Tampilkan postingan dengan label Afdlin Shauki. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Afdlin Shauki. Tampilkan semua postingan

Jumat, 14 Desember 2012

Afdlin Shauki tak kisah dikritik



PELAKON, pelawak dan pengarah terkenal Afdlin Shauki bersama rombongan pertubuhan sukarela, Aqsa Sharif pulang ke tanah air 10 Disember lalu, selepas berada selama tujuh hari di Gaza, Palestin.
Walaupun telah membawa bekalan makanan, pakaian musim sejuk, tilam dan wang derma RM1.9 juta kepada mangsa pengeboman rejim Zionis di negara bergolak itu, rombongan Afdlin yang turut disertai oleh pelakon Bront Palarae dan Zain Saidin telah dikritik.
Kritikan yang diberikan di sebuah laman sosial itu telah mempertikaikan pemergian sesetengah pihak ke Palestin dengan melawat tempat yang diserang yang dikatakan cuma untuk mengibar bendera dan menunjukkan gambar hotel penginapan.
Sungguhpun, kritikan itu tidak ditujukan secara langsung dan tidak menyebut nama Afdlin bersama rombongan Aqsa Sharif itu, namun dia tetap merasai tempias kritikan berkenaan.
Ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Afdlin berkata, dia tidak peduli dengan kritikan sebegitu.
“Saya rasa jangan kita berprasangka buruk termasuk kepada dia pun (pengkritik). Mungkin dia tidak tahu (perkara sebenar), ada isu lagi besar sekarang, fokus kita kepada Palestin,” ujarnya yang disambut oleh keluarganya di KLIA.
Anggota kumpulan lawak, Boboi ini juga berharap semua pihak tidak membawa isu lain kerana perkara itu tidak akan membantu penduduk di Palestin.
“Komen negatif kita terima, masing-masing nak berperanan, kita ajak semua termasuk pengkritik sama-sama bantu penduduk Palestin, sekarang tiada masa layan perkara remeh begini,” jelasnya.
Selain isteri dan anak Afdlin, turut hadir menyambut kepulangan rombongan itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Sharif, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.
Bercerita mengenai pengalaman di Palestin, Afdlin memberitahu, walaupun pada mulanya berasa cuak apabila tiba di bumi Gaza dengan melihat banyak tin-tin di jalanan seperti berada di medan perang, perasaan itu hilang apabila bertemu penduduk di situ.
“Bila sudah masuk ke Gaza, rasa tenang dan saya seperti berada di tempat paling selamat di dunia, rasa berat hendak pulang ke tanah air pula, perasaan itu seperti saya hendak ke sana tinggalkan keluarga,” jelasnya.
Dia turut memuji ketabahan penduduk di sana walaupun kediaman mereka sering dihujani dengan bom rejim Zionis hampir setiap minit.
Ujarnya, penduduk Gaza tidak pernah meminta simpati atau sedekah daripada sesiapa pun tetapi mereka bersyukur apabila ada pihak yang ingin membantu mereka mendapatkan tanah air sendiri.
Kata pelakon filem Papadom itu, pemergiannya ke sana selain menghulurkan bantuan selaku duta Aqsa Syarif, dia telah merakamkan beberapa kejadian di sana untuk dibuat dokumentari.
“Saya mahu tunjuk tempat perang supaya penduduk sini lebih insaf dan membantu,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pengkarya filem muda di Gaza suatu hari nanti.
Dia yang bakal dilantik sebagai duta kehormat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berkata, berada di Gaza membuatkannya mahu ke negara itu lagi tahun depan selepas dia menunaikan umrah nanti.
Sementara itu, kata Zain Saidin pula, dia kagum dengan melihat ketabahan penduduk di sana kerana mereka begitu tabah mengharungi kekejaman Zionis.
“Saya sukar untuk gambarkan perasan saya, hanya orang yang pernah pergi sana sahaja tahu, kita di sini (Malaysia) geram dengan kekejaman Zionis tetapi mereka di sana rileks sahaja,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan ke Gaza bersama Aqsa Syarif lagi.
Bagi Bront pula menganggap pemergian dia ke Gaza bukan sebagai seorang artis tetapi hanya sukarela sahaja.
“Setiap hari ada peristiwa yang menyentuh hati, jiwa kita tidak sebesar mereka di Gaza, saya mahu ke sana lagi jika diizinkan,” jelasnya.


Minggu, 23 September 2012

Rashidi Ishak Tidak Melafazkan Cerai Terhadap Vanidah Imran


Vanidah dan Rashidi bergandingan dalam filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.


PETALING JAYA: Pelakon Vanidah Imran menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suami, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.

Vanidah yang dihubungi mStar Online di sini Isnin berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.

"Saya tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadap saya?

"Sebagai pelakon kami sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri," katanya.

Vanidah mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Isnin yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.

Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.

Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.

"Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa saya dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status kami sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku," tegasnya.

Bagaimanapun Vanidah berkata, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.

"Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain.

"Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan," katanya.

Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.

"Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok," katanya.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI