Shaheizy Sam
Nabila Huda
Di luar jangkaan ramai, aktor Shaheizy Sam sekali lagi dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular tahun ini sekali gus mengulangi kejayaan yang sama dalam anugerah berprestij Bintang Popular 2010.
Kejayaannya dengan meraih undian sebanyak 79,656 pada malam kelmarin telah melayakkan bintang itu mengungguli hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan Fairlady 370Z Coupe, set barang kemas Habib Jewels, hadiah iringan serta trofi.
Sering menjadi perhatian pengundi, pelakon dan pelawak, Zizan telah menguasai beberapa kategori online sekali gus menjadikannya sebagai pemenang terbanyak menerima anugerah pada malam istimewa itu.
Antara kategori yang diraihnya adalah Gandingan Di layar Serasi, Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, Artis Lelaki Stailo, Artis Asia Paling Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.
Sementara itu, penyampai dan pengacara, Fara Fauzana masih mengekalkan kejuaraannya menerusi dua kategori yang pernah disandang tahun lalu iaitu sebagai pemenang Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular.
Bagi kategori Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular, masing-masing diungguli kali kedua buat Shaheizy Sam dan kejayaan pertama bagi Yana Samsuddin.
Dipengaruhi dengan keberkesanan lakonannya menerusi drama bersiri popular, Adam Hawa, aktor, Aaron Aziz telah melayakkan dirinya menerima trofi bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular.
Dalam pada itu, lebih mengejutkan, apabila kategori yang sama buat pelakon wanita kali pertamanya telah mengangkat nama pelakon, Nabila Huda sebagai pemenangnya sekali gus menewaskan aktres hebat, Fasha Sandha.
Pemenang ABPBH dari kiri, Wawa Zainal, Hafiz Suip, Black dan RJ.
Kategori buat pendatang baru dalam industri lakonan iaitu Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular pula telah dimiliki oleh pelakon Aiman Hakim Ridza dan bakat dari produksi Metrowealth (MIG), Wawa Zainal.
Di samping itu, penyanyi Hafiz dan Shila Amzah menepati ramalan apabila kedua-duanya telah memenangi kategori Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular.
Mengalahkan Zizan Razak, pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Haji Nawawi tahun ini dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.
Mengangkat tema ‘Ledakan Geometri’, malam Anugerah Bintang Popular 2012 berjaya dijalankan dengan penuh gilang gemilang, Ahad lalu.
Diserikan dengan telatah tiga hos, Fara Fauzana, Zizan Razak dan Johan Raja Lawak penganjuran kali ke-26 yang dijalankan di Stadium Putra Bukit Jalil ini nyata berjaya mencuit hati penonton lebih 10,000 penonton dengan persembahan memukau daripada artis-artis popular tanah air.
Sam anggap satu magis
Teruja digelar sebagai Bintang Paling Popular pada malam itu, pelakon Shaheizy Sam menganggap kemenangannya tahun ini adalah hasil usaha keras peminat yang tidak berputus asa menyokong karier lakonannya.
Menurut Sam, dia amat menghargai sokongan peminat terutamanya buat kelab-kelab penyokongnya yang sanggup mengatur pelbagai strategi untuk memastikan gelaran Pelakon Paling Popular menjadi miliknya.
“Saya memang tidak sangka dengan kemenangan ini tambahan pula di Malaysia banyak bintang-bintang popular yang memiliki penyokong masing-masing yang mungkin telah mengatur strateginya yang tersendiri.
“Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya tidak pernah memperkecilkan peminat saya sendiri termasuk keluarga yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan saya malam ini," katanya.
Tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi, Sam turut mengatakan kemenangannya itu sebagai satu magis.“Saya bertuah kerana memiliki The Megician Fans. Usaha mereka memang bernilai.
“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya dan dengan kemenangan ini segala usaha peminat terbayar terutamanya buat mummy saya tidak pernah berputus asa mengisi borang untuk saya setiap hari. Sebagai seorang anak saya amat terharu dengan sokongannya itu,” ujarnya.
Bakat atasi kontroversi: Nabila
Buat pelakon yang sering dilanda kontroversi, Nabila Huda, gelaran Pelakon TV Wanita Popular yang berjaya disandangnya itu membuktikan bahawa bakat lakonannya diterima baik oleh masyarakat.
Menurutnya, walaupun penglibatannya dalam industri seni sering dikaitkan pelbagai dengan cerita panas, namun itu bukanlah penghalang buat dirinya memberikan yang terbaik dalam karier lakonannya.
“Ternyata ramai peminat masih dapat menilai dan percaya pada bakat saya dengan baik tanpa menghiraukan perkara lain dan itu membuatkan saya begitu terharu dengan sokongan mereka.
“Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang hipokrit. Apa pun yang berlaku, masih ada peminat yang setia menyokong saya sejak awal pembabitan saya dalam bidang ini,” katanya.
Tambah Nabila, kemenangan kali pertama itu bagaimanapun turut dikongsi bersama bapanya, Amy Serach.
“Saya juga mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada dia. Saya mahu dia tahu, walaupun saya sering dikaitkan dengan kontroversi, saya tetap menjalankan tugas saya sebagai seorang pelakon dengan baik,” jelasnya.
Kerja keras Yana berbaloi
Percaya pada rezeki masing-masing, aktres Yana Samsudin mengatakan kemenangannya pada malam ini berbaloi dengan kerja kerasnya dalam masa beberapa tahun ini.
Menurutnya, persaingan hebat dalam kategori itu membuatkan dia tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah itu.
“Terima kasih buat peminat yang mengundi. Kemenangan ini bukan sahaja atas usaha saya sendiri, namun sokongan peminat turut memberi peranan yang besar.
“Insya-ALLAH selepas ini saya akan sentiasa cuba baiki kelemahan dan terus beri yang terbaik untuk membalas jasa mereka,” katanya.
Shaheizy Sam dan Yana
Wawa Zainal
Zizan
Dalam pada itu, Yana menafikan kemenangan tersebut menjadi alasan buat dirinya menjadi lebih ‘demand’ memilih tawaran lakonan.
“Bagi saya, dari segi memilih karakter yang bersesuaian memang tidak salah. Apa sahaja tawaran yang datang, seperti biasa saya masih akan pertimbangkan terlebih dahulu,” katanya.
Zizan 'raja online'
“Saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang artis. Selebihnya adalah sokongan dan galakan daripada peminat.”
Itulah penjelasan diberikan pelawak, Zizan Razak yang memonopoli kategori online malam kelmarin.
Walaupun ramai yang meyakini dirinya bakal memenangi kategori Bintang Paling Popular, namun Zizan memberitahu dia cukup bersyukur dengan rezeki yang ada.
“Saya memang tidak sangka akan menang banyak kategori malam ini. Semua calon-calon yang ada tidak kurang hebatnya.
“Ini semua adalah hasil undian ikhlas daripada peminat dan saya bangga memiliki mereka yang sentiasa berada di belakang saya,” ujarnya.
Wawa pernah putus asa
Mengimbas kembali awal kemunculannya dalam industri lakonan, Wawa Zainal akui pernah berputus asa meneruskan kariernya sebagai anak seni.
Menurutnya, kemenangannya dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dianggap sebagai satu titik permulaan buat dirinya untuk terus memperkembangkan bakat lakonannya.
“Kalau boleh selepas ini saya mahu belajar lebih banyak untuk terus berikan yang terbaik kepada peminat.
“Saya akui masih baru dan kemenangan adalah satu penghargaan yang besar buat diri saya dan sekali gus membuktikan masyarakat mula percaya dengan bakat saya,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar