Tampilkan postingan dengan label Artis Dapat Anugerah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artis Dapat Anugerah. Tampilkan semua postingan

Kamis, 31 Januari 2013

Tahniah!! Aznil Hj Nawawi Dapat Gelaran Datuk

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Aznil di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.
 

PETALING JAYA: Seseorang yang menerima sebarang kurniaan daripada kerajaan mesti dihormati dan setiap individu wajar memanggil mereka berdasarkan kepada gelaran yang diterima.

Datuk Aznil Nawawi, 51, berkata, sesetengah pihak mungkin memandang remeh terhadap sesuatu gelaran tetapi sebagai individu, kita haruslah menanam sikap untuk menghormati setiap darjah kebesaran yang dikurniakan.

"Kita perlu hormat dengan gelaran yang diberikan dan tidak wajar memperlekehkannya.

"Sesuatu darjah itu adalah pengiktirafan yang tinggi dan tidak wajar sekiranya ada yang tidak menghormati penganugerahan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Aznil dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bergelar Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

Ditanya adakah panggilan nama Pak Nil yang digunakan selama ini akan bertukar mengikut anugerah yang baru diberikan, pengacara itu berkata dia tidak kisah dengan nama apa yang mahu dipanggil kepadanya.

"Tak kisah, panggillah saya apa-apa pun, tetapi biarlah kita menghormati individu yang memberikan anugerah tersebut.

"Bagi saya ini merupakan satu pengiktirafan yang besar daripada pihak kerajaan yang pernah diterima. Ia sebagai penyuntik semangat untuk saya bekerja lebih keras buat masyarakat menerusi bidang penyiaran yang saya ceburi," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Aznil menafikan khabar angin kononnya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

"Saya tak terfikir pun untuk mendirikan rumah tangga pada usia ini, tetapi tidak menolak jika ada jodoh.

"Bagaimanapun, jika ada yang mahukan saya, mereka mesti terima dengan kesibukan kerjaya saya sebagai seorang pengacara.

"Tambahan pula dengan gelaran yang dibawa memberikan tanggungjawab besar buat saya kepada masyarakat," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Senin, 17 September 2012

Tahniah!! Rosyam Nor Terima Ijazah Kehormat Sarjana Seni

Rosyam menerima Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bersempena Majlis Konvokesyen ke-2 Universiti Malaysia Kelantan, Sabtu lalu.


PETALING JAYA: Aktor terkenal Rosyam Nor berkata penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni (Keusahawanan Industri Kreatif) daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Sabtu lalu membuktikan kerja kerasnya selama 26 tahun dalam bidang seni diiktiraf ahli akademik.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 45, berkata, dia berharap pengiktirafan itu akan menjadi iktibar kepada khalayak umum terutamanya generasi muda agar rajin berusaha dalam apa jua lapangan kerja walaupun tanpa kelulusan yang tinggi.

“Saya masih terkejut dan tersentuh dengan penganugerahan (ijazah kehormat) ini. Saya tidak sangka usaha saya pada cabang seni selama 26 tahun dihargai dan mendapat perhatian ahli akademik.

“Kalau diikutkan kelulusan, siapalah saya tetapi apabila lebih 30 ahli senat UMK memberikan pengiktirafan ini, saya berbesar hati menerimanya. Saya harap ia menjadi iktibar kepada golongan muda untuk bekerja keras,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.

Ijazah tersebut disampaikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Kota Bharu, Kelantan bersempena Majlis Konvokesyen kali kedua UMK, pada Sabtu lalu.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 itu berkata, penganugerahan itu juga membawa perubahan besar pada landskap dunia seni tanah air yang selama ini dianggap sinis dan tidak mempunyai masa depan oleh segelintir pihak.

“Penganugerahan sebegini kepada anak seni membawa perubahan besar kepada dunia hiburan. Jika dulu, dunia seni tanah air kita kecil dan dipandang remeh tetapi pada hari ini ia semakin berkembang dan mendapat pengiktirafan golongan profesional dan akademik.

“Ia adalah perkembangan yang baik untuk anak-anak seni kerana cabang industri ini. Yang penting, kita pelu bekerja keras dan tidak kenal erti mengalah,” katanya.

Pelakon yang kini bergelar usahawan itu berkata, dia berharap penganugerahan tersebut akan mengukuhkan kepercayaan badan profesional dan kerajaan dalam memberikan peluang untuk dia menyampaikan ceramah berkaitan bidang keusahawan.

“Memang saya kerap dijemput untuk menyampaikan ceramah dan taklimat sebagai anak seni dan usahawan pada acara-acara badan kerajaan dan swasta kebelakangan ini.

“Saya berharap penganugerahan ini akan lebih meyakinkan khalayak agar dapat saya berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada selama 26 tahun dalam bidang seni,” katanya.

Drama rantaian popular lakonan dan terbitannya berjudul Trilogi Cinta 2 kini ditayangkan pada setiap Khamis dan Jumaat pukul 10 malam di TV1.

Oleh WAHIDUZZAMAN