Tampilkan postingan dengan label Artis Otai Popular. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Otai Popular. Tampilkan semua postingan

Selasa, 20 Agustus 2013

Raja Ema Enggan Memikirkan Soal Teman Hidup

Raja Ema  

 
DUA kali gagal berumah tangga, membuatkan penyanyi, pelakon terkenal pada era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Raja Ema, 45, enggan lagi memikirkan soal berteman hidup. 

Bukannya serik untuk berkahwin, jauh sekali menutup pintu hati kepada kaum Adam, buat masa ini, Raja Ema lebih selesa hidup solo meskipun keinginan untuk berumah tangga masih ada dalam hatinya.

"Bagi saya bukan senang untuk mencari pasangan yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam setiap hubungan yang terjalin.

"Tapi yang yang boleh saya katakan, buat masa ini saya lebih selesa bersama anak-anak yang sentiasa berada di sisi memberi semangat untuk saya terus mengorak langkah sehingga ke hari ini.

"Saya sudah mengenali pahit manis berumah tangga, soal perkahwinan bukanlah faktor utama saya buat masa ini, jika tiada pun dia bukan masalah yang besar bagi saya," kata yang memiliki dua anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, hasil perkahwinan bersama penyanyi Sheqal.


Raja Ema berkata, dalam usia yang semakin meningkat, perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan. Malah gelaran ibu tunggal juga tidak pernah memberi bebanan buatnya.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Tetapi jika ada jodoh, saya tak akan tolak," katanya.

Rahsia awet muda

Meskipun usianya hampir mencecah separuh abad, namun penyanyi yang pernah popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan ini masih kelihatan awet muda.

Tidak berselindung, Raja Ema mengakui dia menjalani rawatan kosmetik ‘thread lift’ bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda.

Menurutnya, rawatan 'thread lift' mampu menegangkan kulit wajah tanpa sebarang kemudaratan.

"Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan tersebut, tujuan sebenar saya membuat rawatan ini bukan untuk mengubah bentuk muka sebaliknya menjaganya agar ianya kelihatan lebih baik.

"Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, bukan menjadi halangan bagi seseorang untuk menjaga penampilan dengan lebih baik, tapi perlu mengikut cara yang betul.



 Raja Ema bersama albumnya.



 
Kembali dengan Warna Hatiku

Akui rindu untuk kembali menyanyi, Raja Ema akhirnya kembali dengan single terbaharu, Warna Hatiku setelah 24 tahun menyepi tanpa sebarang album.  Lagu duetnya bersama RJ yang popular dengan lagu, Teman Pengganti bersama Black itu turut mendapat sambutan baik oleh peminat muzik dan sering diputarkan radio tempatan.

"Alhamdulillah, kini saya telah mengeluarkan sebuah single terbaru setelah sekian lama saya tidak muncul mewarnai seni hiburan.
"Saya berasa bersyukur apabila hasrat untuk kembali dalam dunia seni akhirnya tercapai menerusi single Warna Hatiku yang akan dimuatkan dalam album Pertemuan Seribu Kenangan.

"Pada awalnya, saya ingin menjadikan bidang lakonan dan nyanyian ini sebagai kerja sambilan, namun atas dorongan semua pihak membuatkan saya lebih bersemangat
untuk meneruskan karier ini," katanya yang kali terakhir tampil dengan lagu, Tidakkah Aku Menyintaimu pada 1989.

Mengulas lanjut mengenai lagu tersebut, Raja Ema berkata, lirik lagu itu digarap mengikut kesesuaian muzik dan selera pendengar masa kini.

  
Raja Ema dan RJ.



"Kali ini saya ingin memberi kelainan tersendiri dengan alunan rentak rap bersama RJ. Namun rentaknya masih dikekalkan mengikut kesesuaian vokal saya.

"Untuk album penuh, saya masih mengekalkan lagu yang lama seperti Jejaka Idaman, Pertemuan Ini, Kekasih Sepi, Angan-angan, Sebuah Catatan Remaja dan Mentari Korea," katanya yang selesa berkolaborasi dengan RJ.

Kembali aktif dalam bidang seni, aktres yang pernah membintangi filem Sayang, Mawar Merah, Boss, Queen Control dan Cikgu Romantik ini meluahkan rasa syukur kerana ia mendapat sambutan positif daripada peminatnya.

"Saya rasa gembira walaupun dah berpuluh tahun saya tidak muncul di kaca televisyen, namun lakonan saya masih diterima orang ramai.

"Saya juga bersyukur anak-anak dan keluarga tidak pernah menghalang saya meneruskan karier ini, malah mereka juga menjadi penguat semangat untuk saya hingga ke hari ini," katanya yang semakin banyak menerima tawaran lakonan.


OLEH NOR RAIDAH AWANG

Senin, 03 Desember 2012

Kunci Kebahagiaan Ratu Rock Ella Dan Azhar


JODOH itu rahsia Allah SWT, begitu ungkapan yang keluar daripada mulut pasangan pengantin Ella atau Norzila Aminuddin dan Azhar Ghazali pada majlis resepsi mereka, di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor (KDE),

1 Disember lalu.

Ungkapan tersebut keluar daripada mulut mereka apabila membicarakan tentang pelayaran cinta yang ditempuh bertahun lamanya sehingga ia diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

Seperti kata Azhar, dia sendiri tidak menyangka, perkenalan sembilan tahun lalu dengan penyanyi legenda rock tanah air tersebut akan menukar status dirinya daripada seorang peminat kepada suami buat Ella.

Ella sendiri sepanjang perjalanan hidupnya, bukan seorang dua lelaki yang pernah dikenali, namun akhirnya tanpa disedari hatinya terpaut kepada juruterbang penerbangan tambang murah, Firefly tersebut.

Sebab itu mereka sepakat mengatakan bahawa jodoh merupakan rahsia Allah SWT.

“Niat yang baik, sentiasa berakhir dengan positif,” tambah Azhar lagi dengan tutur kata yang teratur dan sopan.

Kini, selepas melewati usia lima bulan menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah pada 7 Julai lalu, Ella dan Azhar mengaku kehidupan mereka cukup bahagia.

“Alhamdulillah, kami sedang menikmati kehidupan yang bahagia. Sebenarnya, perjalanan rumah tangga kami sama sahaja dengan perjalanan rumah tangga pasangan lain, tiada apa yang berbeza,” dedah Ella pula.

Azhar kemudian menyambung, biar mereka mempunyai jadual kerja yang selalu bertembung, namun sebolehnya dia akan mencuri masa untuk dihabiskan dengan isteri tercinta. Jika punya waktu emas untuk dihabiskan bersama, pasangan tersebut akan melakukan aktiviti luar seperti berkelah di air terjun dan bersenam bersama.

“Oh, baru-baru ini, Azhar juga ajar saya cara memandu kapal terbang,” ujar Ella penuh teruja sebelum secara berseloroh, Azhar memberitahu: “Kalau saya sakit, dia boleh ganti memandu.”

Kebahagiaan mereka juga terlihat jelas apabila Ella yang duduk di sebelah Azhar memegang erat tangan suaminya itu selain memberi peluang Azhar menjawab persoalan media.

Sering kali penyanyi tersebut bercanda dalam banyak bicara dengan media, termasuk saat dilontar persoalan, sudahkah dia mula memasak untuk suaminya itu.

“Macam mana nak masak, kalau setiap kali mahu memasak, dia akan peluk saya dari belakang,” jawab Ella manja sambil diiringi tawa daripada semua tetamu yang mendengar jawapan jujur penyanyi kelahiran Klang, Selangor tersebut.


MELAYARI alam rumah tangga selama lima bulan, Ella dan Azhar memberitahu, mereka menjalani kehidupan suami isteri seperti pasangan yang lain.

Sementara itu, melontarkan persoalan kepada Azhar tentang perubahan hidupnya kini yang menjadi suami kepada penyanyi popular, akui lelaki berusia 32 tahun tersebut, dia mula dikenali banyak orang. Namun, hal tersebut langsung tidak mengganggu kehidupannya.

“Ya, sudah ramai orang yang semakin mengenali saya sebagai suami Ella, tetapi ia tidak mengubah corak hidup saya. Sepanjang tempoh lima bulan menikahi Ella dan semakin dikenali ramai, saya hanya menjadi diri sendiri yang sebenar dan membawa diri saya sebaik mungkin pada mata khalayak. Saya senang begini,” ujar Azhar.

Tambahnya lagi, asuhan dan didikan daripada keluarga dan pergaulannya sehari-hari juga banyak membantu dia dalam berhadapan dengan situasi baharu apabila menerima tempias populariti isterinya yang menjadi pujaan ramai.

Ella kemudian menambah, dia cukup senang dengan perwatakan suaminya yang tidak berubah dan menjadi diri sendiri. Paling membahagiakannya apabila Azhar tidak cepat melenting dengan hal-hal remeh yang selalu menjadi permainan dunia hiburan.

Kata penyanyi berusia 47 tahun itu: “Suami saya seorang yang tenang dalam apa situasi pun, tidak cepat melatah dan seorang yang rasional terhadap apa sahaja perkara. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana dinikahi oleh lelaki yang amat memahami diri dan karier saya.”

Reda

Menjadi sesuatu perkara yang klise, sebaik berumah tangga, soalan wajib yang akan ditanya kepada pasangan pengantin baharu adalah tentang zuriat.

Mengambil tanggungjawab menjawab persoalan tersebut, Azhar memberitahu, mereka tidak mempunyai perancangan keluarga, sebaliknya menyerahkan soal rezeki tersebut kepada Allah SWT.

“Kami berusaha untuk memperoleh anak, tetapi segalanya bergantung kepada keizinan Dia. Jika diperkenan, Alhamdulillah, jika tidak, kami reda,” ujar Azhar penuh sopan.

Malah Ella yang diajukan persoalan sama ada dia cemburu atau tidak kepada pelakon Diana Danielle yang baru sebulan dinikahi Farid Kamil sudah hamil, dia pantas menggelengkan kepala sambil menjawab tidak perlu berasa cemburu.

Katanya: “Saya tak cemburu, tapi mahu ucap tahniah buat mereka berdua. Insya-Allah, kalau ada rezeki buat kami timang cahaya mata, pasti ada nanti.”

Umrah

Umpama satu tradisi bagi setiap pasangan pengantin baharu, agenda berbulan madu menjadi ritual wajib untuk mereka meraikan kemenangan cinta yang disimpul dengan ikatan sah.



ELLA memberitahu dia baru mengambil suntikan Rubella sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat bersama suaminya, Azhar. Dia bagaimanapun dinasihatkan doktor untuk mula merancang kehamilan selepas tiga bulan suntikan virus tersebut diambil.

Tidak terlepas bagi Ella dan Azhar. Mengaku sudah beberapa kali berbulan madu di dalam negeri dan pulau-pulau kegemaran mereka, namun ada sebuah destinasi yang menjadi misi mereka untuk dijejaki pada tahun hadapan.

Mereka mahu menikmati manis dan mencari berkat ikatan rumah tangga dengan berbulan madu ke Madinah dan Mekah dalam rangka menunaikan umrah bersama-sama.

“Sebelum mahu ke negara lain untuk berbulan madu, kami ingin melaksanakan impian untuk menziarah Madinah dan Mekah dulu. Kami mahu menunaikan umrah buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun kami belum mempunyai ketetapan waktu untuk menunaikan umrah,” ujar Azhar.



Kredit: Sumber

Kamis, 13 September 2012

Nantikan!! Kemunculan Semula Kumpulan 'Carefree'!!

Kumpulan Carefree yang cukup popular satu ketika dulu dianggotai oleh (dari kiri) Wan,Simon,Rahim Othman,Jay Jay,Nana,Boy,Charlie dan Allahyarham Lokman.



Bagi pembaca OHBULAN! yang pernah membesar dengan lagu Carefree, anda pasti tidak percaya bahawa Carefree bakal kembali semula.

Popular sekitar tahun 70-an, kumpulan ini pernah membawa lagu-lagu hit seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa dan juga Baju Hijau. Tidak cukup disiti, kumpulan ini terkenal kerana pernah merakamkan kembali lagu-lagu popular luar negara seperti Anak nyanyian asal Freddie Aguilar, dan Bayangan Tarimu (Shadow Dancing) nyanyian asal kumpulan Bee Gees.

Dalam majlis pra-dengar album Carefree yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam, kumpulan ini turut melancarkan sebuah lagu raya retro yang diberi judul “Bergembira Di Hari Raya”. Jika dibandingkan dengan lagu-lagu raya baru, OHBULAN! dapat rasakan lagu ciptaan kumpulan Carefree ini bakal menjadi siulan orang ramai setiap kali Syawal tiba.

Namun begitu, bagi peminat setia Carefree, ada suka dan duka disebalik bersatunya semula kumpulan ini. Jay Jay yang sebelum ini adalah vokalis Carefree telah digantikan tempatnya dengan adik Salamiah Hassan, Hadi Hassan. Hadi merupakan seorang komposer dan pemuzik yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun.

Dalam temubual semalam, Carefree turut menjelaskan bahawa mereka tidak akan lari dari konsep asal Carefree.

“Untuk tahun 2012, Carefree tetap mengekalkan konsep disko dan pop dan tidak akan lari dari yang asal.”

Bagi Carefree juga, sudah tidak ada lagi band seperti mereka dan dengan kehadiran Carefree kembali ke industri, mereka mampu berharap dapat mengembalikan nostalgia peminat.

“Band dari era Carefree sudah tidak ada lagi sekarang. Jadi, kehadiran Carefree kedalam industri diharap dapat mengembalikan kenangan pendengar ketika muda.”

Apa yang pasti, jika album Carefree akan dilancarkan, OHBULAN! akan jadi orang yang pertama membelinya. Carefree kini bernaung di bawah Dream Music Sdn Bhd.

Mari dengar lagu raya, “Bergembira Di Hari Raya” oleh Carefree selepas ini!

Kredit Sumber: Ohbulan.com

Senin, 27 Agustus 2012

Jamal Abdillah Akui Tak Pandai Memikat Wanita

Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui perasaan malu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sering berharap agar wanita yang disukai mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu.

"Itulah masalah saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan.

"Sebagai manusia normal, saya juga inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat.

"Entahlah susah nak cakap. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti," selorohnya.

Tambah Jamal, keadaannya yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, tidak seperti di zaman mudanya dahulu.

Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang.

"Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi fizikalnya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu.

"Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan marah," ujarnya.

Mengenai perkembangan terbaru, Jamal sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK