Farazila Abdul Jabar. (Gambar Fail)


Isteri kepada pemuzik dan pendakwah Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini kerana konflik dalaman yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu.

Memetik kenyataan di mStar, Farazila, 31, berkata, keputusan itu diambil selepas pelbagai usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, menemui jalan buntu.

"Saya ambil keputusan untuk memohon cerai daripada Sham kerana sudah tidak boleh hidup bersamanya lagi. Kami hanya bahagia pada tahun pertama perkahwinan sahaja.

"Beberapa konflik dalaman yang berlaku antara kami terlalu peribadi untuk saya dedahkan. Ia menjadi sebab utama perceraian ini," katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara rahsia.

Farazila juga memberitahu keputusan bercerai itu  bukan kerana dipengaruhi kontroversi kononnya Sham sudah bernikah lagi pada Januari lalu. Sebaliknya dia menyatakan kesanggupannya untuk bermadu andai dakwaan tersebut benar.  Sham beristeri dua tersebar kerana disuruh mengunci mulut.

Keputusan nekad mahu bercerai disebabkan dia sudah tawar hati dengan sikap tidak bertanggungjawabnya Sham dalam urusan rumah tangga. Tambahan banyak konflik dalaman yang tercetus antara mereka dan Sham menafikan haknya sebagai isteri.

Mengenai pernikahan kali kedua Sham, Farazila berkata dia pernah bertanya kepada suaminya mengenai dakwaan itu untuk kepastian. Tetapi Sham tidak mengaku dan berdolak-dalik. Malah, Sham mula menjauhkan diri, tidur berasingan dan bersikap kasar terhadapnya. Kerana itu juga dia terpaksa berdiam diri selama ini walaupun maruahnya dan keluarga diperlekehkan umum sejak kontroversi suaminya beristeri dua tersebar.

Sebelum ini Sham pernah menafikan desas-desus mendakwa dia sudah bernikah lagi secara rahsia pada 16 Januari lalu, di Pulau Pinang. Sham menganggap gosip itu sebagai fitnah yang mencalar reputasinya sebagai pendakwah baru dan menggores hati isterinya Farazila.

Namun yang demikian, keluarga yang dipercayai isteri kedua Sham iaitu Nurul Halimin Md Salleh, 32, pernah mengeluarkan kenyataan yang dia terkilan apabila gitaris itu masih enggan mengakui dia sudah bernikah kali kedua.

Sumber terdekat keluarga tersebut berkata Sham yang kini bergelar pendakwah bebas bersikap tidak jujur kerana sehingga kini masih menafikan pernikahan itu.



- mD