Tampilkan postingan dengan label Johan As'ari. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Johan As'ari. Tampilkan semua postingan

Senin, 02 September 2013

Benarkah Hubungan Johan As'ari Dan Shila Amzah Sekadar Teman Biasa??

Shila dan Johan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar rakan biasa sahaja.



SUBANG JAYA: Pelakon Johan As'ari menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan penyanyi yang sedang mencipta nama di Shanghai, China iaitu Shila Amzah seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As’ari, 27, berkata, kemesraan itu hanya sekadar teman biasa tambahan pula ibu-bapa mereka saling mengenali di antara satu sama lain.

"Tiada apa yang istimewa di antara kami kerana saya dan Shila hanya sekadar teman biasa dan tidak lebih daripada itu.

"Saya ada bertemu dengannya di beberapa buah majlis selain saya bertandang ke rumahnya untuk beraya dan dia pula membalas lawatan itu ke rumah saya dan ditemani oleh ibu kami.

"Keluarga kami saling mengenali antara satu sama lain sudah lama dan sering berjumpa tanpa kehadiran kami," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka WireFame Entertainment Sdn Bhd di sini pada malam Ahad.

Tambah Johan, berita itu mendapat perhatian disebabkan mereka tidak mempunyai sebarang komitmen dalam perhubungan selain status sebagai artis menyebabkan ramai membuat spekulasi.

Tentang perkhabaran dia bakal bertunang dengan seorang petugas stesen televisyen pada penghujung tahun ini, Johan berkata, ia cuma perancangannya dan hubungan dengan wanita dimaksudkan sekadar teman biasa.



Shila dan Johan bergambar kenang-kenangan bersama ibu masing-masing yang juga rapat sebagai kawan.

Jelas Johan, dia masih solo dan tidak mempunyai kekasih namun masih berharap dapat merealisasikan hasrat untuk bertunang.

"Saya memang merancang untuk bertunang pada akhir tahun ini tetapi siapakah wanita tersebut saya sendiri belum tahu. Ia cuma perancangan dan saya berharap ia akan terlaksana," katanya.

Johan menambah, isu kononnya Shila menjadi perampas dalam hubungannya dengan wanita berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan berharap soal itu tidak dibangkitkan lagi.

"Saya faham orang cuba menyalahkan Shila dengan mengatakan dia perampas hanya kerana kami rapat sebagai kawan tetapi isu itu tidak timbul kerana saya dan wanita berkenaan juga hanya rakan biasa.

"Kenyataan saya ingin bertunang hujung tahun ini bukan bermakna saya akan bertunang dengan wanita berkenaan kerana saya sendiri belum tahu siapa jodoh saya," katanya.

Sementara itu, Shila yang turut ditemui pada majlis sama turut senada dengan Johan dan menegaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan biasa.

Jelas Shila, buat masa ini dia langsung tidak memikirkan soal cinta kerana ingin menumpukan perhatian penuh kepada kerjayanya yang sedang berkembang di China.

"Seperti mana saya pernah beritahu sebelum ini, saya serahkan jodoh kepada Allah. Jika jodoh saya sudah sampai dan orang itu pula masuk meminang saya terima.

"Tetapi biarlah orang yang merisik itu di kalangan orang yang saya kenali dan direstui oleh ibu bapa saya," katanya.


Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Rabu, 10 Oktober 2012

Johan As'ari Pertahankan Pakaian Kontroversi Nabila

Johan menafikan dia dan Nabila bercinta. Cuma sekadar kawan biasa.


PETALING JAYA: Pelakon Johan As’ari menganggap imej seksi yang ditampilkan pelakon Nabila Huda semasa Anugerah Blokbuster yang berlangsung Sabtu lalu bukanlah gambaran terhadap tuduhan kejahatan wanita itu secara menyeluruh.

Johan, 26, berkata, masyarakat tidak seharusnya menilai anak kepada penyanyi terkenal, Amy (Search) itu hanya kerana pakaian seksi yang digayakan sebaliknya perlu melihat sisi dalaman Nabila.

"Pakaian bukan ukuran untuk menggambarkan keperibadian dirinya kerana sepanjang saya mengenali Nabila, dia adalah seorang sahabat yang baik, cukup mengambil berat dan mementingkan keluarga.

"Malah jika tiada sebarang aktiviti dia lebih gemar duduk di rumah bersama anaknya," ujar Johan ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Selasa.


Pakaian yang digayakan Nabila semasa menghadiri Anugerah Blockbuster telah menimbulkan kontroversi.
Pelakon itu diminta mengulas imej seksi yang ditampilkan Nabila semasa hadir pada majlis Anugerah Blokbuster yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dekat sini Sabtu lalu.

Cara pemakaian Nabila turut mendapat reaksi Amy yang kurang senang dengan imej berkenaan kerana ia boleh mengundang kontroversi buruk terhadap Nabila sendiri.

Amy yang turut berada pada majlis itu dikatakan telah menasihati Nabila supaya menutup dengan selendang pada bahagian badannya yang terdedah.

Sementara itu Johan memberitahu, semasa bertemu pada malam anugerah itu dia telah melihat Nabila dalam keadaan yang agak sopan apabila bahagian yang dimaksudkan telah ditutup dengan selendang.
 
"Saya tidak tahu sejauh mana pakaian tersebut dikatakan terdedah kerana semasa berjumpa dengannya dia mengenakan selendang untuk menutupi bahagian yang terdedah itu.

"Saya yakin dia tahu apa yang dilakukan dan bijak membawa diri. Selebihnya saya tidak berani nak komen," ujarnya.

Dalam pada itu, Johan menafikan desas-desus hubungannya dengan wanita tersebut yang dikatakan pasangan bercinta sebelum ini renggang disebabkan tidak mendapat restu keluarga.

Johan berkata, keluarganya tidak pernah menghalang dia berkawan baik dengan Nabila dan turut merestui hubungan rapat yang terjalin di antara mereka.

"Tidak pernah timbul soal tidak mendapat restu keluarga kerana kami bukannya bercinta. Namun saya akui kami sudah jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Bagaimanapun dia masih sahabat baik saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan sedang sibuk dengan penggambaran filem Paku di sekitar Kuala Lumpur.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan drama bersiri Syahadah Cinta menerusi saluran Al Hijrah dan telefilem Udin Balik Kampung (RTM).

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Jumat, 24 Agustus 2012

Ibu Johan As'ari Terima Nabila Huda Seadanya

 Gambar Nabila bersama anaknya,Johan As'ari dan ibu Johan, Datin Hajah Firdaus Binti Abdul Kadir.

Meskipun beberapa kali timbul cerita dua selebriti ini sedang hangat menjalin cinta. Pun begitu baik Johan As'ari mahupun Nabila Huda, tegas menjelasakan yang mereka hanya berkawan rapat. Meskipun beberapa kali timbul cerita dua selebriti ini sedang hangat menjalin cinta. Apapun status perhubungan mereka, bagi ibu Johan, Datin Hajah Firdaus Binti Abdul Kadir memberitahu tiada halangan daripada pihak keluarga malah sebagai ibu, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya dengan aktres tersebut.

“Saya tak ada masalah dengan perhubungan Johan dan Nabila. Nabila memang selalu datang rumah. Dia pun dah kenal keluarga saya. Pada pandangan saya, Nabila ini baik orangnya, hormat orang tua dan juga pandai masak “.

“Soal jodoh ini bukan kita yang tentukan. Kalau dah jodoh Tuhan kata, Johan dengan dia (Nabila), saya terima seadanya. Cuma apa yang boleh saya katakan setakat ini memang perhubungan Johan dengan Nabila merupakan kawan rapat sahaja. “, kata ibu Johan kepada Gua.com baru-barfu ini.

Dalam masa yang sama, Johan tetap mengatakan perhubungan beliau dan Nabila terjalin atas dasar persahabatan. Menurut Johan, beliau sudah lama mengikuti kerjaya lakonan Nabila dan mengagumi bakat Nabila di hadapan kamera. Justeru, peluang berlakon bersama Nabila sebelum ini disifatkan sebagai satu peluang yang cukup berharga untuk berkerja bersama pelakon berbakat seperti Nabila.

Mengenai perkembangan karier, Johan baru sahaja selesai pengambaran bahagian pertama drama 39 episod arahan Erma Fatima berjudul Syahadah Cinta. Di samping bakal muncul dalam 3 filem iaitu Juvana, Tokan dan juga Pencinta.



- mD

Rabu, 25 Juli 2012

Johan As'ari Luahkan Perasaan Cintanya Kepada Nabila Huda Dalam Twitter

 Johan dan Nabila saling sayang menyayangi.


PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari menjelaskan luahan hati yang dibuat dalam Twitter miliknya pada 20 Julai lalu adalah sememangnya ditujukan kepada aktres Nabila Huda.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 26, berkata, luahan yang mempunyai unsur-unsur cinta dan sayang itu adalah menggambarkan hubungan akrabnya dengan wanita berkenaan buat masa ini.

"Apa yang diluahkan dalam Twitter adalah gambaran perasaan saya terhadap Nabila. Kami saling menyayangi dan menghargai antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, status hubungan ini hanyalah teman baik dan enggan menjadikannya secara formal sebagai sepasang kekasih.

"Ya, kami semakin akrab dan intim serta mengharapkan doa yang baik buat hubungan ini. Apabila sampai di tahap seterusnya, saya tidak akan segan untuk memberitahu kepada umum," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, petang Selasa.

 Antara luarahan perasan Johan terhadap nabila di Twitter.



Tambah Johan, dia meletakkan ungkapan cinta itu sebagai satu perasaan yang besar untuk dilalui bagi sesebuah pasangan dan lebih suka sekiranya perasaan cinta antaranya dan Nabila mula terbit apabila kedua-dua mereka berkahwin.

"Berdasarkan pengalaman yang lepas, kami tidak mahu lagi melabel perhubungan ini sebagai pasangan bercinta kerana belum tentu kekasih yang dicintai itu adalah jodoh kita kelak.

"Pada saya, cinta itu satu perasaan yang maha agung di mana ia akan muncul selepas akad nikah.

"Apa-apa pun, siapa yang menjadi suami Nabila, dia adalah orang yang paling beruntung," tuturnya yang meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usia 28 tahun.

Dalam pada itu, walaupun ramai yang mempersoalkan keberaniannya meletakkan entri tersebut, Johan tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu kerana ia adalah salah satu tanda penghargaan kepada Nabila yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.

Sementara itu, Johan akan muncul dengan drama Shahadah Cinta menerusi saluran TV Al-Hijrah dan Oh Haram Tu (TV3) pada September depan.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK