Minggu, 09 Juni 2013

Al Fatihah!! Seniwati Latifah Omar Meninggal Dunia

 Seniwati Latifah Omar



KUALA LUMPUR - Seniwati terkenal era Cathay Keris, Latifah Omar meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 6.20 petang tadi pada usia 74 tahun.

Seniwati Latifah Omar dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser. Pelakon veteran berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad sejak seminggu lalu setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.


Anak Allahyarhamah, Affendi Rahmat memberitahu ibunya meninggal dunia kira-kira pukul 6.19 petang.

"Mak (Latifah) meninggal dunia jam 6.19 petang, jenazah akan dibawa balik ke Keramat (Kuala Lumpur) dan dikebumikan pada esok pagi," katanya kepada mStar Online menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini, Ahad.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al Ansar Taman Keramat di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ansar kira-kira pukul 11 pagi Isnin.


 Gambar Seniwati Latifah Omar di zaman mudanya.


Seniwati Latifah Omar memulakan karier seninya dalam bidang lakonan sejak berusia 16 tahun dan turut berlakon di samping Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.

Beliau sudah berlakon lebih daripada 20 buah filem antaranya Panggilan Pulau, Laila Majnun, Gurindam Jiwa dan Bawang Putih Bawang Merah dan Naga Tasik Chini, Raden Mas, Serangan Orang Minyak, Hang Jebat dan Lanchang Kuning. Pada 1953, Latifah juga dinobatkan sebagai ratu cantik Singapura.

Industri filem tanahair kehilangan sebutir lagi bintang hanya selepas beberapa hari lalu, rakan seangkatan Allahyarhamah iaitu Seniman S.Shamsuddin juga meninggal dunia di Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.


Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Al Fatihah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar