Minggu, 09 Juni 2013

Ameng 'Spring' Kini Bebas Daripada Pengaruh Dadah

Ameng bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang kepadanya untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar. 



PUTRAJAYA: Penyanyi Ameng (Spring) mengesahkan dia kini sudah bebas daripada pengaruh dadah sejak menjalani pemulihan selepas dijatuhi hukuman penjara pada 12 April 2011.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 45 berkata, dia bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang untuk bermuhasabah diri agar kembali ke jalan yang benar.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menyokong saya dan mengembalikan saya sebagai manusia normal.

"Dengan erti kata lain, Jabatan Penjara Malaysia telah mengembalikan saya menjadi seorang penyanyi yang sebenar, seorang penyanyi pada hari ini yang bebas tanpa dadah.

"Kini, Ameng Spring bukan lagi Ameng yang dahulu. Kini, Ameng Spring adalah Ameng yang baru... Ameng yang bebas daripada dadah," katanya pada Majlis Jalinan Kasih Bersama Media anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Hotel Palm Garden dekat sini, Jumaat lalu.

Ameng memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa dengan belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran di penjara.
 

Pada majlis itu, Ameng diberi peluang untuk membuat persembahan dengan menyanyikan tiga buah lagu popularnya iaitu Pesanan Buat Kekasih, Sampai Hati dan Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta.

Ameng berkata, apabila dia dipenjarakan atas kesalahannya yang lalu barulah dia menyedari erti menjadi manusia yang sebenar.

Katanya, apa yang dibanggakan selama ini tidak memberikan makna di sisi Allah S.W.T kecuali disertakan iman dan amalan agama.

"Apa yang penting ialah kita perlu berubah. Usah dikenangkan apa yang telah berlaku tetapi kita beringat tentang apa yang akan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Ameng turut berkongsi pengalamannya di penjara yang dia kini teruja mencuba satu bidang baru iaitu belajar bertarannum dalam membaca Al-Quran.

"Sekarang saya giat belajar bertarannum Al-Quran. InsyaAllah kalau saya panjang umur, kalau ada rezeki saya apabila dibebaskan nanti, saya berazam selain daripada melahirkan lagu-lagu dalam bentuk CD (cakera padat), saya juga berniat ingin merakamkan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Dan saya berharap semoga Allah S.W.T memakbulkan impian saya," kata Ameng lagi.

Ameng kini ditahan di Penjara Kluang, Johor bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 bulan, serta dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan dadah.

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Tidak ada komentar:

Posting Komentar